Tuesday 27 September 2016

Tindakan Rusia 
di Syria didakwa kejam


27 September 2016 12:26 AM
PASUKAN penyelamat mengalihkan sisa runtuhan menggunakan tangan

PASUKAN penyelamat mengalihkan sisa runtuhan menggunakan tangan untuk mengesan mangsa yang terselamat dalam serangan udara di kawasan perumahan Sakhour, timur Aleppo, baru-baru ini. AGENSI
NEW YORK 26 Sept. – Amerika Syarikat (AS) menuduh Rusia berlaku kejam di Syria, semalam apabila jet-jet pejuang yang menyokong tentera kerajaan Bashar al-Assad terus mengebom Aleppo dengan Moscow menyifatkan usa­ha menamatkan perang saudara itu adalah hampir mustahil.
Satu penyelesaian diplomatik terhadap peperangan itu dilihat agak sukar ketika diplomat AS dan Rusia tidak mencapai persetujuan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang diadakan bagi membincangkan keganasan tersebut.
“Apa yang Rusia lakukan bukannya memerangi keganasan sebaliknya satu perbuatan kejam,” kata Duta AS ke PBB, Samantha Power kepada 15 anggota UNSC itu.
Menurut Power, daripada mencari perdamaian, Rusia dan Assad terus memarakkan lagi kancah peperangan di Syria sejurus gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini dicabuli.
“Daripada membantu orang ramai mendapat bantuan sepatutnya, Rusia dan Assad mengebom konvoi kemanusiaan, hospital dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa serangan bom,” tegasnya.
Menteri luar Perancis dan Bri­tain turut membidas Rusia de­ngan menyifatkan Moscow me­lakukan jenayah perang.
Bagaimanapun Moscow mempertahankan tindakan mereka.
Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin memberitahu UNSC bahawa, di Syria, beratus-ratus kumpulan bersenjata terus menerima bekalan senjata dengan setiap wilayah dibom sewenang-wenangnya.
“Usaha membawa perdamaian adalah hampir mustahil kerana tindakan ini,” katanya.
Kumpulan penentang sementara itu menyifatkan sebarang proses damai di Aleppo hanya sia-sia melainkan tentera kerajaan berhenti mengebom wilayah berkenaan serta-merta.
Kejayaan menawan kawasan Aleppo yang separuh daripadanya dikuasai pemberontak dan dihuni lebih 250,000 orang awam merupakan satu kemenangan besar kepada tentera Assad dalam perang saudara Syria.
Dalam perkembangan ber­asingan, sebanyak 70 buah trak membawa bantuan kemanusiaan ke empat bandar di Syria yang dikepung, semalam kali pertama dalam tempoh enam bulan.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, konvoi itu dihantar ke bandar Madaya dan Zabdani berhampiran Damsyik dan perkampungan al Foua dan Kefraya di Idlib yang terletak di barat laut Syria. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tindakan-rusia-8232-di-syria-didakwa-kejam-1.387649#sthash.55UYBV3m.dpuf

No comments:

Post a Comment