Saturday 7 September 2013

Video kejam penentang Syria


Foto
ANGGOTA tentera Bashar diikat sebelum ditembak mati.
Foto
MAYAT mangsa dicampakkan ke dalam telaga.
New York: Satu rakaman video yang mula beredar di Internet semalam menunjukkan tentera Presiden Bashar al-Assad dibunuh di depan kamera oleh kumpulan penentang yang mahu menggulingkan rejim itu.

Anggota tentera itu dipaksa melucutkan pakaian seragam mereka, diikat dengan tangan ke belakang, dipaksa melutut dengan beberapa anggota pemberontak berdiri di belakang sambil mengacu senjata ke arah mereka.
Ada yang mempunyai kesan cedera di belakang dan lengan.

Sejurus sebelum mereka dibunuh, ketua kumpulan terbabit, Abdul Sammad Issa yang juga dikenali dengan panggilan ‘The Uncle,’ membacakan sajak, sebelum dia melepaskan tembakan pertama.



“Selama 50 tahun mereka menjadi sahabat kepada rasuah. Kami bersumpah kepada Tuhan, ini ikrar kami. Kami akan membalas dendam,” kata lelaki itu.


Kejadian ngeri itu dirakam pada April dan video itu diseludup keluar dari Syria beberapa hari lalu oleh seorang bekas penentang Bashar yang berkata, dia kini menjadi semakin takut dengan taktik kejam anggota kumpulan yang dulu menjadi rakan seperjuangannya.

Dia menyerahkan video itu kepada New York Times.

Abdul Sammad dikenali sebagai ‘The Uncle’ kerana dua timbalannya adalah anak saudaranya.

Bekas pembantunya yang memiliki salinan rakaman berkenaan berkata, anggota tentera Syria yang ditangkap itu sebelum itu dirakam merogol wanita awam Syria dan menjarah, menyebabkan mereka dikenakan hukuman mati.

Abdul Sammad mengarahkan pembunuhan itu dirakam supaya dia boleh menunjukkannya kepada penderma untuk mendapatkan lebih banyak sumbangan.

Pada penghujung rakaman itu, mayat tentera berkenaan dicampakkan ke dalam telaga sementara seorang lelaki bersenjata melihat pada kamera dan tersenyum.

Abdul Sammad, 37, dipercayai mendapat sokongan kira-kira 300 orang yang bersedia melakukan pembunuhan tentera pro-Bashar itu.

Dia yang sebelum perang menjadi peniaga dan penternak haiwan membentuk pasukan penentangnya sendiri dengan mengguna wang peribadi untuk membeli senjata dan membayar gaji pengikutnya.

Bapanya menentang kerajaan Presiden Hafez al-Assad, bapa presiden Syria sekarang. Dia hilang pada 1982.

Abdul Sammad kercaya bapanya dibunuh ketika Hafez melancarkan keganasan selama 27 hari terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin pada tahun itu.

Tahun lalu, Abdul Sammad dipercayai menguruskan kem latihan di Turki dan mengumpul senjata.

Rakaman itu sudah pasti mencetuskan masalah kepada Amerika Syarikat yang menimbang untuk menyerang tentera Bashar yang didakwa mengguna senjata kimia terhadap orang awam.

Awal tahun ini, satu video lain menunjukkan seorang pemimpin penentang Bashar memakan jantung seorang tentera yang dibunuhnya. - Agensi

No comments:

Post a Comment