Saturday 7 September 2013

Rusia gelar AS penipu

Rusia gelar AS penipuKapal perang Rusia kini dalam perjalanan ke Syria.

MOSCOW - RUSSIA. Presiden Rusia Vladimir Putin mengkritik pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) termasuk Setiausaha Negara John Kerry kerana berbohong secara terbuka mengenai status penggunaan senjata di Syria ketika negara itu di ambang perang.

Media tempatan melaporkan, kenyataan Putin merujuk kepada rancangan Presiden Barack Obama untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syria selepas Kerry memberitahu senator bahawa penggunaan senjata di Syria berada pada tahap tertinggi.

“Saya tidak boleh terima dakwaan ini. Ketika seluruh pemimpin sedang berbincang untuk mengelakkan peperangan di Syria, Kerry secara terbuka bercakap mengenai penggunaan senjata dan jumlah militan Al Qaeda di Syria,“ katanya.

Menurutnya, penilaian Kerry terhadap kapasiti penggunaan senjata itu dilihat bertentangan dengan sumber perisikan AS dan Eropah.

“Kami diberitahu kumpulan militan dari pelbagai sayap di mana salah satunya adalah Al Qaeda hanya dari kumpulan kecil dan jumlah mereka tidak seramai seperti didakwa,” katanya kepada Al- Jazeera.

Sementara itu, komander tentera laut AS berkata, negara itu bersedia sepenuhnya untuk melancarkan serang balas terhadap Syria.

Akhbar Britain melaporkan, Pentagon merancang meluaskan kapasiti serangan dengan menggunakan aset tentera udara termasuk pengebom B-52, B1s dan B-2 stealth yang boleh melancarkan peluru berpandu.

Sehingga kini, pentadbiran Obama sedang mempertimbangkan penggunaan pesawat AS dan Perancis untuk melakukan serangan dalam usaha menggulingkan Presiden Bashar Al Assad.

No comments:

Post a Comment