Tuesday 27 September 2016

Keadaan makin meruncing di Aleppo



SEKUMPULAN sukarelawan Russia dengan dibantu penduduk mengangkat mangsa serangan udara di daerah Salaheddin, Aleppo, semalam. - AFP



Aleppo: Penduduk bandar raya ini berdepan keadaan yang meruncing apabila bekalan makanan dan ubat semakin berkurangan.

Sementara itu, pesawat tentera Syria dan Russia meneruskan serangan mereka, menyasarkan kawasan di timur bandar raya itu yang dikuasai kumpulan penentang, tanpa mengendahkan kecaman kuasa Barat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kawasan paling teruk dibedil semalam ialah kejiranan Al-Mashhad dan Sayf al-Dawla yang turut menyebabkan kebakaran besar.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, puluhan serangan bermula selepas tengah malam itu menyebabkan ramai penduduk cedera dan sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh.

Ia hari keempat serangan udara besar-besaran dilakukan selepas rejim Syria melancarkan kempen serangan baru dan berikrar menawan semula seluruh Aleppo berikutan kegagalan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat dan Russia.

Menurut SOHR, sekurang-kurangnya 128 terbunuh - hampir semuanya orang awam - dalam serangan udara di timur Aleppo sejak lewat Khamis lalu.

Mangsa termasuk 20 kanak-kanak dan sembilan wanita, kata Pengarah SOHR, Rami Abdel Rahman.

Sumber tentera Syria berkata, mereka tidak merancang menghentikan serangan ke atas kawasan yang dikuasai penentang.

“Semua kedudukan penentang akan dibom. Keputusan itu muktamad. Matlamat kami ialah menguasai seluruh Syria,” katanya.

Sementara itu, sumber perubatan di kawasan yang dikuasa penentang di Aleppo berkata, hospital sudah tidak dapat menangani jumlah mangsa cedera yang begitu tinggi.

“Semua hospital yang masih beroperasi berdepan tekanan kerana jumlah mangsa begitu tinggi sejak beberapa hari lalu. Kami juga kekurangan bekalan darah.

“Kerana itu, pesakit yang cedera parah terus dipotong anggota badan jika perlu,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:26 AM

No comments:

Post a Comment