Kejadian berlaku berhampiran pintu sempadan Harmica, ketika ratusan pelarian menuntut untuk dibenarkan masuk ke Slovenia.
Selepas ketegangan selama satu jam, polis antirusuhan melepas gas pemedih mata bagi menghalang pelarian masuk dengan beberapa orang daripada mereka membawa kanak-kanak, bertindak menolak sekatan polis di sebuah jambatan di kawasan sempadan.
Pertempuran berlaku selama beberapa jam selepas Perdana Menteri, Miro Cerar mengumumkan Slovenia mungkin menimbangkan untuk mewujudkan koridor selamat buat pelarian yang mahu ke utara Eropah, sekiranya mereka terus datang dalam jumlah yang besar.
Dalam perkembangan berkaitan di Croatia, kerajaan mula memindahkan ratusan pelarian ke kawasan sempadannya dengan Hungary, sekali gus menambah ketegangan krisis pelarian di Eropah.
Ketika Croatia mendakwa sudah tidak mampu menerima kehadiran pelarian yang sudah mencapai 17,000 orang, mereka memindahkan pelarian itu ke sempadan negara itu dekat Hungary yang sudahpun memasang pagar di kawasan sempadannya menggunakan kawat duri.
Menteri Luar Croatia, Vesna Pusic berkata, Zagreb dan Budapest bersetuju untuk membenarkan pelarian yang lemah untuk menyeberangi sempadan memasuki Hungary.
“Croatia dan Hungary bersetuju untuk bekerjasama dan membenarkan kumpulan pelarian yang lemah memasuki Hungary,’’ katanya merujuk kumpulan pelarian itu terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Sementara itu, pihak berkuasa Hungary telah menahan sebuah kereta api Croatia yang membawa pelarian dari Croatia dan melucutkan senjata 40 orang anggota polis Croatia yang mengiringi pelarian itu serta menahan pemandu kereta api berkenaan, semalam.
Tindakan itu berlaku selepas lebih 4,000 pelarian tiba di sempadan Hungary dari Croatia. – AFP/REUTERS