Monday 3 October 2016

Hospital dibedil, 3 pesakit maut


03 Oktober 2016 12:30 AM


SEBUAH hospital yang musnah dalam serangan udara di Aleppo, Syria,

SEBUAH hospital yang musnah dalam serangan udara di Aleppo, Syria, kelmarin. REUTERS
ALEPPO 2 Okt. – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, manakala 10 yang lain cedera selepas sebuah hospital terbesar di timur bandar Aleppo di sini dibedil kali kedua dalam tempoh beberapa hari.
Menurut anggota Majlis Per­ubatan Amerika-Syria (SAMS), Adham Sahloul, sebanyak dua bom tong mengenai hospital M10, namun terdapat laporan tentang penggunaan bom berangkai.
Ujarnya, sekumpulan doktor sedang memberi rawatan kecemasan kepada beberapa pesakit dalam hospital berkenaan ketika serangan berlaku.
Pengurus hospital yang juga ahli radiologi SAMS, Mohammad Abu Rajab sempat membuat panggilan kecemasan bagi memohon bantuan dari dalam hospital tersebut.
“Hospital sedang musnah! SOS semua orang!,” katanya dalam pesanan audio yang diedarkan kepada wartawan.
Hospital M10 dan sebuah lagi hospital kedua terbesar di kawasan M2 telah dibedil pada Rabu lalu.
Sementara itu, wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian melaporkan, banyak peralatan hospital rosak dan bertaburan berhampiran tingkap yang pecah.
“Sebuah bom tong digugurkan petang ini di depan hospital memaksa petugas hospital memindahkan pesakit ke hospital lain dan meninggalkan hospital berkenaan,” kata seorang doktor.
Portal Al-Jazeera pula mela­porkan, kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria dimaklumkan oleh pasukan White Helmet bahawa kira-kira 60 orang berada di hospital tersebut semasa kejadian.
Wartawan Al-Jazeera, Amr al-Halabi memberitahu, beberapa mayat kelihatan bergelimpangan di kawasan hospital.
Jelasnya, sebuah roket jatuh di depan pintu utama hospital berhampiran pintu masuk kecemasan.
Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan, seramai 320 orang termasuk 100 kanak-kanak terbunuh sejak kegagalan gencatan senjata Rusia-Amerika Syarikat pada 19 September lalu. – Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hospital-dibedil-3-pesakit-maut-1.389952#sthash.KrX3PtFn.dpuf

No comments:

Post a Comment