Monday 2 September 2013

AS tangguh serang Syria


Sekumpulan rakyat Amerika Syarikat (AS) memegang kain rentang dan papan tanda mengutuk campur tangan AS dalam krisis Syria, dalam bantahan di pusat bandar raya Los Angeles, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 1 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam menangguhkan rancangan melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria bagi mendapatkan persetujuan Kongres terlebih dahulu, cubaan untuk menguji kekuatan negara itu di luar negara dan mengukuhkan kuasa pentadbirannya di AS sendiri.
Sebelum Obama membuat keputusan tersebut, tindakan ketenteraan dilihat bakal dilancarkan ekoran kapal-kapal perang AS ditempatkan di timur Laut Mediterranean dan pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meninggalkan Syria apabila selesai mengumpulkan bukti penggunaan senjata kimia dalam serangan di luar Damsyik pada minggu lepas.
Bagaimanapun, Obama membuat keputusan untuk mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen AS sebelum melancarkan tindakan tersebut ketika tinjauan pendapat menunjukkan rakyat negara ini yang jemu dengan perang di Iraq dan Afghanistan, menentang keras perkara itu.
"Hari ini (semalam) saya meminta Kongres menghantar satu mesej kepada dunia bahawa kami bersedia untuk bergerak sebagai satu negara,'' katanya ketika membuat pengumuman tersebut di White House.
Obama memberi amaran kepada Ahli-Ahli Parlimen bahawa mereka perlu menimbang kesan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Syria.
"Soalan saya kepada semua ahli Kongres dan anggota masyarakat dunia: Apakah mesej yang akan kita hantar jika seorang diktator boleh menggunakan senjata kimia membunuh kanak-kanak di mata umum dan tidak menerima sebarang hukuman,'' katanya.
Pendekatan itu menimbulkan keraguan sama AS akan melancarkan tindakan ketenteraan tersebut yang telah diluluskan Obama.
Walaupun menerima sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen, tidak bermakna cadangan membenarkan tindakan ketenteraan itu akan diluluskan ekoran kebanyakan anggota Parti Demokrat dan Parti Republikan ragu-ragu dengan campur tangan AS dalam konflik di Syria yang menyaksikan kira-kira 100,000 orang maut.
Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault dalam reaksinya hari ini berkata, pihaknya tidak boleh bertindak sendiri ke atas Syria jika AS mengambil keputusan untuk tidak menghukum Assad.
Ayrault berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ahli-Ahli Parlimen esok berhubung hukuman yang wajar dikenakan ke atas Presiden Syria itu.
Menteri Dalam Negeri, Manuel Valls pula berkata, Perancis akan menunggu keputusan Kongres AS yang mungkin akan diumumkan sekurang-kurangnya seminggu lagi. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130902/lu_04/AS-tangguh-serang-Syria#ixzz2djJNzZzr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment