Monday 27 May 2013

Hizbullah ikrar pertahan Bashar


Beirut: Pemimpin pejuang Hizbullah Lubnan berikrar untuk membantu Presiden Bashar Al Assad mencapai kemenangan dalam perang saudara di Syria.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Sheikh Hassan Nasrallah juga memberi amaran, kejatuhan kerajaan Bashar akan mendorong kebangkitan kumpulan pelampau dan menjerumuskan Asia Barat ke ‘zaman gelap.’
Beliau juga mengaku pejuang kumpulan itu kini berada di Syria untuk memerangi pelampau Islam yang didakwanya mengancam Lubnan dan tidak akan membenarkan militan Syria menguasai kawasan di sempanjang sempadan kedua-dua negara itu.

Menurutnya, Hizbullah akan membantu mengubah keadaan perang saudara di Syria itu sehingga ia memihak kepada Bashar dan anggota tenteranya akan terus kekal di negara berkenaan selagi perlu untuk berbuat demikian.


“Kami akan meneruskan tindakan ini. Kami akan memikul tanggung jawab dan akan meneruskan pengorbanan sehingga berjaya,” kata Hassan dalam satu kenyataan.


Kenyataan pemimpin Hizbullah itu mengesahkan bahawa kumpulan itu terbabit secara langsung dalam sengketa bersenjata di Syria.

Ia juga kenyataan pertama Hassan sejak pejuang Hizbullah dikerah ke barisan depan dalam pertempuran di Qusair, bandar strategik Syria yang terletak berhampiran sempadan Lubnan.

“Jika Syria jatuh ke tangan Amerika, Israel dan takfiri, Hizbullah akan terkepung dan Israel akan memasuki Lubnan serta memerintahnya sesuka hati. Palestin juga akan musnah.

“Penduduk rantau ini akan hidup dalam zaman kegelapan,” kata Hassan.

Takfiri merujuk kepada ideologi yang mendesak penganut fahaman Sunni untuk membunuh mereka yang dianggap kafir. - Reuters

No comments:

Post a Comment