Sunday 9 June 2013

PBB rayu RM16 bilion untuk Syria


Gambar bertarikh 5 Jun lalu, menunjukkan tentera kerajaan Syria bersama kereta-kereta kebal di Qusayr selepas pasukan itu berjaya menawan bandar tersebut daripada pemberontak. - REUTERS
GENEVA 8 Jun - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam merayu bantuan sebanyak AS$5.2 bilion (RM16 bilion) bagi membiayai kos operasi misi kemanusiaan di Syria dan negara-negara berhampiran, jumlah terbesar pernah diminta badan dunia tersebut setakat ini.
Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres berkata, konflik di Syria bukan sahaja menyebabkan ramai orang menderita, tetapi turut menyaksikan sebuah negara yang sedang runtuh serta memberi kesan terhadap negara-negara jiran yang lain.
"Jika peperangan di Syria tidak dihentikan, dunia berdepan konflik yang lebih besar di Asia Barat dan kita tidak bersedia untuk menghadapinya.
"Usaha menyalurkan bantuan mungkin tidak boleh menghentikan peperangan, tetapi masih boleh menjadi kepentingan untuk membuka jalan keamanan di Syria," jelasnya.
Rayuan bantuan tertinggi sebelum ini oleh PBB dibuat untuk mengatasi krisis di Iraq dengan jumlah AS$2.2 bilion (RM6.8 bilion) pada 2003.
Bantuan berjumlah RM16 bilion untuk misi di Syria itu termasuk bantuan makanan, air bersih, perubatan, pendidikan serta pembinaan kem pelarian.
Ia akan digunakan untuk membiayai operasi PBB secara berterusan sehingga hujung tahun ini dengan AS$3.8 bilion (RM11.7 bilion) akan digunakan bagi membantu pelarian yang mencatatkan pertambahan jumlah 7,000 orang sehari dan baki AS$1.4 bilion (RM4.3 bilion) digunakan bagi operasi bantuan di Syria.
Dalam pada itu, PBB berkata, angka pelarian Syria yang menyeberang sempadan ke Lebanon, Turki, Iraq dan Jordan semakin meningkat dan sukar dikawal.
Jumlah pelarian Syria dijangka meningkat kepada 3.5 juta orang pada hujung tahun ini dan PBB berharap masyarakat dunia dapat membantu dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_07/PBB-rayu-RM16-bilion-untuk-Syria#ixzz2VfrJud2P
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment