Sunday 28 August 2016

15 lagi korban bom tong



SEORANG lelaki menggendong bayi yang berjaya diselamatkan selepas pesawat tentera Russia mengebom daerah Maadi di Aleppo, semalam. - AFP

AFP
Beirut: Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh dalam serangan bom tong di daerah yang dikuasai kumpulan penentang rejim Presiden Bashar Assad di bandar Aleppo semalam.

Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, pesawat tentera Bashar menggugurkan dua tong berisi bom selang beberapa minit di daerah Maadi, timur Aleppo.

Bom itu jatuh berhampiran khemah tempat orang ramai menerima kunjungan dan ucapan takziah bagi mereka yang terbunuh dalam serangan di daerah Bab al-Nayrab baru-baru ini, kata pengarah SOHR, Rami Abdel Rahman.

“Bom pertama digugurkan ketika orang ramai berkumpul. Bom kedua pula digugurkan ketika ambulans tiba,” kata seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Menurutnya, sebuah ambulans musnah sama sekali.

SOHR berkata, puluhan mangsa cedera dalam serangan itu dan angka kematian dijangka meningkat.

Serangan terbabit dilakukan selepas 15 orang terbunuh, 11 daripadanya kanak-kanak, juga dalam serangan bom tong di Bab al-Nayrab, Khamis lalu.

Agensi berita tempatan, Shabha Press melaporkan, 23 terbunuh dalam serangan semalam.

Aleppo yang satu ketika dulu hab ekonomi Syria musnah dalam perang saudara yang bermula dengan tunjuk perasaan anti kerajaan pada Mac 2011.

Bandar berkenaan berpecah dua, sebelah timur dikuasai kumpulan penentang dan barat oleh kerajaan, sejak pertengahan 2012.

Rejim Bashar sering menggunakan bom tong untuk menyerang kawasan yang dikuasai penentang.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:05 AM

No comments:

Post a Comment