Wednesday 12 June 2013

Budak dibunuh depan famili


Beirut: Gambar kanak-kanak berusia 14 tahun yang dibunuh di depan ibu bapanya oleh kumpulan penentang di utara Syria mencetuskan persoalan mengenai tindakan keterlaluan yang dilaksanakan di kawasan yang dikuasai penentang Presiden Bashar al-Assad.

Anggota kumpulan Negara Islam dan Syria yang ada hubungan dengan al-Qaeda berkata, mereka membunuh Mohammad Qattaa kerana menghina Rasulullah (SAW).


Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia berkata, budak itu tidak melakukan sebarang kesalahan apabila menggunakan frasa bahasa Arab yang merujuk kepada nama Nabi Muhammad (SAW).

Gambar wajah Qattaa yang berlumuran darah kesan daripada tiga das tembakan yang membunuhnya Ahad lalu tersebar begitu pantas di laman media Internet, mengundang kecaman keras mengenai pembunuhannya daripada kumpulan penentang utama Bashar.


“Sedangkan orang yang menembak anjing di tepi jalan raya juga akan dikecam. Tetapi apa salah anak saya. Dia hanya kanak-kanak.” “Bagaimana mereka tergamak membunuhnya. Mereka membunuhnya di depan saya. Semoga Allah menghukum mereka. Saya melihat darahnya mengalir,” kata ibu Qattaa.


“Kami tidak memihak kepada sesiapa. Kami hanya mempertahankan diri kami. Mengapa anda membunuh anak saya. Adakah dia pengganas?” katanya lagi.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, militan yang bertanggungjawab membunuh budak itu ialah sukarelawan asing yang ada kaitan dengan Pertubuhan Negara Islam Iraq dan Syria.


“Seorang anggota kumpulan itu yang dihubungi oleh aktivis kami berkata, budak itu memang patut mati. Mereka yang membunuhnya bukan rakyat Syria,” kata pengarah kumpulan hak asasi itu, Rami Abdel Rahman.

Sebahagian besar wilayah utara Syria kini dikuasai oleh pelbagai kumpulan penentang, ada yang mendakwa berlandaskan Islam sehingga menubuhkan sistem keadilan sendiri di kawasan yang mereka kuasai.


Pembunuhan Qattaa adalah keganasan terbaru oleh anggota penentang yang merisaukan kumpulan penentang utama serta penyokong Baratnya.


Bulan lalu, satu video amatur menunjukkan seorang anggota penentang di Homs memakan organ anggota tentera Syria yang dibunuh. - AFP

No comments:

Post a Comment