Saturday 24 August 2013

Bashar dalang serangan kimia


SEJUMLAH bangkai haiwan dilihat di Zamalka, dekat Damsyik yang didakwa menjadi lokasi serangan kimia oleh tentera rejim Bashar Al-Assad kelmarin.



LONDON - Kerajaan Britain percaya rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertanggungjawab berhubung dakwaan penggunaan senjata kimia pada minggu ini, kata Setiausaha Luar William Hague semalam.
Pada masa yang sama Hague meminta pasukan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diberikan akses serta-merta untuk mengunjungi lokasi berkenaan.
Serangan senjata kimia itu didakwa berlaku di sebuah lokasi berhampiran ibu negara Syria, Damsyik pada Rabu lalu.
"Bukti serangan kimia itu berlaku akan hilang jika tindakan lambat diambil," kata Hague.
"Kami percaya serangan kimia berskala besar ini dilakukan oleh rejim Bashar tetapi kami mahu PBB diberi akses untuk membuktikannya," tambahnya.
Beliau menolak dakwaan bahawa serangan itu sengaja diada-adakan oleh pihak penentang yang memerangi rejim Bashar.
"Peluang untuk itu berlaku adalah amat tipis," ujarnya.
"Satu-satunya penjelasan yang munasabah adalah ia serangan kimia. Sudah jelas beratus-ratus orang terbunuh. Beberapa anggaran lain mendapati lebih 1,300 orang maut dalam serangan ini," jelas Hague.
Damsyik sebelum ini menafikan dakwaan bertanggungjawab melancarkan serangan kejam tersebut.
Namun, kata Hague, tiada penjelasan lain selain penggunaan senjata kimia yang dapat menjelaskan punca sebegitu banyak kematian berlaku di kawasan yang kecil.
Sementara itu, seorang penyerang berani mati meletupkan diri di sebuah restoran di bandar Aleppo, utara Syria yang mengakibatkan enam orang terbunuh.
Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, letupan berlaku ketika sekumpulan belia mengadakan majlis tamat pengajian seorang penuntut di sebuah restoran kelmarin.
"Serangan juga mencederakan 19 orang termasuk sebahagian mengalami cedera parah," kata kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.
Kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bertukar menjadi perang saudara yang meragut lebih 100,000 nyawa sejak konflik berlanjutan lebih dua tahun. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2cq5rXWCA 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment