Tuesday 27 September 2016

AS kecam Rusia sebagai kejam






AP - BEBERAPA mangsa yang cedera akibat serangan udara diberikan rawatan di sebuah klinik di bandar Aleppo, Syria kelmarin.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Amerika Syarikat (AS) melabel Rusia ‘kejam’ berikutan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang semakin buruk di Aleppo selepas pesawat-pesawat pejuang Damsyik dan Moscow melakukan pengeboman paling dahsyat sepanjang perang saudara lima tahun di Syria.

Moscow berulang kali dituduh melakukan jenayah perang semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bertujuan untuk meminta Rusia mengekang sekutunya, Presiden Bashar Al-Assad dan menghentikan sera­ngan udara ke atas Aleppo.

“Apa yang ditaja dan dilakukan oleh Rusia bukannya memerangi keganasan. Ia adalah perbuatan kejam dan tidak bertamadun,” kata Duta AS di PBB, Samantha Power dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan di New York kelmarin.

Seramai 124 orang, kebanyakannya penduduk awam maut selepas bom pemusnah kubu dan senjata canggih lain digunakan di kejiranan awam di kawasan yang dikuasai pihak penentang di timur Aleppo.

Serangan udara itu dilakukan selepas tentera Bashar melancarkan operasi menawan semula timur Aleppo pada Khamis lalu.

“Sukar untuk menafikan bahawa Rusia bersubahat dengan rejim Syria untuk melakukan jenayah perang,” kata Duta Britain, Matthew Rycroft sambil menambah, penggunaan senjata berteknologi tinggi mengakibatkan penderitaan baharu kepada rakyat Syria.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut memberi amaran bahawa penggunaan senjata canggih terhadap orang awam ialah jenayah perang. Duta Perancis, Francois Delattre pula berkata, mereka yang melakukan kekejaman itu perlu dihukum.

Britain, Perancis dan AS meminta mesyuarat tergempar itu diadakan beberapa hari selepas usaha diplomatik untuk menyelamatkan perjanjian genca­tan senjata anjuran AS dan Rusia gagal hujung minggu lalu.

Pada mesyuarat tergempar itu, Ki-moon juga mahu negara-negara kuasa dunia ‘bekerja lebih keras untuk menamatkan mimpi ngeri’ di Syria yang telah mengorbankan lebih 300,000 orang, manakala jutaan lagi menjadi pelarian.

Sebagai tanda bantahan sera­ngan di Aleppo itu, Duta AS, Pe­rancis dan Britain bertindak me­ninggalkan bilik mesyuarat Majlis Keselamatan PBB apabila Duta Syria menyampaikan ucapan.

Duta Rusia, Vitaly Churkin mengakui peningkatan kadar keganasan sejak beberapa hari lalu di Aleppo sekali gus membayangkan bahawa ‘usaha untuk berdamai akan menjadi tugas sukar.” – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LQYsXlCM
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment