Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun sebanyak 45 peratus kemungkinan bahawa rakyat negara ini terlibat dalam insiden yang mengakibatkan kira-kira 30 orang mangsa terkorban, namun pengesahan rasmi perlu dibuat.
“Apa yang kita risau dan khua-tiri jika terdapat pihak lain yang menggunakan identiti rakyat negara kita.
“Kita akan terus memantau kegiatan kumpulan militan membabitkan rakyat negara ini kerana terdapat lagi rakyat Malaysia yang masih berada di sana, ” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri sehingga menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut minggu lepas.
Mohd. Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom dipasang pada badannya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember lalu.
Seorang lagi rakannya, Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, merupakan seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160 kilometer ke utara Baghdad, Iraq pada 3 Januari lepas.