Pertemuan itu turut disertai wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Syria, Staffan de Mistura, yang menegaskan semalam bahawa rundingan itu ‘penting’, dan boleh membantu menghidupkan usahanya bagi membawa pihak-pihak terbabit menyambung semula rundingan.
De Mistura sebelum ini menyuarakan harapan untuk membawa semula semua pihak yang terbabit dalam konfli di Syria ke meja rundingan menjelang akhir bulan ini, tetapi harapan itu dilihat sangat tipis ekoran pertempuran sengit yang sedang berlaku di Syria ketika ini.
Rundingan antarabangsa sebelum ini gagal untuk menamatkan konflik di Syria yang telah meragut lebih 290,000 nayawa selain menyebabkan berjuta-juta penduduk melarikan diri sejak lima tahun lalu.
Moscow dan Washington menyokong pihak yang berbeza dalam perang saudara di Syria, yang meletus pada Mac 2011 selepas Presiden Bashar al-Assad melancarkan tindakan kekerasan untuk mematahkan protes pro-demokrasi.
Mesyuarat hari ini diadakan ketika konflik di Syria menjadi semakin rumit apabila Ankara bertindak menghantar kereta kebal ke Syria untuk menyokong kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak yang mendapat sokongan Turki berjaya menawan bandar Jarabulus di sempadan Syria daripada kumpulan militan Daesh, manakala tentera Turki menggunakan peluang itu untuk menggempur militia Kurdis Syria yang disokong AS. - AFP