Monday 21 September 2015

EU buntu krisis imigran


KUMPULAN imigran berhimpun di sempadan Hungary dan Austria kelmarin. - AGENSI


LONDON – Beribu-ribu imigran memasuki Austria kelmarin selepas ditolak oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sekitarnya yang sudah tidak mampu menampung kebanjiran mereka.
Setakat ini, Hungary melaksanakan tindakan paling keras untuk mengekang kebanjiran pendatang asing berkenaan dengan membina pagar besi di sepanjang sempadannya dengan Serbia.
Hungary bagaimanapun mengalah pada Jumaat lalu apabila membenarkan sekurang-kurangnya 11,000 imigran masuk ke negara itu dari Croatia.
Kumpulan pelarian itu kemudian menaiki bas ke pusat-pusat pemprosesan imigran berhampiran sempadan Hungary dan Austria. Pihak berkuasa Austria memberitahu, kira-kira 10,000 imigran memasuki negara itu kelmarin dari Slovenia dan Hungary.
“Saya berasa sangat lega,” kata seorang pelajar dari Syria, Rita Mohager, 20, selepas memasuki Austria dari Slovenia kelmarin.
Rita melakukan perjalanan getir selama empat minggu dari kampung halamannya di Latakia merentasi Turki, Greece, Macedonia, Serbia, Croatia dan Slovenia.
Dalam pada itu, krisis pelarian di Eropah turut mencetuskan pertikaian politik.
Hubungan diplomatik yang baik dalam kalangan negara EU diketepikan apabila negara-negara berkenaan mengambil pendekatan ‘cuci tangan’ dalam menangani kemasukan imigran.
Croatia yang merekodkan ketibaan 20,000 imigran sejak Rabu lalu, kebanyakannya dari Serbia selepas mereka dihalang memasuki Hungary, menyaksikan Perdana Menterinya, Zoran Milanovic mengutuk cubaan Hungary menolak kemasukan pelarian itu.
“Kami akan memaksa Hungary menerima imigran dengan berterusan menghantar mereka,” kata Milanovic pada satu sidang akhbar.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto pula membalas: “Daripada menyediakan bantuan dengan jujur untuk imigran, negara itu menghantar mereka terus ke Hungary. Adakah ini yang dinamakan perpaduan Eropah?”
Di Slovenia yang menjadi pusat krisis tersebut, Perdana Menterinya, Miro Cerar membangkitkan kemungkinan membuka satu ‘koridor’ bagi membolehkan imigran bergerak dengan selamat dari rantau Balkan ke negara-negara sebelah Eropah.
“Jika tekanan kemasukan pelarian menjadi terlalu teruk, kami akan membincangkan tentang sebuah koridor di bawah perjanjian dengan negara Eropah,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mMhf5TI7 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment