Sunday 9 June 2013

Mufti Saudi puji Yousuf Al-Qaradawi


Abu Dhabi: Mufti Besar Arab Saudi semalam memuji ulama terkenal Sheikh Yousuf Al Qaradawi kerana mengecam kumpulan Hizbullah Lubnan.

Sebagai tanda bahawa perang saudara di Syria semakin menyatukan ulama Wahabi di Arab Saudi dengan ulama Sunni lain, khususnya Ikhwanul Muslimin, Sheikh Abdelaziz Al Shaikh berkata semalam, beliau dimaklumkan mengenai sokongan Qaradawi terhadap tentangan ulama Saudi ke atas Hizbullah.
Qaradawi dianggap pemimpin spiritual di sebalik kebangkitan Arab kerana sokongan awalnya terhadap tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir.

Beliau dan pemimpin Ikhwan lain dicurigai pemimpin agama Saudi yang percaya tokoh agama tidak boleh mengejar kuasa politik.


Bersama-sama ulama Sunni lain, Qaradawi menyokong Hizbullah dan pemimpinnya, Sheikh Hassan Nasrallah dengan menyifatkan kumpulan itu sebagai simbol tentangan terhadap penjajahan Israel di selatan Lubnan.


Bagaimanapun, ketika berucap di Doha minggu lalu, Qaradawi menarik balik sokongannya terhadap kumpulan itu dan menyifatkannya sebagai ‘Parti Syaitan’ kerana pembabitannya secara langsung dalam menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad.

“Syukur kerana beliau sudah berubah pendapat dan menyokong pandangan kami terhadap Hizbullah. Pada saat berjarah itu, kami menyuarakan sokongan ke atas Qaradawi dan menggesa semua ulama menghentikan keganasan Hizbullah,” kata Abdelaziz yang disiarkan media Arab Saudi.

Qaradawi, dalam ucapannya minggu lalu menggesa masyarakat Sunni berjihad membantu menumbangkan kerajaan Bashar.

No comments:

Post a Comment