Kubu Hizbullah dibedil
Beberapa askar Lubnan sedang memeriksa serpihan roket yang mengenai pameran kereta di daerah Mar Mikhael, semalam.
DUA kawasan kejiranan di Beirut yang menjadi kubu kuat gerakan Hizbullah dibedil roket dan turut mencederakan empat individu, menurut pegawai keselamatan Lubnan, semalam.

Bagaimanapun, salah sebuah roket yang disasarkan di daerah Chiyah yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pertama di Mar Mikhael dilaporkan tidak meletup.

Ketegangan dikatakan semakin meningkat di Lubnan selepas Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengancam untuk bertindak balas ke atas Hizbullah selepas gerakan itu menghantar pejuang mereka untuk membantu tentera kerajaan.

Kelmarin, pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah berikrar untuk memastikan kemenangan dalam perang saudara di Syria berpihak kepada  Presiden Bashar al-Assad dan beliau juga memberi amaran kejatuhan rejim Assad akan menyebabkan kebangkitan golongan pelampau di rantau Arab.

Kenyataan dipaparkan stesen televisyen tempatan itu didakwa telah turut mengesahkan penglibatan secara langsung gerakan tersebut dalam konflik di Syria menurut laporan AP.