Monday 27 May 2013

Kubu Hezbollah diserang, 4 cedera


Pasukan keselamatan Lebanon memeriksa lokasi serangan dua roket di kawasan kediaman penduduk Syiah, di selatan Beirut, semalam dipercayai ada kaitan dengan konflik Syria. - AFP
BEIRUT 26 Mei - Empat orang cedera apabila dua roket dilancarkan ke kawasan kediaman penduduk Syiah di selatan Beirut, hari ini yang merupakan kubu pergerakan Hezbollah, kata sumber keselamatan Lebanon.
Sumber berkata, dua roket jenis Grad mengenai kawasan perumahan Al-Shayyah di pinggir bandar Beirut.
Sumber keselamatan berkata, empat yang cedera merupakan rakyat Syria setelah satu daripada roket itu mengenai sebuah bilik pameran kereta.
Wartawan AFP melaporkan roket kedua mengenai sebuah blok pangsapuri, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Serangan roket itu berlaku beberapa jam selepas pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah berikrar akan terus berperang di Syria dan menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Sumber keselamatan itu berkata, serangan itu dilancarkan dari Aitat di kawasan Gunung Lebanon, kira-kira 13 kilometer dari tenggara kawasan kejadian.
"Tentera kini berada dalam perjalanan untuk menyiasat kawasan itu.
"Kejadian ini mungkin mempunyai kaitan dengan konflik di Syria," kata sumber tersebut.
Televisyen Hezbollah, Al-Manar menyiarkan secara langsung dari Al-Shayyah pasukan keselamatan dan Menteri Dalam Negeri, Marwan Charbel tiba di tempat kejadian.
Serangan itu merupakan kejadian pertama kawasan pinggir bandar di ibu negara menjadi sasaran serangan sejak konflik Syria bermula dua tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130527/lu_05/Kubu-Hezbollah-diserang-4-cedera#ixzz2US3WR2vv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment