Friday, 15 May 2015

IS bunuh 70 askar Syria


REUTERS - PEJUANG pemberontak daripada puak Jaysh al-Sunna kelihatan meronda di kawasan berdekatan kem tentera al-Mastouma yang dikuasai tentera kerajaan Syria di bandar Idlib pada Selasa lalu.


DAMSYIK – Kumpulan militan Islamic State (IS) membunuh sekurang-kurangnya 70 anggota askar kerajaan dalam satu serangan besar-besaran ke atas kawasan yang dikuasai tentera Syria di wilayah Homs, tengah Syria, kata sebuah kumpulan pemantau hak asasi manusia kelmarin.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya 40 militan IS turut terbunuh dalam pertempuran itu.
Terdahulu, kumpulan pemerhati berkenaan yang memantau keganasan di Syria memberitahu bahawa 30 askar rejim Presiden Bashar al-Assad itu dan 20 militan IS maut dalam pertempuran se­ngit di timur Homs selepas kumpulan militan ber­kenaan menyerang askar kerajaan.
Menurut satu kenya­taan IS, pihaknya telah menawan bandar Sukhna yang terletak sekitar 300 kilometer ke timur laut Damsyik.
Langkah itu memboleh­kan IS menguasai sebuah lebuh raya strategik yang menghubungkan Homs dengan wilayah Deir al-Zor di timur laut Syria.
Kumpulan militan itu juga mendakwa telah menembak jatuh sebuah pesawat MiG milik tentera Syria di kawasan tersebut. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3a9aykpa6 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, 13 May 2015

5 juta rakyat Syria di ambang maut

5 juta rakyat Syria di ambang maut
Banyak bahan letupan yang gagal meletup mengancam nyawa penduduk Syria.

BEIRUT - LEBANON. Kira-kira 5.1 juta rakyat Syria berdepan risiko kematian kerana tinggal di kawasan dikelilingi bahan letupan yang gagal meletup.

"Syria akan berdepan ancaman maut daripada bahan letupan untuk beberapa tahun akan datang," jelas Penyelaras Serantau Handicap International, Anne Garella.

Badan amal global itu mendapati terdapat 78,000 insiden keganasan dalam perang Syria antara Disember 2012 dan Mac 2015.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik masuk tahun kelima itu sehingga kini telah meragut lebih 220,000 nyawa dan lebih 1.5 juta yang lain cedera. - Reuters

Tuesday, 12 May 2015

72 terkorban pertempuran di hospital

72 terkorban pertempuran di hospital
Pihak pemberontak melancarkan serangan ke atas sebuah hospital pada pagi Isnin.

BEIRUT - LEBANON. Seramai 40 anggota pemberontak dan 32 askar kerajaan Syria dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sebuah hospital yang ditawan oleh anggota pemberontak, hari ini.

Laporan AFP mengatakan terdapat sejumlah 250 orang ditawan, termasuk 150 askar dan pegawai atasan tentera Syria sebelum serangan dilancarkan.

Sebelum ini, Presiden, Bashar al-Assad  berikrar akan menyelamatkan askarnya dan orang awam yang terperangkap selepas pihak pemberontak menguasai bandar Jisr al-Shughur sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, serangan ke atas hospital berkenaan disertai oleh rangkaian Al-Qaeda, Al-Nusra Front.

Perang saudara di Syria yang bermula pada Mac 2011 kini sudah mengorbankan lebih 220,000 nyawa.

Syria kritik program AS latih pemberontak

Syria kritik program AS latih pemberontak
Foto bertarikh 17 Disember 2012 menunjukkan anggota pemberontak rejim Bashar Assad berlatih di Idlib, Syria. - Foto AP

DAMASCUS - SYRIA. Timbalan Menteri Luar Syria mengkritik program baru Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan akan melatih pemberontak di Jordan, Sabtu lepas.

Menurut AP, Faisal Mekdad menyuarakan pendapatnya di dalam kolum mingguannya dalam suratkhabar Al-Binaa yang berpusat di Lebanon.

"Dengan berbuat demikian, AS menyokong perbuatan pengganas dan merumitkan keadaan untuk satu penyelesaian politik di Syria," tulis beliau.

"AS sepatutnya membantu negara yang melawan pengganas dan bukan membantu pengganas dan penyokong mereka," katanya lagi.

Sumber rasmi AS memberitahu pada Khamis, langkah tersebut bertujuan untuk membina kekuatan untuk melawan militan IS dan bukan untuk melawan tentera rejim presiden Bashar Assad.

Sumber tersebut juga memberitahu, latihan dimulakan di Jordan dengan 90 orang anggota pemberontak.

Latihan tersebut juga akan diperluaskan ke Turki, Arab Saudi dan Qatar.

Enam rakyat Malaysia jadi pengebom


Seorang lelaki (tengah) yang disyaki merancang menyertai kumpulan IS di Syria ditahan polis di KLIA pada Januari lalu. - Gambar hiasan.


KOTA BHARU – Seramai enam orang daripada 11 lelaki rakyat Malaysia yang terkorban selepas menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria dikenal pasti menjadi pengebom bunuh diri (Ishtishadiah).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay (gambar kecil) berkata, melalui risikan yang diterima, seramai 11 orang rakyat Malaysia telah terkorban dalam pertempuran di Syria dan Iraq dengan enam menjadi pengebom bunuh diri.
“Dalam perjuangan IS, militan ini memang mengubah konsep. Mereka tidak panggil pengebom bunuh diri tetapi guna konsep Islam iaitu Ishtishadiah atau operasi syahid bertujuan menghalalkan tindakan mereka ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0512&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3ZtcIfdNj 
Hakcipta terpelihara 

6 rakyat Malaysia jadi pengebom bunuh diri


Mereka antara 11 yang sertai IS dan terbunuh

KOTA BHARU 11 Mei - Sebanyak 11 rakyat Malaysia terkorban selepas menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dengan enam daripada mereka dikenal pasti menjadi pengebom bunuh diri.
Ayub Khan Mydin Pitchay
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata, kesemua mereka adalah lelaki dan terkorban dalam beberapa siri pertempuran di Syria dan Iraq.
Menurut beliau, militan tersebut bagaimanapun menggantikan gelaran pengebom bunuh diri dengan istilah lebih Islamik iaitu ‘Ishtishadiah’ yang bermaksud operasi syahid.
“Mereka menggunakan konsep Islam iaitu Ishtishadiah bagi menghalalkan tindakan yang dikatakan mati syahid. Mereka mengeksploitasi agama serta terma-terma agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Jihad vs Ekstremisme’ sempena majlis Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Mukim Negeri Kelantan 2015 yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.
Ayub Khan berkata, kesemua 11 orang militan warga Malaysia terbabit disahkan terkorban namun jenazah mereka tidak dapat dibawa pulang.
Terdahulu dalam ceramahnya, beliau memberitahu seramai tujuh kakitangan awam yang terdiri daripada pegawai agama, anggota tentera serta bomba didapati menyertai IS di Syria seta­kat ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/6-rakyat-malaysia-jadi-pengebom-bunuh-diri-1.90866#sthash.qkKJRldq.dpuf

72 maut al-Qaeda serang hospital

Letupan besar terhasil apabila militan al-Qaeda melancarkan serangan
Letupan besar terhasil apabila militan al-Qaeda melancarkan serangan berani mati di sebuah bangunan hospital di bandar Jisr al-Shugur, Syria, kelmarin. AGENSI

BEIRUT 11 Mei – Kumpulan militan al-Qaeda melancarkan serangan berani mati sehingga mengorbankan 72 orang dalam pertempuran de­ngan tentera Syria bagi membebaskan kira-kira 250 anggota tentera yang setia kepada Presiden, Bashar al-Assad, yang berada di bawah tawanan kumpulan penentang.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata kepada AFP, sekurang-kurangnya 40 orang pemberontak dan 32 penentang kerajaan terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di sebuah bangunan hospital di bandar Jisr al-Shugur itu.
“Pertempuran hanya berakhir awal pagi ini. Al-Qaeda memulakan serangan dengan meletupkan sebuah kereta dipandu oleh pengebom berani mati yang merempuh bangunan hospital.
“Mereka yang terperangkap di dalam bangunan hospital itu termasuk pegawai tentera berpangkat tinggi serta ahli keluarga merekam dan orang awam,” katanya.
Tambah Rami, beliau tidak pasti dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang disimpan oleh kumpulan itu selama terperangkap selama dua minggu di dalam kompleks hospital berkenaan.
Bashar berikrar akan menyelamatkan tentera dan orang awam yang terkurung di kompleks hospital pinggir barat daya Jisr al-Shugur itu, sejak pemberontak menawan daerah tersebut dua minggu lalu.
Sejak beberapa minggu lepas, anggota penentang sekutu al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra telah menawan bandar Jisr al-Shugur dan kem tentera di Idlib.
Kekalahan tentera Syria di wilayah itu mendatangkan kebim­ba­ngan bahawa kekuatan tentera Bashar kini semakin goyah.
Dalam pada itu, televisyen Syria turut melaporkan terdapat dua wartawan tempatan yang membuat liputan berhubung serangan di Jisr al-Shugur cedera kerana kumpulan penentang turut menyasarkan media yang membuat laporan tentang mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/72-maut-al-qaeda-serang-hospital-1.90804#sthash.7E26Uvpz.dpuf

Friday, 8 May 2015

Hadiah jutaan dolar tangkap pemimpin IS

Washington: Amerika Syarikat semalam menawarkan hadiah berjuta-juta dolar kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkap atau membunuh empat pemimpin kumpulan Negara Islam.
Tawaran itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Negara.
Nama keempat-empat orang itu adalah yang terbaru dimasukkan dalam ‘Program Hadiah untuk Keadilan.’
Hadiah tertinggi ditawarkan berjumlah AS$7 juta (RM25 juta) ialah untuk Abdel Rahman Mustafa al-Qaduli .
Menurut jabatan berkenaan, Abdel Rahman ialah timbalan kepada bekas pemimpin al-Qaeda Iraq, Abu Musab al-Zarqawi sebelum dia berlepas ke Syria untuk menyertai IS pada 2012 selepas dibebaskan dari penjara di Iraq.
Tawaran untuk menangkap atau membunuh Abu Mohammed al-Adnani atau nama sebenarnya Taha Sobhi Falaha, 38, berjumlah AS$5 juta (RM18 juta).
Jumlah yang sama juga ditawarkan untuk maklumat sehingga tertangkap atau terbunuhnya Omar al-Shishani.
Sementara itu, Amerika Syarikat juga menawarkan hadiah sebanyak AS$3 juta (RM11 juta) untuk menangkap atau membunuh warga Tunis, Tariq bin al-Tahar bin al-Falih al-Awni al-Harzi.
Amerika Syarikat sebelum ini menawarkan hadiah berjumlah AS$10 juta (RM36 juta) untuk mendapatkan maklumat bagi menangkap atau membunuh ketua IS Abu Bakr al-Baghdadi menerusi program berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:14 AM


DARI kiri Abdel Rahman, Abu Mohamed, Omar dan Tariq.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49087#sthash.hENRQWXc.dpuf

Thursday, 7 May 2015

Bashar tidak mahu mengaku kalah


REUTERS - BASHAR berucap di hadapan penyokongnya di sebuah sekolah di Damsyik sempena menyambut Hari Syahid Syria semalam.


DAMSYIK – Presiden Syria, Bashar al-Assad menyatakan semalam bahawa beberapa pengunduran yang dibuat merupakan perkara normal dalam mana-mana peperangan dan tidak bermakna mereka tewas dalam perang saudara di negara berkenaan.
Kenyataan itu merupakan komen pertamanya selepas tenteranya mengalami beberapa kekalahan dalam pertempuran dengan kumpulan Negara Islam dan pemberontak lain.
“Kita berjuang untuk memenangi peperangan, bukan bertempur. Peperangan adalah siri kepada banyak pertempuran.
“Kita bukan bercakap me­ngenai berpuluh-puluh atau beratus-ratus, namun beribu-ribu pertempuran dan sudah menjadi adat dalam pe­perangan, adakala kita menang dan kadang-kadang tewas,” katanya semasa berucap di Damsyik.
Sejak beberapa minggu lalu, tentera pemberontak termasuk sekutu Al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra Front telah menawan bandar Jisr al-Shughur dan kem tentera di Idlib.
Kekalahan di wilayah itu bersama mendatangkan kebimba­ngan bahawa kekuatan tentera rejim Bashar kini semakin goyah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZQXiQMcZ 
Hakcipta terpelihara 

Hezbollah akan serang tentera Front Al-Nusra

 Seyyed Hassan Nasrallah
Seyyed Hassan Nasrallah

SYRIA - Pemimpin Hezbollah mengaku sedang menyiapkan satu gerila serangan untuk memerangi kelompok tentera Sunni, Front Al-Nusra.

Memetik laporan BCC, Setiausaha Agung Hizbullah, Seyyed Hassan Nasrallah dalam kenyataannya yang disiarkan menerusi televisyen Lebanon, berkata serangan yang dilancarkan Front Al-Nusra sebelum ini di persempadanan Syria-Lebanon telah menimbulkan ancaman kepada keamanan Lebanon.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyebut bila operasi serangan akan dilancarkan.

“Kalaupun kami memulai (serangan), kami tidak akan mengeluarkan kenyataan. Ketika kami mulai, operasi itu  ia akan ‘berbicara dengan sendirinya,” katanya.

Meskipun demikian, beliau menegaskan kawasan yang menjadi sasaran operasi serangan ialah di kawasan persempadanan Qalamoun.

Daerah yang terletak di persempadanan Syria-Lebanon itu tidak dijaga ketat oleh tentera Lebanon sehingga kelompok Front Al-Nusra dapat bergerak secara bebas dan boleh membuat serangan bila-bila masa.

Insiden serangan Front Al-Nusra paling terbaru telah terjadi semalam.

Menurut pemerintah Lebanon, kelompok tersebut telah menyerang beberapa orang, termasuk polis Lebanon.

Hezbollah, yang merupakan sekutu Presiden Syria Bashar al-Assad, telah mengirim ratusan anggotanya untuk turut berlawan dengan Front Al-Nusra.

Wednesday, 6 May 2015

Semua angkara IS

Kaherah: Negara Islam (IS) semalam mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah pameran yang menganjurkan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW di Dallas, Texas, dua hari lalu.
Dalam kenyataan audio disiarkan stesen radio kumpulan pelampau itu, Al Bayan yang berpangkalan di Raqqa, Syria, IS berkata ‘dua askar kerajaan khalifah’ melaksanakan serangan itu selain berjanji akan melakukan lebih banyak serangan pada masa akan datang.
“Kami memberi amaran kepada Amerika Syarikat, apa yang bakal dilaksanakan askar kami akan lebih memeritkan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak mendedahkan butiran lanjut dan setakat ini belum jelas sama ada kumpulan itu sekadar mengambil kesempatan mengakui bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Jika benar, ini kali pertama IS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di Amerika Syarikat.
Dua lelaki ditembak mati di Garland, Dallas, itu selepas melepaskan tembakan terhadap pengawal keselamatan di luar pusat pameran berkenaan.
Setakat ini masih belum jelas sama ada IS memang memainkan peranan langsung dalam kejadian itu, atau dua lelaki terbabit memilih sendiri untuk melakukannya atas dasar menunjukkan sokongan kepada kumpulan pelampau berkenaan.
Suspek dikenal pasti sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:15 AM


ANGGOTA keselamatan mengangkat mayat dua lelaki bersenjata yang ditembak mati selepas mereka menyerang sebuah pusat di pinggir Dallas, tempat pertandingan melukis untuk menghina Nabi Muhammad SAW, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48816#sthash.Kix613Gw.dpuf

Tuesday, 5 May 2015

Serangan udara di Syria bunuh empat kanak-kanak

Serangan udara di Syria bunuh empat kanak-kanak
Serangan di kawasan kejiranan Saif al-Dawla yang membunuh 4 kanak-kanak

ALEPPO - SYRIA. Sekurang-kurangnya tujuh penduduk termasuk seorang guru dan empat kanak-kanak terbunuh selepas berlaku serangan di utara bandar Alleppo, semalam.

Menurut Pemerhati Hak-Hak Asasi Syria di Britain, serangan berlaku di kawasan kejiranan Saif al-Dawla.

Sementara itu, memetik laporan The Indepedent, serangan oleh rejim Bashar al-Assad susulan serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di bandar Aleppo Jumaat lalu yang dipercayai telah membunuh 52 orang, termasuk tujuh kanak-kanak.

AS dan kuasa-kuasa Arab telah menjalankan serangan udara hampir setiap hari terhadap kumpulan militan IS di Syria sejak September lepas.

Di luar ibu negara, pertempuran berlaku di dalam dan sekitar bandar Maydaa antara tentera kerajaan Syria dan pemberontak.

Aktivis berkata, Maydaa adalah laluan bekalan utama keluar dari kawasan luar bandar yang terkapar dikenali sebagai Timur Ghouta, yang telah lama berada di bawah pengepungan kerajaan.

Pelatih kanan IS diberkas

Pelatih kanan IS diberkas
Tentera Lubnan berkawal di sekitar sempadan Syria berikutan jumlah militan yang semakin ramai di negara itu.

BEIRUT - LUBNAN. Seorang anggota kanan kumpulan militan IS telah ditahan di Lubnan semasa menggunakan pasport palsu, menurut pegawai pasukan keselamatan, semalam.

"Ibrahim al-Barakat, 40, diberkas awal pagi kelmarin dan dituduh sebagai ejen yang merekrut anggota baharu bagi kumpulan terbabit," katanya.

Menurutnya lagi, penahanan Barakat dibuat ketika dia cuba untuk melakukan perjalanan ke Turki melalui utara Lubnan dengan menggunakan dokumen palsu.

Press TV melaporkan selain didakwa menyerang unit tentera Lubnan tahun lalu, dia juga menghadapi tuduhan melatih anak muda dari Tripoli, iaitu bandar terbesar di negara itu, untuk berjuang dengan militan Syria dan Iraq.

Sejak beberapa bulan lalu, Lubnan menyaksikan peningkatan jumlah militan di sempadan Syria dan berdepan serangan dari sekutu al-Qaeda serta IS sejak krisis bermula empat tahun lalu.

Monday, 4 May 2015

Serangan Amerika di utara Syria, 52 orang awam terbunuh

seorang lelaki mengangkat seorang wanita yang cedera dalam serangan
Seorang lelaki mengangkat seorang wanita yang cedera dalam serangan bom oleh tentera Syria yang mengenai sebuah sekolah dan bangunan kediaman di Seif al-Dawla di Aleppo, semalam. REUTERS

BEIRUT 3 Mei – Serangan udara tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di utara Syria mengakibatkan sekurang-kurangnya 52 orang awam terbunuh.
Badan Pemerhati dan Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan keganasan di beberapa tempat di Syria termasuk serangan roket oleh pemberontak di wilayah Aleppo mengakibatkan 15 orang awam lagi terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Pengarah badan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP serangan tentera perikatan diketuai AS awal Jumaat lalu itu ke atas perkampungan Birmahle di wilayah Aleppo itu turut mengakibatkan tujuh kanak-kanak terbunuh, dan pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menyelamatkan 13 yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Serangan udara itu dilancarkan ketika militia Kurdis dan pemberontak Syria bertempur dengan kumpulan militan IS di sebuah bandar terletak kira-kira dua kilometer dari Birmahle.
‘‘Tiada seorang pun anggota IS terbunuh,’’ dalam serangan ke atas Birmahle, kata Abdel Rahman.
Seorang jurucakap Pemerintah Pusat AS, Kol Patrick Ryder berkata, tidak ada maklumat untuk menyokong dakwaan bahawa serangan udara itu mengakibatkan penduduk awam terbunuh.
Berita tentang serangan itu dilaporkan ketika Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper melawat Iraq, beberapa hari selepas Parlimen Kanada meluluskan bantuan tambahan kepada kempen serangan terhadap IS oleh tentera pakatan.
Satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu oleh pasukan petugas bersama tentera perikatan berkata, mereka telah melancarkan enam serangan udara ke atas IS dekat Kobane.
Sebelum serangan itu, serangan tentera pakatan turut membunuh 66 orang awam.
Serangan roket di kawasan kediaman yang dikuasai IS di wilayah Aleppo yang mengakibatkan 15 orang awam terbunuh, termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang wanita, kebanyakan mereka dari satu keluarga itu, bertujuan membalas dendam atas kematian pemimpin mereka, Badr Khaled Siraj, yang lebih dikenali sebagai Khaled Hayyani, kata Abdel Rahman. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-amerika-di-utara-syria-52-orang-awam-terbunuh-1.87453#sthash.NloaLYdF.dpuf

Saturday, 2 May 2015

Kumpulan baharu perangi IS


KUMPULAN Jaysh Al-Islam yang menentang IS mempamerkan kekuatan mereka dalam satu perarakan tentera baru-baru ini. - AGENSI


DAMSYIK – Satu kumpulan baharu untuk menentang militan Islamic State (IS) dan rejim Syria menyiarkan satu rakaman video mempamerkan 1,700 anggota dalam satu perarakan ketenteraan baru-baru ini.
MailOnline melaporkan, perarakan besar-besaran itu turut memperlihatkan barisan kereta kebal dan pasukan khas tentera sempena meraikan ‘majlis graduasi’ ahli kumpulan berkenaan.
Kesemua mereka membentuk satu kumpulan kecil dinamakan Jaysh Al-Islam atau bermaksud Tentera Islam yang dilaporkan mempunyai sebanyak 25,000 ahli berikutan penggabungan lebih 60 puak pemberontak di Syria.
Berpuluh-puluh anggota unit khas bertopeng turut mempamerkan kemahiran pertempuran jarak dekat dalam perarakan ketenteraan terbesar yang pernah disaksikan sejak berlakunya revolusi Syria pada 2011.
Kumpulan yang bertindak menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar Al-Assad ini didakwa menerima dana daripada kerajaan Arab Saudi.
Menurut The Guardian, kerajaan Arab Saudi telah menyumbang wang berjuta-juta dolar bagi mengalahkan rejim Syria dan militan IS.
Jaysh Al-Islam diketuai oleh Sheikh Zahran Aloush yang mentadbir beribu-ribu tentera dan kereta kebal ketika berkumpul di satu kawasan lapang.
“Kami akan meninggalkan medan ini selepas menyelesaikan misi dan bersedia untuk jihad,” ujar Zahran. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Yw65G8Nt 
Hakcipta terpelihara 

Friday, 1 May 2015

Lagi serangan gas klorin

Lagi serangan gas klorin
Mangsa keracunan gas klorin mendapatkan rawatan ketika insiden serangan sama dilaporkan berulang di Syria sebelum ini

DAMSYIK - SYRIA. Kumpulan Rangkaian Hak Asasi Manusia di Syria, kelmarin mendakwa satu lagi serangan senjata kimia dipercayai berlaku di barat laut Idlib.

Menurut saksi beberapa helikopter milik tentera kerajaan melepaskan sekurang-kurangnya dua tong mengandungi gas klorin ke atas bandar Saraqeb hingga menyebabkan kira-kira 12 penduduk mengalami sesak nafas.

Dalam satu kenyataan, ketua pembangkang utama Syria mendedahkan beliau menerima laporan itu ketika menghadiri mesyuarat tertutup dan tidak rasmi bersama Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
"Saya mendesak UNSC supaya bertindak tegas terhadap resolusi dikeluarkan oleh mereka terhadap penggunaan senjata kimia di Syria termasuk yang baharu dikuatkuasakan pada bulan lalu," kata Presiden Gabungan Kebangsaan Syria (SNC), Khaled Khoja.

Sebelum ini, banyak pihak menuduh kerajaan Syria bertanggungjawab mendalangi serangan senjata kimia sejak perang saudara tercetus di negara itu pada 2011, namun dinafikan oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.

Difahamkan, gas klorin tidak diisytiharkan sebagai senjata kimia di bawah perjanjian bersama Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang menetapkan kesemua senjata kimia milik Syria dimusnahkan mengikut tarikh ditetapkan agensi antarabangsa itu pada 2013. - Al-Arabiya

Sunday, 26 April 2015

Jolie kritik Majlis Keselamatan PBB


NEW YORK 25 April – Aktres terkenal Amerika Syarikat (AS), Angelina Jolie mengkritik Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kegagalan menamatkan perang saudara di Syria, selain merayu bantuan kemanusiaan disalurkan kepada pelarian perang dari negara itu.
ANGELINA JOLIE tiba di bangunan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghadiri mesyuarat dengan Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik Asia Barat dan Syria di New York, kelmarin. AFP
Sebagai duta khas Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Jolie melemparkan kritikan tersebut selepas mengadakan lawatan ke kem pelarian sebanyak 11 kali untuk menilai situasi semasa rakyat Syria yang terhimpit akibat perang.
Menurutnya, dianggarkan 3.9 juta rakyat Syria menjadi pelarian sejak perang saudara meletus kira-kira empat tahun lalu di negara itu.
“Tujuan PBB ditubuhkan adalah untuk menghalang dan menamatkan konflik, menjadikan negara di seluruh dunia bersatu dan mencari penyelesaian politik serta menyelamatkan nyawa.
“Ternyata kita (PBB) gagal menterjemahkan tujuan itu di Syria,” katanya ketika berucap pada sidang badan dunia itu, semalam.
Jolie turut menyuarakan kemarahannya terhadap kebuntuan untuk menamatkan perang di Syria ketika duta dan menteri saling berbahas tentang krisis kemanusiaan yang menyebabkan negara itu terjerumus ke lembah kehancuran.
Tambahnya, krisis di Syria semakin buruk akibat perbezaan pendapat dan kegagalan masyarakat antarabangsa terma­suk Majlis Keselamatan PBB me­nunaikan tanggungjawab mereka.
“Majlis itu sepatutnya bersatu untuk menyelesaikan konflik dan membantu berjuta-juta rakyat Syria yang menjadi pelarian di negara-negara jiran,” katanya.
Majlis Keselamatan PBB terbahagi antara kuasa Barat yang mahu tekanan dikenakan ke atas Damsyik, manakala sekutu kuat Syria iaitu China dan Rusia tidak bersetuju dengan usul tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 60 askar kerajaan Syria terbunuh akibat pertempuran dengan kumpulan penentang di bandar Jisr al-Sughut dekat wilayah Idlib. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jolie-kritik-majlis-keselamatan-pbb-1.84744#sthash.jfQb118c.dpuf

Saturday, 25 April 2015

Arab Saudi gagalkan serangan bom IS

SABTU, 25 APRIL 2015 @ 12:13 AM



 KUMPULAN militan IS yang dikatakan bertanggungjawab menembak mati dua anggota polis di Riyadh awal bulan ini. - Foto fail AP

 RIYADH: Arab Saudi menyatakan ia menggagalkan rancangan pengeboman oleh kumpulan militan IS yang dikatakan bertanggungjawab menembak mati dua anggota polis di Riyadh awal bulan ini. Menurut pihak berkuasa, tiga kereta yang sarat dengan bom dirampas semasa siasatan pembunuhan itu. Kementerian Dalam Negeri menyatakan seorang lelaki Arab Saudi ditahan di sebuah ladang di utara Riyadh kerana disyaki melakukan pembunuhan itu dan suspek mengaku beliau hanya melaksanakan perintah daripada IS di Syria. Lelaki itu dinamakan sebagai Yazid Mohammed Abdulrahman Abu Niyan, 23. Pihak berkuasa menawarkan satu juta riyal (AS$267,000) bagi penangkapan suspek kedua, seorang lagi rakyat Arab Saudi yang dikenali sebagai Nawaf Sharif Samir al-Anzi. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49608

Friday, 24 April 2015

IS Rejam Pasangan Gay Hingga Mati


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 10:07 AM

KUMPULAN militan Negara Islam (IS) bertindak merejam dua lelaki gay sehingga mati di khalayak ramai sebagai hukuman kepada kesalahan hubungan sejenis itu di Homs, Syria.
Dalam gambar terbaru yang dimuat naik IS ke laman sosial, terdapat empat lelaki dipercayai ahli kumpulan militan tersebut membawa dua lelaki gay yang telah ditutup mata mereka.
Pasangan gay tersebut kemudian berpelukan sesama mereka serta ahli kumpulan militan sebelum hukuman dijalankan.
Pasangan gay berpelukan dengan ahli kumpulan militan sebelum mereka direjam hingga mati.
Rejam menggunakan batu itu dimulakan oleh empat lelaki berkenaan sebelum disusuli oleh penduduk yang menyaksikan kejadian.
Pasangan gay tersebut didakwa telah diberikan dadah supaya mereka tidak berkelakukan agresif ketika hukuman dijalankan.
Bagaimanpun tiada sumber yang dapat mengesahkan mengenai pemberian dadah yang didakwa media barat.