Friday 18 March 2016

Kurdish isytihar sistem persekutuan


Kurdish isytihar sistem persekutuan
 Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat bersama delegasi puak dari tiga kawasan autonomi di bandar Rmeilan, semalam. 
18 MAC 2016

 DAMSYIK -  SYRIA. Tiga kawasan autonomi dikuasai puak Kurdish sebulat suara meluluskan penubuhan sistem persekutuan di utara Syria, semalam walaupun berdepan amaran daripada Damsyik dan Turki terhadap langkah sebelah pihak itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam satu persidangan di bandar Rmeilan di timur laut negara bergolak tersebut selepas puak Kurdish dikecualikan daripada pusingan baharu rundingan damai di Geneva yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik di negara bergolak itu.
Pegawai Direktorat Hal Ehwal Luar Kobani, Idris Nassan berkata, ia bakal meluaskan rangka kerja pentadbiran yang telah dibentuk oleh Kurdish dan puak lain.
"Kawasan tersebut dinamakan sebagai Persekutuan Utara Syria yang akan mewakili kesemua puak tempatan," katanya.
Menurutnya, sistem itu dipersetujui kira-kira 200 wakil dari etnik berbeza dari Rojava termasuk Unit Perlindungan Penduduk Kurdish (YPG).
Ketika ini, puak Kurdish menguasai kawasan seluas 400 kilometer di sepanjang sempadan Syria-Turki dan dari sempadan Iraq hingga Sungai Euphrates serta bahagian sempadan barat laut di Afrin.
Terdahulu, Turki menyifatkan sebarang langkah unilateral bertujuan untuk mengisytiharkan persekutuan adalah tidak sah dan Ankara hanya menyokong perpaduan dan keutuhan wilayah Syria. - Agensi

No comments:

Post a Comment