Gambar itu menjadi viral selepas sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad iaitu Rusia bersetuju menghentikan serangan selama 48 jam, sekali gus membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
Imej Omran Daqneesh, 5, menjadi perhatian dunia, selepas sebelum ini gambar mayat Aylan Kurdi, kanak-kanak pelarian Syria yang terdampar di pantai Turki tahun lepas turut menjadi viral di internet.
Omran diselamatkan daripada runtuhan bangunan dalam serangan udara di Qaterji, tenggara Aleppo, kelmarin dan dipercayai telah dipertemukan dengan ahli keluarganya yang terselamat dalam serangan tersebut.
“Omran kelihatan takut dan bingung, namun dia tidak menangis kerana masih terkejut,” kata Dr. Mohammad yang merawat kanak-kanak itu.
Sementara itu, perang saudara yang tercetus di Syria selama lima tahun telah mengorbankan beratus ribu nyawa sehingga menyebabkan kawasan perkuburan penuh, tiada lagi ruang untuk menyemadikan mangsa korban konflik itu.
Menurut laporan Mail Online, penggali kubur terpaksa membuat lubang kubur dan menanam mayat secara bertingkat-tingkat kerana difahamkan 100 orang dilaporkan mati setiap hari di negara ini.
Setiap kubur bertingkat itu boleh memuatkan enam mayat dan kaedah sama turut digunakan di seluruh Syria.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah korban akibat konflik di Syria sehingga kini mencecah 200,000 orang, namun ada juga pihak menganggarkan angka tersebut lebih tinggi sehingga 400,000 orang.
Di Douma, kawasan pinggir kota Damsyik, penduduk bukan sahaja terpaksa menggunakan kubur bertingkat bagi menjimatkan ruang, malah turut mengalami masalah kekurangan kain kapan putih bagi membalut jenazah.
“Kain kapan putih sudah tidak cukup. Kami terpaksa menggunakan kain berwarna.
“Ketika pembunuhan beramai-ramai yang berlaku bulan lalu, kami terpaksa menggunakan beg plastik untuk membungkus mayat,” kata aktivis hak asasi manusia yang berpangkalan di Douma, Abu Muhammad Marouf. – AFP