Monday 2 September 2013

Obama tunggu lampu hijau kongres serang Syria


SEBUAH pesawat tentera Amerika Syarikat berlepas dari pangkalan Incirlik, Turki semalam. Presiden AS, Barack Obama menyatakan beliau akan mendapatkan kelulusan Kongres sebelum menyerang Syria.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar kecil) menangguhkan tindakan ketenteraan ke atas Syria kelmarin kerana percaya beliau mampu memperoleh lebih banyak sokongan untuk menghukum rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Keputusan itu diputuskan Obama lewat kelmarin kerana beliau mahu anggota-anggota Kongres mempertimbangkan penggunaan kuasa ketenteraan terhadap Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia dalam serangan pada 21 Ogos lalu.
Perbincangan mengenai tindakan tersebut akan diputuskan selepas Kongres kembali bersidang pada 9 September ini.
Namun, Obama turut menegaskan bahawa beliau tetap mempunyai kuasa ketenteraan untuk menyerang Syria tanpa kebenaran Kongres.
Menurut pegawai di White House, penangguhan tersebut juga dilihat memberi peluang kepada Obama meraih sokongan antarabangsa.
Obama dilapor akan menyertai persidangan G20 pada minggu ini di Rusia yang bakal dibayangi krisis di Syria.
Namun, kredibiliti Obama mungkin tercabar jika Kongres tidak menyokong rancangan menyerang Syria seperti dialami sekutunya, Perdana Menteri Britain, David Cameron yang gagal dalam undian Parlimen berhubung usul sama.
"Pengerusi bersama ketua-ketua tentera telah memaklumkan kepada saya bahawa kita akan melancarkan serangan pada bila-bila masa.
"Tambahan pula, pengerusi telah memberitahu saya bahawa keupayaan kita untuk melaksanakan misi ini bukan pada masa sensitif. Ia akan berkuatkuasa sama ada esok, minggu depan atau sebulan dari sekarang," tegas Obama ketika berucap di laman Rose Garden di White House.
Sekurang-kurangnya lima kapal perang AS dengan puluhan peluru berpandu Tomahawk telah tertumpu di timur Mediterranean untuk melancarkan serangan ke atas rejim Bashar.
Terdahulu, Perancis yang juga sekutu AS menyatakan kesediaannya untuk mengerahkan tentera dalam operasi di Syria.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan penyiasat senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meninggalkan Syria kelmarin selepas melakukan siasatan selama empat hari berhubung dakwaan serangan kimia di pinggir bandar Damsyik.
Pertubuhan Larangan Senjata Kimia yang dianggotai 13 penyiasat menyatakan bahawa keputusan analisis sampel yang diambil di lokasi kejadian mengambil masa hingga tiga minggu.
Jurucakap PBB juga berjanji pihaknya akan memberikan laporan adil selepas menjalani beberapa ujian makmal.
Sebuah pesawat milik Jerman membawa kumpulan penyiasat PBB berlepas ke Rotterdam, Belanda pada pagi kelmarin sebelum mereka dibawa ke The Hague.
Namun, Washington dan sekutu-sekutunya berkeras menyatakan mereka sudah mengetahui perkara yang perlu diketahui.
Menurut pentadbiran Obama, hasil maklumat perisikan yang boleh dipercayai mendakwa rejim Bashar melancarkan serangan kimia yang meragut 1,429 nyawa termasuk sekurang-kurangnya 426 kanak-kanak.
Syria menafikan bertanggungjawab terhadap dakwaan itu dan menuding kesalahan itu ke arah kumpulan penentang.
Lebih 100,000 orang terkorban sejak konflik di Syria meletus pada Mac 2011 dan kira-kira dua juta rakyat negara itu menjadi pelarian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2dgKNHGda 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment