Saturday 7 September 2013

Obama, Putin gagal sepakat


Saint Petersburg: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Puting semalam gagal mencapai kata sepakat mengenai perbezaan pendapat mereka berhubung rancangan Amerika untuk menyerang Syria.

Sehubungan itu, Washington memberi isyarat, ia tidak lagi akan berusaha mendapat sokongan Moscow di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai krisis itu.


Putin dan Obama berbincang kira-kira sejam di luar sidang kemuncak G20 tetapi kedua-duanya tidak dapat mengubah pendirian masing-masing.

“Kami berbincang. Perbincangan itu amat bermakna. Tetapi kami kekal dengan pendapat kami,” kata Putin kepada wartawan.


Ketua Dasar Luarnya, Yury Ushakov mengesahkan perbezaan pendapat antara kedua-dua pemimpin itu kekal walaupun selepas berbincang.


Putin muncul sebagai penentang utama rancangan Amerika untuk menyerang rejim Presiden Bashar al-Assad berhubung dakwaan tenteranya menggunakan senjata kimia pada 21 Ogos lalu dengan berkata, tindakan seperti itu tanpa restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh dianggap satu pencerobohan.

Kementerian Luar Russia juga memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat supaya tidak menyasarkan stok simpanan senjata kimia Syria dalam sebarang serangan. - AFP

No comments:

Post a Comment