Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Syria, sebanyak 44 buah trak penuh dengan makanan dan pelbagai bantuan lain memasuki bandar itu yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan, lewat malam tadi.
Sebanyak 21 buah trak lagi dilihat menuju bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai kerajaan.
Wanita dan kanak-kanak yang berdepan cuaca sejuk menunggu kedatangan konvoi trak yang membawa bekalan penting di dalam pekat malam selepas enam bulan mereka dikepung tentera Presiden Bashar al-Assad.
“Kanak-kanak kami sedang kelaparan dan tubuh kami sedang menggeletar. Kami tidak mempunyai makanan mahupun roti.
“Tiada bekalan air, elektrik, mahupun pemanas badan. Kanak-kanak kami menangis sepanjang malam selepas kami tidak menemui sebarang makanan untuk diberikan kepada mereka,” kata seorang penduduk, Ghaitha Assad, 27 tahun.
Program Makanan Dunia PBB berkata, bantuan makanan itu dapat menampung keperluan lebih 40,000 penduduk dalam tempoh sebulan, manakala Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mendakwa mereka membawa bekalan ubat yang dapat bertahan selama tiga bulan.
“Saya melihat seorang remaja lelaki membunuh kucing dan membawa daging itu kepada keluarganya dengan mendakwa itu adalah daging arnab,” kata seorang penduduk, Hiba Abdel Rahman.
Hiba berkata, ada antara penduduk menguis tong sampah dan makan rumput untuk meneruskan kehidupan termasuk meminta makanan itu daripada anggota pemberontak, namun mereka menolak.
Kira-kira 28 orang penduduk Madaya dilapor maut akibat kebuluran sejak 1 Disember lalu termasuk lima orang, kelmarin, menurut laporan Doktor Tanpa Sempadan yang dikenali dengan akronim Perancis, MSF.
PBB sementara itu meminta tentera kerajaan dan kumpulan penentang membenarkan sebanyak 400 orang penduduk Madaya dipindahkan dari bandar itu akibat kekurangan zat untuk diberi rawatan perubatan segera.
ICRC Syria pula menyifatkan operasi mereka di bandar itu akan memakan masa selama beberapa hari selepas melihat keadaan menyayat hati di bandar tersebut. – AFP