• Pelarian kanak-kanak Syria cecah sejutaKem pelarian di Jordan semakin bertambah selepas rejim Bashar melakukan serangan senyap, kelmarin.
 1 / 1 
GENEVA - SWITZERLAND . Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, bilangan kanak-kanak melarikan diri daripada perang saudara di Syria mencecah sejuta.

Ketua Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Anthony Lake, dalam satu kenyataan melaporkan, dua juta kanak-kanak pelarian berdaftar masih berada di antara sempadan negara itu di bawah seliaan PBB.

“Bilangan sejuta kanak-kanak itu adalah kanak-kanak yang terpisah dari keluarga dan menghadapi trauma melampau,” katanya.

Menurutnya, separuh daripada pelarian Syria termasuk wanita dan kanak-kanak kini berlindung di Lebanon, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir.

“Tetapi jumlah mereka menyelamatkan diri ke Eropah dan Afrika Utara juga semakin meningkat,” katanya dipetik dari laporan Al Jazeera.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kira-kira 740,000 pelarian Syria adalah kanak-kanak berumur bawah 11 tahun.

Minggu lalu, media tempatan melaporkan, kerajaan Syria mengarahkan ribuan  pelarian kembali semula ke Syria selepas meyakinkan keadaan di Damsyik semakin pulih namun  empat hari kemudian lalu tentera rejim melakukan serangan senyap dengan melepaskan gas beracun  di pinggir bandar Damsyik di Ain Tarman, Zamalka dan Jobar hingga menyebabkan 1,400 maut dengan lebih 600 kanak-kanak terkorban.