Saturday 7 September 2013

Empat lagi kapal tentera laut Russia belayar ke Mediterranean


Moscow: Empat lagi kapal tentera laut Russia belayar menuju ke laut di timur Mediterranean semalam. dan kapal keempat dalam perjalanan.

Agensi berita Interfax memetik sumber di ibu pejabat tentera laut bahawa Ketua kakitangan Kremlin, Sergei Ivanov kelmarin berkata, Russia meningkatkan kehadiran tentera lautnya di Laut Mediterranean, tetapi bagi mengendalikan pemindahan rakyatnya dari Syria. Dia tidak mengatakan berapa banyak kapal dihantar.


Prospek peningkatan kehadiran tentera laut Russia dekat Syria mencetuskan kebimbangan berlakunya konflik antarabangsa lebih besar jika Amerika Syarikat (AS) mengarahkan serangan udara ekoran insiden serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu di pinggir Damsyik. AS sudah pun menempatkan pelbagai kapal perang di Mediterranean. Dua kapal selam dan sebuah kapal peninjau Russia sudah melepasi Selat Dardanelles, menurut laporan Interfax, agensi persendirian yang dikenali mempunyai hubungan di kalangan anggota tentera Russia.

Tiga kapal perang Russia dilihat belayar menerusi Selat Bosporus di Istanbul, Turki kelmarin. Tidak diketahui sama ada mereka adalah kapal sama yang dilaporkan walaupun ia kelihatan serupa.


Interfax melaporkan bahawa sebuah lagi kapal meninggalkan Pelabuhan Sevastopol di Laut Hitam pagi semalam dan akan memunggah “kargo khas” di Novorossiysk sebelum belayar menuju ke timur Mediterranean. Agensi berita kerajaan RIA Novosti turut berkata, bahawa kapal Nikolai Filchenkov akan menuju ke Syria selepas memunggah kargo di Novorossiysk, yang dikatakan akan mengambil masa beberapa hari. Tiga kapal yang dilaporkan sudah melepasi Dardanelles ialah kapal pendarat Novocherkassk dan Minsk serta kapal peninjau Priazovye.


Kementerian Pertahanan Russia berkata, ia tidak dapat mengesahkan bila kapal berkenaan berlepas. - AP

No comments:

Post a Comment