Friday 18 March 2016

Denmark negara paling gembira, Syria sengsara


AP - IMEJ fail bertarikh 4 April 2006 menunjukkan suasana tenteram di bandar Nyhan, Denmark.


NEW YORK – Denmark diikuti rapat Switzerland, muncul sekali lagi sebagai negara paling gembira di dunia, sementara negara bergolak, Syria dan Burundi pula paling sengsara, menurut indeks global yang disiarkan kelmarin
Indeks tersebut, The 2016 World Happines Report bertujuan untuk mengukur kegembiraan sebagai antara kaedah menjadikan masyarakat lebih sihat dan efisien. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyiarkan kajian pertama seum­pamanya pada 2012.
Sama seperti 2015, Iceland, Norway, Finland, Kanada, Belanda, New Zealand, Australia dan Sweden melengkapi 10 tempat teratas indeks itu dengan tujuh daripadanya merupakan negara-negara kecil dan sederhana di Eropah Barat.
Negara paling sengsara pula ialah Burundi diikuti Syria, Togo, Afghanistan, Benin, Rwanda, Guinea, Liberia, Tanzania dan Madagascar. Indeks tersebut merangkumi 157 negara.
Membandingkan data terkumpul dari 2005 hingga 2015, laporan tersebut mendapati kegembiraan di Greece merosot paling teruk susulan krisis kewangan dan imigran yang melanda negara itu.
Kuasa besar dunia, Amerika Syarikat mengatasi beberapa negara Eropah Barat untuk muncul sebagai negara ke-13 paling gembira di dunia, meningkat dua kedudukan berbanding tahun lalu.
Jerman berada di tempat ke-16, Britain (23) dan Perancis (32), manakala beberapa negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain pula mengetepikan Itali yang menduduki tangga ke-50 diikuti Jepun kedudukan 53.
Negara paling ramai penduduk di dunia, China pula menduduki tempat ke-83, sementara demokrasi terbesar dunia, India di tempat ke-118.
Indeks tersebut diukur berdasarkan enam faktor termasuk kadar keluaran negara kasar (GDP), sokongan sosial, kebebasan sosial, kemurahan hati dan ketiadaan rasuah.
Antara 20 negara mencatat pe­ningkatan kegembiraan tertinggi kali ini termasuk Thailand, China, lapan negara bekas Kesatuan Soviet dan Eropah Timur, tujuh di Amerika Latin, dua di kawasan Sahara serta Macedonia di rantau Balkan.
Kategori 20 negara yang mencatat kemerosotan kegembiraan tertinggi ialah Mesir, Iran, Jordan, Yemen, dan Arab Saudi (Asia Barat) diikuti Jepun serta India di Asia di samping Cyprus, Sepanyol Itali serta Greece di Eropah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz43Dwwxcbt 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment