Tuesday, 9 February 2016

Serangan udara Rusia berjaya usir pemberontak Syria




SEORANG kanak-kanak pelarian Syria membawa barang miliknya ketika tiba di sempadan Turki selepas meninggalkan bandar Aleppo baru-baru ini. - AFP


BEIRUT – Pemberontak Syria telah berundur dari tiga buah perkampungan yang berdepan serangan udara Rusia di wilayah Aleppo berhampiran sempadan Turki, menyebabkan kampung-kampung terbabit ditawan pejuang Kurdish, dakwa sebuah badan pemantau semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mendedahkan pemberontak meninggalkan kampung Aqlamiyah, Deir Jamal dan Mareanar kelmarin atas permintaan penduduk di sana yang khuatir rumah mereka akan dibedil.
Tindakan itu membolehkan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) masuk dan mengambil alih kuasa di ketiga-tiga kampung tersebut, hanya beberapa hari selepas pemberontak Syria kehilangan beberapa pekan berhampiran kepada puak Kurdish.
Aqlamiyah dan Mareanar terletak berhampiran pangkalan udara strategik tentera, Minnigh yang ditawan pemberontak sejak bulan Ogos 2013.
“Serpihan kumpulan pemberontak di utara bandar Aleppo semakin ‘tersepit’ antara pasukan YPG dan pejuang prokerajaan,” kata satu sumber tentera kepada agensi be­rita AFP.
“Selepas beberapa pertempuran antara pemberontak dan YPG, penduduk kampung terbabit mendesak pemberontak menyerahkan kuasa kepada puak Kurdish bagi mengelak rumah mereka menjadi sasaran jet pejuang Rusia,” jelas ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Sejak September lalu, tentera udara Rusia telah melancarkan banyak serangan udara ke atas kumpulan yang menentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Kempen pengeboman udara itu terus diperhebatkan sejak beberapa minggu lalu di wilayah Aleppo, membolehkan tentera bersekutu dan kerajaan mara lebih jauh serta memaksa berpuluh ribu rakyat Syria melarikan diri ke arah sempadan Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3zcqOBQzB 
Hakcipta terpelihara 

Monday, 8 February 2016

Turki siap terima puluhan ribu pelarian baru

Oncupinar: Turki semalam bersiap sedia untuk menerima ketibaan baru ribuan pelarian yang melarikan diri dari serangan besar-besaran tentera Syria yang disokong Russia.
Puluhan ribu penduduk Syria berada berhampiran pintu sempadan negara itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, kira-kira 20,000 orang kini berada di pintu sempadan Bab al-Salam dengan harapan untuk memasuki Turki yang setakat ini sudah menempatkan lebih dua juta pelarian dari negara jirannya yang bergolak itu.
Kumpulan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi pula berkata, 40,000 orang dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak Isnin lalu.
Pihak berkuasa Turki berusaha mewujudkan kawasan di antara kem pelarian yang sedia ada di sepanjang sempadan dengan Syria bagi menempatkan pelarian yang akan tiba itu.
Pejuang penentang Bashar dan kira-kira 350,000 orang awam masih berada di bandar Aleppo yang menjadi sasaran serangan besar-besaran tentera Syria dengan bantuan serangan udara Russia.
Beberapa trak kelmarin dilihat membawa khemah ke kem pelarian berhampiran pintu sempadan itu.
Sekurang-kurangnya empat trak bantuan juga dilihat kembali ke Turki selepas menghantar bantuan makanan kepada pelarian di sebelah sempadan Syria.
Lembaga Pengurusan Bencana dan Darurat Turki (AFAD) berkata, ia sudah membuat persiapan terakhir untuk menghadapi kebanjiran baru pelarian.
Negara itu berdepan dengan keadaan serupa pada 2014 apabila 200,000 pelarian melarikan diri dari Kobane, bandar Kurdis di sebelah Turki selama tiga hari berturut-turut apabila kumpulan Daish dan militan Kurdis Syria bertempur. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:07 AM


PENDUDUK memeriksa kerosakan pada sebuah bangunan selepas tentera Syria melancarkan serangan di kawasan kejiranan al-Sakhour, Aleppo, Syria, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113143#sthash.3nmmJpse.dpuf

Di ambang Perang Dunia

Arab Saudi: Perkembangan terbaru yang membimbangkan kini berlaku di Syria dengan beberapa negara lagi mengumumkan akan menghantar tentera ke negara itu, untuk menyokong kumpulan yang bertentangan.
Penganalisis kini khuatir, pertumpahan darah yang berlaku di Syria sejak 2011, yang kini lebih lama berbanding Perang Dunia Pertama, akan merebak menjadi perang serantau besar-besaran.
Arab Saudi mengancam mengerahkan tentera daratnya ke Syria sementara laporan perisikan menunjukkan Turki juga bersedia untuk melancarkan serangan.
Dalam pada itu, laporan dari Kiev menyatakan, Ukraine turut menimbang menghantar tenteranya.
Sekiranya tentera negara berkenaan bertempur dengan askar Russia dan Iran yang sudah sedia berada di Syria, Pertubuahan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mungkin terheret ke kancang bayangan Perang Dunia Ketiga.
Kebanyakan pakar tentera melihat konflik itu sebagai perang proksi antara Arab Saudi yang berfahaman Sunni dan disokong Amerika Syarikat di satu pihak dan Iran yang berfahaman Syiah, disokong oleh Russia di satu pihak lain.
Perang saudara yang berlaku di Yaman juga adalah pergelutan kuasa baru untuk menguasai Asia Barat.
Bagaimanapun, Perang Dingin baru ini akan menjadi teramat ‘panas’ jika tentera Saudi bertempur dengan askar Iran di medan perang.
Ada laporan mendakwa Arab Saudi sudah memperoleh atau cuba memperoleh senjata nuklear untuk ‘pertempuran terakhir’ dengan musuh ketatnya itu.
Felo penyelidik di Henry Jackson Society, Tom Wilson berkata: “Perang proksi antara Arab Saudi dan Iran meningkat secara mendadak. Kenyataan Saudi untuk mengerahkan tentera ke Syria mungkin satu ancaman sahaja bagi memaksa Barat mengambil tindakan lebih serius di Syria.
“Tetapi, jika Saudi benar-benar menghantar tenteranya ke Syria, ini akan menjadi pembukaan pertempuran baru yang boleh merebak menjadi konflik serantau besar-besaran.”
Russia mendakwa, berdasarkan gambar yang dirakam dari udara mendedahkan Turki sudahpun menghimpunkan tenteranya untuk melancarkan serangan ke atas Syria.
Sekumpulan rakyat Turki sudahpun menyertai pertempuran di Syria, memerangi tentera rejim Bashar al-Assad dan ada yang terbabit dalam keganasan bersama kumpulan Daish.
Kumpulan ultranasionalis negara itu, ‘Serigala Putih’ yang berjuang untuk melindungi bangsa Turki yang tinggal di utara Syria dan bercita-cita mengembalikan pemerintahan Empayar Uthmaniah juga terbabit dalam pertempuran menentang tentera Syria dan askar Russia.
Permusuhan antara Russia dan Turki memang sudah wujud sejak ratusan tahun lalu.
Turki kini ialah anggota NATO dan jika negara itu bertempur, seperti yang hampir berlaku selepas Ankara menembak jatuh sebuah pesawat pengebom Russia tahun lalu, Amerika Syarikat dan Britain bertanggungjawab membantu Turki.
Ukraine juga dikatakan sudah merangka rancangan menghantar askarnya memerangi Daish di Syria. Negara itu yang bertindak sebagai penampan antara Eropah dan Russia sudahpun terbabit dalam perang saudara dengan pemberontak yang disokong Russia di negara sendiri.
Jika askarnya bertempur dengan Russia di Syria, semuanya boleh berlaku. Lebih-lebih lagi NATO juga menyokong Ukraine.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:07 AM


BERMUSUHAN...(dari atas kanan, ikut pusingan jam) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Raja Arab Saudi, Salman, Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Presiden Russia, Vladimir Putin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113145#sthash.E6peTth1.dpuf

Turki buka sempadan 'jika perlu'

Oncupinar (Turki): Turki bersedia ‘jika perlu’ untuk membenarkan puluhan ribu pelarian Syria yang terperangkap di sempadannya memasuki negara itu, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Puluhan ribu rakyat Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke sempadan Turki sejak Jumaat lalu dari bandar Aleppo di utara Syria, berikutan serangan besar-besaran tentera rejim Bashar al-Assad yang disokong Russia.
“Rejim Bashar sudah mengepung sebahagian Aleppo. Turki turut terancam. Jika mereka sampai ke sempadan negara kami, kami tiada pilihan lain. Kami akan membuka pintu untuk saudara kami,” kata Recep sebaik tiba dari Senegal, semalam.
Suleyman Tapsiz, gabenor Kilis, wilayah Turki di sempadan dengan Syria, berkata, Turki yang sudah menempatkan antara dua hingga 2.5 juta pelarian Syria, kini memberi bantuan kepada 30,000 hingga 35,000 pelarian yang berhimpun di Azaz, bandar sempadan sebelah Syria. Mereka tiba di bandar itu dalam tempoh 48 jam.
Seramai 70,000 lagi mungkin menuju ke sempadan negara itu jika serangan udara tentera Russia dan kemaraan askar rejim berterusan di Aleppo, katanya.
Pintu sempadan Oncupinar di Turki, yang berdepan dengan Bab al-Salama di Syria, masih ditutup kepada ribuan pelarian yang berhimpun di situ, untuk hari ketiga semalam, kata wartawan AFP.
“Bagaimanapun, sempadan itu masih dibuka untuk kes kecemasan. Tujuh orang yang cedera dibenarkan memasuki pintu sempadan pada Jumaat dan seorang lagi kelmarin untuk di rawat di hospital negara ini.”
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata, negaranya akan membiarkan ‘dasar sempadan terbuka’ untuk pelarian Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:55 AM


PELARIAN Syria menanti makanan berhampiran kem pelarian di Bab Al-Salama, yang bersempadan dengan Turki, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113354#sthash.Vke6icTl.dpuf

Saturday, 6 February 2016

'Kegilaan perang, gula RM832, 1kg; beras RM550, 1kg'

'Kegilaan perang, gula RM832, 1kg; beras RM550, 1kg'

6 FEBRUARI 2016

MADAYA - SYRIA. Peperangan yang berlaku di bumi Syria sejak lima tahun lalu, telah membawa satu bencana kemanusiaan kepada penduduknya, mana tidaknya nasib masyarakat Syria kini boleh diibaratkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga.
Selain kediaman mereka musnah, peperangan itu juga mengakibatkan bangunan perniagaan serta pelbagai infrastruktur musnah di samping 177 buah hospital yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat musnah sama sekali sepanjang peperangan di Syria meletus.
Namun, apa yang paling menakutkan di Syria ialah hampir majoriti rakyat Syria terutamanya yang menetap di Madaya bakal mengalami krisis kebuluran.
Menerusi laman web Global Voices melaporkan sekitar 40,000 orang penduduk di situ bukan sahaja terdesak sehingga terpaksa memakan daun, malah turut menjadikan serangga dan kucing sebagai makanan untuk meneruskan kehidupan.
Malah akibat daripada kegilaan perang ini telah menyebabkan harga makanan di bandar itu dilaporkan seperti tidak masuk akal apabila harga asas seperti tepung mencecah RM500 satu kilogram, gula RM832 satu kilogram, gandum RM1,095 sekilogram, dan susu bayi dijual pada RM1,315 bagi setiap 900 gram.
Menurut Pertubuhan Palang Merah di Syria, Pawel Krzysiek, dek kerana 'kegilaan' itu rakyat Syria bakal menerima nasib seperti rakyat di beberapa buah negara benua Afrika.
“Minggu lalu, seorang kanak-kanak 10 tahun meninggal dunia kerana kekurangan nutrisi. Sekurang-kurangnya 300 orang kanak-kanak terpaksa mengharungi situasi perit akibat perbuatan kejam ini,” katanya.
Kumpulan pembangkang, Parti Campuran Kebangsaan Syria memberi amaran situasi buruk itu mungkin menjadi tragedi malapetaka kemanusiaan terburuk di Madaya.
Apapun rakyat Syria kini hanya menanti cahaya agar muncul di hujung terowong setelah lima tahun perang meletus.
Isnin lalu, rakyat bumi Anbiya ini mungkin dapat menarik sedikit nafas lega apabila satu rundingan Syria telah diadakan di Geneva, Switzerland.
Mudah-mudahan rakyat Syria kembali hidup sepertimana pada zaman-zaman 'indah' mereka seperti sebelum peperangan meletus
.

Sangkut di sempadan

Damsyik: Puluhan ribu penduduk Syria terperangkap di sempadan Turki semalam selepas melarikan diri daripada serangan Russia dan tentera kerajaan yang berjaya menyekat laluan bekalan utama ke Aleppo, bandar terbesar Syria.
Negara Barat menuduh kerajaan Syria mensabotaj rundingan damai dengan serangan ketenteraannya, malah Washington mendesak Moscow menghentikan kempennya yang menyokong Presiden Bashar al-Assad.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih berusaha menghidupkan semula rundingan damai yang tergendala, dalam pada ketua NATO Jens Stoltenberg menuduh serangan udara Russia menggagalkan usaha mencari penyelesaian politik.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menganggarkan 40,000 orang melarikan diri dari kawasan pertempuran di Aleppo.
Pengarahnya Rami Abdel Rahman berkata: “Ribuan orang, kebanyakannya keluarga dengan wanita dan kanak-kanak kini menanti untuk masuk ke Turki.”
Aleppo adalah antara kubu kuat penentang kerajaan Syria, yang kini berdepan serangan paling hebat sejak perang bermula pada 2011.
Kelmarin, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu memberitahu persidangan di London bahawa 70,000 pelarian menuju ke negaranya untuk melarikan diri dari peperangan. Sejumlah 300,000 dipercayai terkandas di Aleppo.
Aktivis dan wartawan dari perkampungan Marea berhampiran, Maamoun al- Khateeb berkata: “Situasi di utara luar bandar Aleppo sangat teruk. Penduduk dikepung dari tiga penjuru dengan hanya satu jalan untuk sampai ke sempadan Turki.”
Katanya, tentera rejim mengancam dari selatan, Negara Islam (IS) di timur dan pejuang Kurdis di bahagian barat.
Ketegangan semakin memuncak apabila Moscow kelmarin menuduh Ankara bersiap sedia menyerang Syria selepas kononnya melihat anggota dan peralatan ketenteraan di sempadan.
Dakwaan itu dinafikan Ankara.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:03 AM


PELARIAN Syria menunggu berhampiran sempadan pintu pagar Oncupinar di Kilis, Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112827#sthash.qJVh8Yw4.dpuf

Militan IS di Syria, Iraq semakin sedikit





REUTERS - ANGGOTA keselamatan Iraq berjalan berhampiran mayat seorang militan IS yang terbunuh dalam pertempuran di bandar Falluja kelmarin.


WASHINGTON – Kumpulan militan Islamic State (IS) mempunyai sehingga 25,000 pejuang di Syria dan Iraq, merosot berbanding anggaran 31,000 orang sebelum ini, menurut satu laporan risikan Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan oleh White House kelmarin.
Pihak berkuasa AS menyebut beberapa faktor termasuk kematian di medan perang dan belot sebagai punca bilangan pejuang IS berkurangan sekitar 20 peratus. Pada masa yang sama, laporan itu menyatakan, angka terbaru itu menandakan kempen ketenteraan yang diketuai AS untuk memusnahkan IS telah mencapai kemajuan.
“Berdasarkan perangkaan risikan baharu ini, IS masih menjadi ancaman besar tetapi bilangan anggota militan itu telah berkurangan. IS berdepan angka korban yang besar.
“Pasukan keselamatan Iraq, militia kecil dan kumpulan penentang lain di Syria telah banyak menyumbang kepada perkembangan ini, begitu juga dengan kempen serangan udara diketuai AS yang sudah melancarkan lebih 10,000 serangan ke atas IS,” kata jurucakap White House, Josh Earnest.
Tambahnya, IS berdepan kesukaran menambah bilangan anggotanya berbanding dahulu susulan usaha masyarakat antarabangsa menghalang kemasukan pejuang asing ke rantau itu.
Laporan risikan itu menganggarkan IS mempunyai seramai 19,000 hingga 25,000 pejuangnya di Iraq dan Syria berbanding 20,000 hingga 31,000 orang pada 2014.
Laporan risikan itu tidak mengambil kira sekutu IS di Asia Selatan dan Afrika. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3zL1NCvCi 
Hakcipta terpelihara 

70,000 penduduk Aleppo tinggalkan Syria

06 Februari 2016 1:01 AM

Beberapa orang penduduk memerhatikan keadaan bangunan yang musnah

Beberapa orang penduduk memerhatikan keadaan bangunan yang musnah dalam serangan udara tentera pakatan di kawasan kediaman al-Kalasa di utara bandar Aleppo, kelmarin. AFP
DAMSYIK 5 Feb. – Lebih 70,000 penduduk Syria dilapor melarikan diri beramai-ramai menuju Turki selepas tentera negara itu yang dibantu tentera Rusia melancarkan serangan di bandar Aleppo, hari ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu ketika berucap pada satu persidangan di London yang turut menyaksikan beberapa negara berjanji untuk memberikan bantuan berjumlah lebih AS$10 bilion (RM41.4 bilion) kepada penduduk Syria.
“Seramai 60,000 hingga 70,000 rakyat Syria kini bergerak menuju ke Turki, manakala 10,000 lagi sedang menunggu di kawasan sempadan untuk menyelamatkan diri daripada serangan udara di Aleppo,” katanya.
Sebanyak 300,000 lagi penduduk dikhuatiri masih terperangkap di bandar itu selepas laluan utama penghantaran bekalan utama terputus akibat serangan tersebut.
“Keadaan di kawasan luar bandar utara Aleppo kini dilanda bencana. Tentera Syria mengepung dari arah selatan, manakala kumpulan militan IS berada di timur dan pejuang Kurdis pula di bahagian barat.
“Orang awam kini dikepung di tiga sisi dan mempunyai hanya satu jalan untuk ke wilayah Turki,” kata seorang aktivis, Maamoun al-Khateeb.
Sementara itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan, tentera Syria dengan bantuan tentera bersekutu turut berjaya merampas semula bandar Atman di wilayah Dara’a di selatan selepas pertempuran sengit dengan kumpulan pengganas Takfiri.
“Tentera Syria mengepung kedudukan pengganas di kawasan al-Mahatta dan al-Manshiyeh di wilayah Dara’a, menyebabkan sejumlah besar pengganas terbunuh dan kenderaan milik mereka musnah,” lapor agensi berita tersebut.
Semalam, tentera Syria berjaya menawan kembali bandar Nubl dan Zahra di barat laut bandar Aleppodan sedang mara ke bandar Hama di utara, mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang pengganas Takfiri terbunuh. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/70-000-penduduk-aleppo-tinggalkan-syria-1.187280#sthash.5zkXVIZ4.dpuf

Friday, 5 February 2016

Arab Saudi sedia hantar tentera ke Syria

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2016 @ 9:04 PM


BRIGADIER Jeneral Ahmed Asseri.


RIYADH: Arab Saudi bersedia menghantar tentera ke Syria jika pakatan tentera antarabangsa diketuai Amerika Syarikat memutuskan operasi itu perlu, kata penasihat kepada menteri pertahanan negara itu. "Negara ini sedia terbabit dalam operasi darat di Syria menentang IS yang dipersetujui pakatan tentera," kata Brigadier Jeneral Ahmed Asseri yang juga jurucakap pasukan pakatan Arab diketuai Arab Saudi di Yaman. Asseri berkata, Arab Saudi adalah anggota aktif dalam pakatan tentera diketuai Amerika sejak pesawat tempur negara itu melancarkan lebih 190 serangan udara terhadap sasaran IS. "Jika ada persetujuan daripada kepemimpinan pakatan tentera, Arab Saudi bersedia mengambil bahagian dalam kempen itu kerana kami percaya serangan udara bukan penyelesaian sesuai dan perlu ada gabungan operasi darat dan udara," katanya. Ketika diminta memberi ulasan mengenai cadangan itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika, John Kirby, berkata beliau belum melihat keperluan serangan darat tetapi menegaskan pakatan tentera secara amnya menyokong untuk memiliki rakan bagi memberi lebih sumbangan dalam menentang IS. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/121541

Tentera Syria, sekutu tawan semula bandar Ataman

JUMAAT, 5 FEBRUARI 2016 @ 5:29 PM


BEIRUT: Tentera Syria dan pejuang sekutunya dapat menawan semula bandar Ataman berhampiran selatan bandar Deraa, kata televisyen Al-Manar milik Hezbollah dan kumpulan pemerhati Syria. Kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR) berkata, rampasan semula itu menewaskan pemberontak Ataman ketika serangan berlaku kira-kira tiga kilometer dari utara Deraa, sehari selepas berpuluh-puluh serangan udara yang dipercayai dilakukan pesawat Russia menyasarkan kawasan berkenaan. Tentera Syria dan sekutunya, termasuk kumpulan Hezboollah Lubnan semakin mara menggempur pemberontak di wilayah utara Aleppo. Sementara itu, serangan yang disokong Russia membantu menggagalkan rundingan damai di Geneva. - REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/121512

Pembangkang Syria beri kata dua

Pembangkang Syria beri kata dua

5 FEBRUARI 2016 

Jurucakap HNC, Salem al-Meslet mencium kain rentang memaparkan gambar kanak-kanak Syria yang terkorban di luar pejabat PBB di Geneva.

 GENEVA - SWITZERLAND. Kumpulan pembangkang utama Syria menegaskan enggan kembali ke meja rundingan sehingga tuntutan bantuan kemanusiaan dipenuhi, menurut ketua penyelarasnya, Riad Hijab, kelmarin selepas PBB menangguhkan proses itu sehingga 25 Februari depan.
Riad berkata, Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) bersetuju untuk menyertai rundingan damai di Geneva itu kerana telah diberi jaminan, namun perkara berlaku sebaliknya.
"Tiada tindakan susulan terhadap bantuan itu dan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad menjadi penyebab proses politik itu gagal kerana mereka terus menyasarkan orang awam," katanya.
Dalam sidang media berasingan, ketua perunding kerajaan, Bashar al-Jaafari pula bertindak menuding jari menyalahkan prasayarat pembangkang menjadi punca kegagalan rundingan itu.
"Sejak proses tersebut bermula, HNC enggan mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan serius dengan wakil khas PBB," jelasnya.
Sabtu lalu, Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura memaklumkan tempoh berhenti sementara diperlukan kerana banyak perkara perlu dilakukan oleh pihak berkepentingan, lapor AFP.

Serangan udara Rusia jejas penghantaran bantuan ke Syria




SEORANG penduduk memeriksa kerosakan yang berlaku akibat serangan udara tentera pro-kerajaan di bandar Anadan, di utara Aleppo, Syria kelmarin.


LONDON – Penghantaran bantuan kemanusiaan ke utara Syria mungkin boleh terputus melainkan Rusia menghentikan pengeboman udara di laluan yang membekalkan ratusan ribu orang dengan makanan dan air, kata pekerja bantuan dalam amaran mereka menjelang persidangan penderma antarabangsa semalam.
Amaran tersebut dikeluarkan oleh agensi bantuan antarabangsa kepada Thomson Reuters Foundation ketika serangan kerajaan Syria yang disokong oleh pengeboman berterusan oleh Rusia mengancam aliran bekalan kepada kumpulan penentang. Bantuan itu disalur dari Turki ke bandar Aleppo, utara Syria awal minggu ini.
Pertempuran yang semakin memuncak mendorong usaha dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva untuk mendapatkan pihak yang berperang bagi berunding untuk menamatkan konflik yang telah membunuh 250,000 orang, meningkatkan bilangan pelarian dan menjadikan kumpulan militan Islamic State (IS) semakin berkuasa.
Namun, keengganan wakil kerajaan dan pembangkang untuk berunding menyukarkan proses membawa masuk bantuan kemanusiaan ke bandar dan kawasan yang dikepung sama ada oleh tentera atau kumpulan penentang di Syria. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3zFLZPuos 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 4 February 2016

36 peratus pelarian adalah kanak-kanak

4 FEBRUARI 2016
36 peratus pelarian adalah kanak-kanak

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) mendedahkan satu pertiga daripada pelarian yang sanggup menggadai nyawa merentasi Mediterranean untuk ke rantau Eropah adalah golongan budak.
Jurucakapnya, Sarah Crowe memaklumkan 36 peratus daripada jumlah migran dari Turki ke Greece adalah kanak-kanak.
"Hampir 60 peratus daripada jumlah pelarian itu adalah wanita dan budak yang mana kebanyakannya adalah dari Syria dan zon dilanda konflik. Jumlah tersebut menunjukkan satu perubahan sangat ketara sejak Jun tahun lalu," katanya.
Sementara itu, penyelaras khas Unicef untuk krisis pelarian di Eropah, Marie Pierre Poirier berkata, golongan wanita dan kanak-kanak sebenarnya lebih terdedah kepada risiko ketika berlayar ke Eropah.
Menurutnya, ancaman tersebut semakin jelas memandangkan rantau tersebut kini dilanda musim sejuk.
Dalam satu kenyataan lain, Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) melaporkan hasil tinjauan mereka mendapati 20 peratus daripada pelarian yang mati lemas pada bulan lalu adalah golongan budak.  - Press T
V

Keadaan Kanak-Kanak Mangsa Bot Karam Menyayat Hati


Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2016 11:53 AM
Mayat budak lelaki yang lemas dalam kejadian bot karam di pantai Turki, Sabtu.

AYVACIK: Sekurang-kurangnya 37 maut termasuk kanak-kanak ditemui terdampar di pantai Turki selepas sebuah bot pendatang karam ketika cuba memasuki Eropah.
Media asing yang merakamkan kejadian pada Sabtu memaparkan keadaan kanak-kanak yang mati lemas dihanyutkan ombak ke pantai  ke tepi pantai dekat Bandar Ayvacik di timur laut Wilayah Canakkale.
Salah satu gambar AFP menunjukkan kanak-kanak yang mati berseluar gelap dan berbaju biru, dengan mukanya ditutup dengan topi.
Tambah menyedihkan apabila puting kanak-kanak itu berada di sisi mangsa.
Gambar lain menunjukkan seorang pegawai polis Turki memasukkan jasad seorang kanak-kanak ke dalam beg mayat. 
Kejadian itu mengimbau saat kematian kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi di pantai Turki pada September lalu.
Setakat ini, jumlah kanak-kanak yang lemas dalam kejadian berhampiran Pulau Lesbos, Greece itu belum dapat dipastikan. Laporan awal menyebut lima terkorban.

Wednesday, 3 February 2016

Cubaan gagalkan rundingan Syria

Cubaan gagalkan rundingan Syria

2 FEBRUARI 2016

 Tiga serangan bom menggegar bandar al-Sayyida Zeinab di pinggir Damsyik, kelmarin, turut meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa

 DAMSYIK - SYRIA.  Kementerian Luar Syria mengutuk keras kejadian tiga serangan bom menggegar pinggir ibu negara yang disifatkan sebagai cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menggagalkan rundingan damai yang sedang berlangsung di Switzerland.
Akhbar SANA melaporkan kecaman itu dibuat menerusi surat dihantar kepada  PBB yang turut mendakwa serangan terbabit cuba untuk mencetuskan ketakutan kepada penduduk negara bergolak tersebut.
Sekurang-kurangnya 50 terbunuh manakala lebih 105 lagi cedera dalam insiden pengeboman itu yang didakwa didalangi kumpulan militan IS menyasarkan stesen bas di kawasan kejiranan sesak di Koua al-Sudan di daerah al-Sayyida Zeinab, kelmarin.
Dua pengebom berani mati turut meletupkan diri mereka ketika kakitangan perubatan dan orang awam sedang menyelamatkan mangsa serangan pertama.
Dalam perkembangan lain, blok pembangkang utama Syria dilaporkan mengadakan mesyuarat pertama dengan Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura di Geneva.
Jurucakap Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC), Salem al-Meslet berkata, mereka optimistik untuk mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik berlarutan yang memberi kesan besar kepada seluruh rakyat negara itu.
"Kami berharap dapat melihat bantuan makanan tiba kepada golongan wanita dan kanak-kanak di kawasan terjejas teruk," katanya.  
Dalam satu kenyataan, HNC mengancam untuk menarik diri daripada rundingan damai tajaan PBB itu jika 'jenayah' dilakukan rejim Presiden Bashar al-Assad masih berleluasa.
"Kami tidak teragak-agak membuat keputusan itu jika PBB dan kuasa dunia gagal menghentikan perlanggaran tersebut," kata penyelaras HNC, Riad Hijab.  
Dalam satu kenyataan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menggesa kerajaan Syria dan pembangkang supaya merebut peluang untuk melaksanakan gencatan senjata di negara itu.
Difahamkan, rundingan damai tersebut akan diadakan dalam tempoh 18 bulan di bawah resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB pada Disember lalu. - Agens
i

Pembangkang Jerman cadang pelarian ditembak

Frauke Petry

Frauke Petry
BERLIN 2 Feb. - Seorang pemimpin parti politik berhaluan kanan di Jerman dikecam hebat, selepas beliau mencadangkan supaya pelarian yang memasuki sempadan negara ini ditembak.
Speaker Utama Parti Alternatif Untuk Jerman (AFD), Frauke Petry dalam satu temubual dengan akhbar Mannheimer Morgen pada Sabtu lalu berkata, polis mesti menggunakan senjata api mereka bagi menghalang pelarian melintasi sempadan negara ini.
“Tiada anggota polis yang mahu menembak pelarian dan saya juga tidak mahu melakukan perbuatan itu. Namun, langkah terakhir perlu melibatkan penggunaan senjata,” katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Cadangan Petry, 40, bagaimanapun dikecam hebat dalam kalangan ahli politik dan polis Jerman, dengan sebuah kesatuan polis menegaskan bahawa tiada anggota polis Jerman yang akan menembak pelarian.
“Mana-mana pihak yang mencadangkan pendekatan radikal seperti itu, sebenarnya mahu mengubah undang-undang dan mengeksploitasi pegawai polis,” kata Naib Pengerusi Kesatuan Polis GdP, Joerg Radek dalam satu kenyataan.
AFD mula menyaksikan peningkatan sokongan sejak beberapa bulan lalu ketika tinjauan ramai menunjukkan perubahan sokongan rakyat dalam isu berhubung pelarian di Jerman.
Sebagai anggota sayap kanan AFD, Petry melontarkan agenda antipelarian dan lantang mengkritik dasar pelarian oleh kerajaan.
Naib Canselor Jerman, Sigmar Gabriel pada masa sama mahu Parti AFD diletakkan di bawah pengawasan agensi keselamatan kerajaan yang memantau pergerakan golongan pelampau.
Gabriel dalam temubual dengan akhbar Bild berkata, ‘adalah diragui AFD benar-benar menyokong demokrasi bebas di republik ini.’
Sementara itu, Canselor Jerman, Angela Merkel mendapat sokongan di luar jangkaan daripada sebuah pihak berhubung langkahnya menguruskan krisis pelarian di negara ini.
Gabenor Baden-Wuerttemberg, Winfried Kretschmann yang juga anggota Parti Green bersama pihak pembangkang memberitahu akhbar Berlin, Tagesspiegel bahawa, ketegasan Canselor menguruskan krisis itu ‘langkah demi langkah’ merupakan cara yang betul dalam menangani masalah tersebut.
“Mana ada rakan sejawatnya dalam Kesatuan Eropah yang dapat mempertahankan Eropah jika beliau gagal? Oleh itu, saya berdoa setiap hari semoga Canselor sentiasa sihat,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pembangkang-jerman-cadang-pelarian-ditembak-1.186230#sthash.Q1b7tLea.dpuf

Rundingan damai Syria bermula

wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura (tengah dari kiri) mempengerusikan

wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura (tengah dari kiri) mempengerusikan rundingan damai antara wakil pembangkang Syria dan wakil kerajaan Syria yang bermula di pejabat PBB di Geneva, kelmarin. AFP
GENEVA 2 Feb. – Rundingan damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan konflik di Syria, akhirnya bermula secara rasmi, semalam selepas tertangguh beberapa kali ekoran kemelut politik antara wakil kerajaan dan kumpulan pembangkang.
Wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, rundingan secara tidak langsung antara kumpulan pembangkang yang diwakili Jawatankuasa Tertinggi Rundingan (HNC) dan wakil kerajaan Syria telah bermula, dan beliau menjangkakan perbincangan akan memasuki fasa yang lebih sukar dan rumit.
Namun, katanya, walau apapun keadaan, rundingan itu perlu diteruskan bagi menamatkan penderitaan rakyat Syria dan yang lebih penting demi masa depan negara itu.
Mistura juga tidak pasti tempoh rundingan pusingan pertama itu mampu bertahan tetapi beliau berharap perbincangan dapat mencapai keputusan positif sebelum 11 Februari ini.
Kumpulan pembangkang yang tiba di Geneva sejak Sabtu lalu, pada awalnya enggan memberi komitmen kepada rundingan damai yang ditetapkan dalam tempoh enam bulan.
Tetapi HNC meneruskan rundingan menggunakan orang tengah untuk berbincang dengan wakil kerajaan Presiden Bashar al-Assad, selain menuntut Damsyik membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan yang terkepung dan menghentikan pengeboman di kawasan penempatan.
Susulan permintaan tersebut, kerajaan Syria bersetuju memberi laluan kepada misi bantuan ke tiga pekan yang terkepung termasuk pekan Madaya yang dilanda krisis kebuluran yang teruk.
Jurucakap NHC, Salem al-Meslet berkata, pihaknya akan berusaha menyertai rundingan tersebut bagi mencapai penyelesaian politik, sekali gus menamatkan perang saudara di Syria.
“Kami hadir di Geneva dengan harapan kawasan terkepung diselamatkan dan pengeboman oleh Rusia dihentikan, dan saya dapat melihat mesej positif,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rundingan-damai-syria-bermula-1.186236#sthash.RxPtnlBq.dpuf