Kumpulan penentang dan keluarga mereka meninggalkan bandar tersebut dengan menaiki bas diiringi kenderaan ambulans dan Palang Merah, lapor wartawan AFP di bandar itu.
Bas pertama meninggalkan bandar tersebut hari ini membawa kebanyakannya kanak-kanak, orang tua dan wanita.
Satu sumber tentera berkata, kira-kira 300 anggota kumpulan penentang dan keluarga mereka akan dibawa keluar dari Daraya pada hari pertama proses pemindahan.
Pemindahan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian antara kerajaan dan kumpulan pemberontak di Daraya yang diumumkan semalam, dan dijangka selesai Sabtu ini.
Kumpulan pemberontak dibenarkan meninggalkan bandar itu dengan membawa senjata mereka serta dijanjikan keselamatan semasa proses transit ke bandar Idlib yang dikuasai penentang.
Sementara itu, penduduk awam dijangka dipindahkan ke pusat penempatan yang disediakan kerajaan bagi urusan pemprosesan dan penempatan semula.
Kira-kira 8,000 orang masih berada di Daraya ketika meletus pertempuran akhir 2012 dan pengeboman oleh tentera kerajaan. - AFP