Tuesday 6 September 2016

Siri pengeboman di Syria ragut 23 nyawa






AFP - anggota pasukan keselamatan dan orang ramai berkumpul di lokasi pengeboman di jambatan Arzuna, pinggir bandar Tartus, Syria semalam.

BEIRUT – Sebanyak 23 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam siri serangan bom yang menyasarkan beberapa kawasan yang dikuasai kerajaan Syria semalam, lapor media rasminya.

Siri letupan itu berlaku di kawasan kerajaan di bandar Tartus dan Homs di samping Hasakeh yang sebahagian besarnya dikuasai pejuang Kurdis tetapi masih mengekalkan kehadiran tentera Syria.

Media kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 45 lagi cedera dalam dua serangan bom di Tartus yang merupakan kubu kuat rejim Presiden Bashar Al-Assad.

“Dua letupan pengganas berlaku di jambatan Arzuna. Serangan pertama merupakan letupan bom kereta, manakala letupan kedua melibatkan seorang pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan pada tali pinggangnya ketika orang ramai berkumpul untuk membantu mangsa yang cedera,” kata stesen televisyen kerajaan.

Bandar Tartus terlin­dung daripada keganasan sejak perang saudara Syria tercetus pada Mac 2011. Bandar itu menjadi tempat berlindung ramai penduduk Syria yang menjadi pelarian di negara sendiri.

Media kerajaan juga melaporkan, sebanyak lapan orang maut dalam pengeboman di bandar Hasakeh, timur laut Syria.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, serangan itu menyasarkan sebuah pos pemeriksaan pasukan keselamatan Kurdis, Asayesh. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4JQcQ8QXL
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment