Monday 21 September 2015

Bot getah bertembung feri


Ankara: Sekurang-kurangnya 13 migran mati lemas di luar perairan Turki semalam selepas bot getah membawa merkea ke Greece melanggar feri.

Agensi berita Dogan melaporkan, empat kanak-kanak antara 46 migran menaiki bot itu dari pelabuhan Canakkale ke pulau Lesbos di Greece.


Kerakyatan mangsa masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, pengawal pantai Greece melaporkan menyelamatkan 22 orang daripada bot yang karam berhampiran Lesbos, dipercayai membabitkan kejadian sama.

Mangsa terselamat dikenali sebagai Haseen memberitahu agensi berita Greece, ANA, bot dinaikinya merempuh kapal berkenaan.

“Keadaan amat gelap namun kami dapat melihat kapal itu semakin menghampiri.

“Kami cuba menyuluh menggunakan lampu suluh dan telefon bimbit tetapi mereka tidak dapat melihat kami,” katanya.

Katanya, dia dan penumpang lain tercampak dalam air dan menghadapi kesukaran disebabkan ombak besar.

“Ada kanak-kanak yang mati. Keadaan terlalu gelap dan kami tidak dapat melihat mereka,” katanya.

Jurucakap pengawal pantai Greece berkata, kumpulan itu ditemui dalam air berhampiran Lesbos oleh helikopter yang dikerahkan agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex.

“Berikutan itu dua kapal kami dihantar untuk menyelamatkan 22 orang termasuk tiga wanita dan seorang budak,” katanya.

Menurut ANA, seorang wanita dan bayinya antara yang berjaya diselamatkan. Lapan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masih tidak dapat dikesan.

ANA melaporkan kumpulan itu membayar 1,000 euro (RM4,800) seorang kepada penyeludup untuk dibawa ke Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

Migran yang berjaya diselamatkan.

No comments:

Post a Comment