Tuesday, 5 April 2016

Ketua Barisan Al-Nusra terkorban di Idlib






DAMSYIK – Seorang pe­mimpin utama kumpulan militan Syria, Barisan Al-Nusra terbunuh bersama sekurang-kurangnya 20 pejuang lain dalam satu serangan udara di kawasan pemberontak di barat daya wilayah Idlib kelmarin, kata sebuah kumpulan pemerhati.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang memantau keganasan di negara itu mengesahkan laporan di laman web Barisan Al-Nusra bahawa pemimpinnya, Abu Firas Al Suri (gambar) mati dalam serangan udara sama ada oleh tentera Syria atau Rusia ke atas sebuah perkampungan di barat laut bandar Idlib.
Abu Firas mempunyai ramai pengikut dan sering menjadi jurucakap Barisan Al-Nusra.
Satu sumber berkata, Abu Firas merupakan pengasas kumpulan Barisan Al-Nusra yang berjuang di Afghanistan pada tahun 1980-an dan juga anggota kanan Majlis Syura kumpulan militan itu.
Seorang pembelot tentera Syria, Abu Firas berasal dari Madaya, berhampiran Damsyik, kata satu sumber lain.
Ketua kumpulan militan yang menyokong pelaksa­naan hukum hudud di Syria itu terbunuh bersama anak lelakinya dan pejuang Uzbekistan dalam serangan itu yang turut menyasarkan kumpulan militan Jund Al-Aqasa di kampung Kafr Jales, wilayah Idlib.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz44wmVTzFn 
Hakcipta terpelihara 

Kumpulan pertama pelarian dihantar ke Turki


sebahagian pendatang dari Afghanistan tiba di pekan Dikili di

SEBAHAGIAN pendatang dari Afghanistan tiba di pekan Dikili di barat Turki, dari Greece, semalam. AFP
ATHENS 4 April – Kerajaan Greece menghantar semula pelarian ke Turki mengikut perjanjian Kesatuan Eropah (EU) bagi menangani krisis tersebut, walaupun dikecam hebat oleh kumpulan hak asasi manusia.
Mereka terdiri daripada kumpulan pertama pelarian seramai 131 orang kebanyakannya dari Pakistan dan Bangladesh yang menaiki feri dan kapal besar Nezli Jale dari Pulau Lesbos di Greece.
Kedua-dua kapal tersebut diiringi agensi pengurusan sempadan EU, Frontex bagi memastikan proses penghantar balik pelarian tersebut berjalan lancar dan kapal pertama membawa pelarian tiba di pekan Dikili, barat Turki beberapa jam kemudian.
Menurut jurucakap Frontex, Ewa Moncure, anggota polis dan polis antirusuhan turut dikerah bagi memastikan proses penghantaran pelarian itu berjalan secara tenang dan teratur.
Khemah merah turut dipasang di sepanjang kawasan pelabuhan sebagai tempat penempatan sementara, sebelum semua pelarian dipindahkan ke tempat lain.
Sebuah lagi kapal Turki belayar dari Pulau Chios, tetapi jumlah pelarian yang dibawa tidak dapat dipastikan.
Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui Turki dan EU pada Mac lalu, semua pelarian atau pendatang yang tiba di benua Eropah selepas 20 Mac akan dihantar semula ke Turki.
Menteri Hal Ehwal EU, Volkan Bozkir pula berkata, penghantaran tersebut tidak melibatkan pelarian Syria.
Dalam perkembangan sama, berpuluh-puluh aktivis berkumpul di Pulau Chios bagi membantah penghantaran pulang pelarian terbabit ke Turki yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan, tidak beretika dan menyalahi undang-undang hak asasi manusia.
Aktivis turut membawa kain ren­tang tertera slogan Hentikan perjanjian kotor, Hentikan pengusiran dan Bangkit Eropah di Pulau Lesbos bagi membantah perjanjian tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kumpulan-pertama-pelarian-dihantar-ke-turki-1.208764#sthash.pj9cbpOR.dpuf

Greece hantar pulang migran ke Turki


5 APRIL 2016


Greece hantar pulang migran ke Turki

Pelarian diiringi polis Turki ketika mereka tiba dari Pulau Lesbos, Greece. Foto: EPA
DIKILI - GREECE . Migran yang dihantar pulang dari Pulau Lesbos di Greece mula tiba di Turki, semalam, di bawah skim Kesatuan Eropah (EU) bertujuan menutup laluan utama jutaan orang ke Athens, tahun lalu.

Di bawah perjanjian yang dikecam agensi pelarian dan kem hak asasi manusia itu, Ankara akan mengambil semula semua pendatang dan migran yang masuk ke Greece secara haram termasuk rakyat Syria.

Langkah itu dibuat sebagai balasan kerana EU telah mengambil ribuan pelarian Syria secara terus dari Turki di samping menawarkan lebih banyak wang, visa perjalanan percuma lebih awal dan potensi dalam rundingan keahlian kesatuan tersebut.

Dua bot penumpang dengan bendera Turki membawa 131 migran tiba di bandar Dikili diiringi dua kapal pengawal pantai bersama helikopter polis.

Menurut pengawal pantai pulau Chios, Greece, seramai 66 orang kebanyakannya dari Afghanistan turut dihantar pulang ke Turki menggunakan bot ketiga, semalam.

Tujuan perjanjian EU dan Turki untuk mengelakkan migran melintasi laluan bahaya yang biasanya menggunakan bot kecil dan mematahkan skandal penyeludupan manusia didorong gelombang penghijrahan terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. - Channel News Asia

Pendatang dihantar pulang tiba di Turki

Agensi
Dikili (Turki): Pendatang yang dihantar pulang dari pulau Lesbos di Greece mula tiba di sini semalam menerusi rancangan Kesatuan Eropah (EU) yang bertujuan menutup laluan utama yang digunakan jutaan orang untuk merentasi Laut Aegean ke Eropah, tahun lalu.

Menerusi perjanjian yang dikecam agensi pelarian dan aktivis hak asasi manusia, Ankara akan menerima semua pendatang dan pelarian yang tiba di Greece secara haram, termasuk warga Syria.

Sebagai balasan, EU akan mengambil ribuan pelarian Syria secara langsung dari Turki selain memberikan bantuan kewangan kepada Ankara, perjalanan bebas visa lebih awal kepada rakyat negara itu dan meningkatkan rundingan mengenai keanggotaan Turki dalam pertubuhan itu.

Dua bot penumpang dengan bendera Turki yang membawa 131 pendatang tiba di bandar Dikili awal semalam, diiringi oleh dua bot pengawal pantai Turki.

Seorang pegawai di Chios, Greece, memberitahu wartawan, 66 orang, kebanyakannya rakyat Afghanistan, juga dihantar semula ke Turki dalam bot ketiga.

Mereka yang dihantar pulang dari Lesbos kebanyakannya rakyat Pakistan dan beberapa lagi dari Bangladesh.

Menteri Hal Ehwal EU Tirki, Volkan Bozkir berkata, negara itu akan menghantar pulang pendatang ke negara asal masing-masing secara sistematik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:12 AM

PENDATANG menunjuk perasaan di Lesbos, Greece kerana membantah tindakan menghantar mereka pulang ke Turki.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127913#sthash.nlMgF79F.dpuf

Monday, 4 April 2016

Bas bawa pendatang dari Turki tiba di pulau Greek

ISNIN, 4 APRIL 2016 @ 12:11 PM



LESBOS (Greece): Bas dipercayai membawa ratusan pendatang untuk dihantar pulang ke Turki tiba di pelabuhan pulau Greek, Lesbos dan Chios awal pagi ini, lapor wartawan AFP. Pengusiran itu mencetus perjanjian Kesatuan Eropah (EU) yang kontroversi untuk menghantar pendatang kembali menyeberangi Laut Aegean yang dikritik hebat kumpulan hak asasi atas alasan etika. - AFP

 GAMBAR hiasan.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/140338

20 Militan Terbunuh Dalam Serangan Udara


Diterbitkan: Isnin, 4 April 2016 10:46 AM

BEIRUT: Jurucakap Al-Qaeda Syria bagi kumpulan Al Nusra Front, anak lelakinya dan 20 pejuang lain terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan tentera pada Ahad, kata pemerhati.
"Abu Firas al-Suri, anak lelaki dan 20 pejuang lain antara yang terkorban dalam serangan udara di  Idlib.
"Masih tidak diketahui sama ada serangan itu dilakukan oleh tentera Syria atau Rusia setakat ini," kata pemerhati tersebut, Rami Abdel Rahman.
Jelasnya, Suri dilapor sedang bertemu beberapa pemimpin pejuang lain ketika serangan itu dilakukan.
Akibat serangan itu, ramai pejuang didakwa mengalami kecederaan.

Turki mula sekat aliran pelarian


4 APRIL 2016

Turki mula sekat aliran pelarian

 Turki mula sekat aliran pelarian Ribuan pelarian termasuk kanak-kanak kini terkandas di sempaadan Greece- Macedonia selepas negara Balkan mengenakan kawalan sempadan. - Foto: AFP


DIKILI - TURKI. Pengawal pantai Turki telah menghalang hampir 200 pelarian yang cuba untuk memasuki Greece, kelmarin, sebagai persediaan untuk mematuhi perjanjian kontroversi dimeterai bersama Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan berkuatkuasa hari ini.

Agensi berita Dogan melaporkan, dua bot getah membawa kumpulan migran terdiri daripada 118 warga Eritrea, Syria, Iran dan Lubnan itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Cesme di Ankara menuju ke Pulau Chios di Athens.

Sebuah lagi kumpulan membawa 64 migran turut dihalang ketika sedang menuju ke Pulau Lesbos dari bandar pesisir pantai Dikili.

Rakaman TV Reuters menunjukkan kesemua mereka termasuk kanak-kanak ditempatkan di bawah khemah putih selepas cubaan untuk merentasi Mediterranean itu digagalkan.

Bulan lalu, Ankara bersetuju membawa pulang pelarian yang memasuki Greece secara haram sebagai pertukaran dengan bantuan kewangan, perjalanan bebas visa untuk rakyatnya dan mempercepatkan rundingan bagi membolehkan ia menganggotai EU. - Reuters

Satu lagi bandar ditawan

 Agensi
Beirut: Tentera Syria dan sekutunya yang disokong serangan udara Russia, semalam menguasai semula bandar al-Qaryatain selepas mengusir militan Daish.

Televisyen Syria melaporkan, tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu mengembalikan semula keselamatan dan kestabilan di bandar terbabit setelah membunuh saki- baki Daish.


Al-Qaryatain terletak kira-kira 100 kilometer ke barat Palmyra, bandar purba yang ditawan semula daripada Daish minggu lalu.

Daish menguasai bandar berkenaan sejak Ogos lalu.

Media Syria sebelum itu melaporkan, tentera kerajaan memasuki bandar itu dari beberapa arah.

Usaha membersihkan bandar itu daripada jerangkap samar kini giat dijalankan.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi Syria melaporkan, pertempuran masih berterusan antara Daish dan tentera Syria di al-Qaryatain yang dikelilingi gunung.

“Secara umum, bandar itu boleh dikatakan dikuasai tentera Syria memandangkan mereka menguasai kawasan tinggi di sekelilingnya,” kata pengarah kumpulan itu, Rami Abdurrahman.

Kumpulan yang berpangkalan di Britain itu yang mengawasi konflik di Syria menerusi rangkaian sumber berkata, tentera Russia melancarkan lebih 40 serangan udara di sekitar al-Qaryatain sepanjang semalam.

Sementara itu, beberapa anggota Hizbullah Lubnan terbunuh dalam pertempuran di utara Syria kelmarin. Anggota kumpulan Syiah itu terbabit membantu tentera Bashar dalam perang saudara di Syria.

Menurut pemerhati, 12 anggota Hizbullah mati dan puluhan lagi cedera apabila mereka diserang oleh pejuang Barisan al-Nusra di Kampung Al-Ais, utara Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:31 AM

KERETA kebal milik Barisan al-Nusra melepaskan tembakan ke arah tentera Syria dan militan Hizbullah di Kampung al-Ais di Aleppo, utara Syria, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127724#sthash.pRl2qzTs.dpuf

IS bunuh 15 anggotanya di Syria

DUNIA ISNIN, 4 APRIL 2016 @ 12:28 AM




BEIRUT: Militan IS membunuh 15 anggotanya dalam pembunuhan terbesar perkhidmatan keselamatan kumpulan itu setakat ini di Syria, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) hari ini. Pembunuhan itu diikuti penahanan 35 anggota IS semalam di Raqqa, menurut pemantau berpusat di Britain itu yang mengawasi konflik lima tahun di Syria menerusi rangkaian sumber di darat. SOHR berkata, anggota militan IS terbabit dibunuh dalam kaitan pembunuhan individu kanan kumpulan itu Abu Hija al-Tunisi, yang maut dalam serangan udara Rabu lalu. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan maklumat yang diterima. -Reuters Militan IS.

 - Gambar hiasan

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/140216

Jurucakap al-Qaeda Syria, 20 militan maut

 ISNIN, 4 APRIL 2016 @ 7:44 AM

BEIRUT: Jurucakap sayap al-Qaeda Syria, Al-Nusra Front, anak lelaki serta 20 pejuangnya dilaporkan terbunuh dalam serangan udara di timur laut negara itu semalam. "Abu Firas al-Suri, anak lelaki dan sekurang-kurangnya 20 pejuang Al-Nusra dan Jund al-Aqsa serta pejuang dari Uzbekistan terbunuh dalam serangan udara di Wilayah Idlib," lapor Ketua Badan Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman. Tidak jelas sama ada serangan udara itu dilakukan pesawat tempur rejim Syria atau tentera bersekutu Russia. Abdel Rahman berkata, ketika kejadian Suri dilaporkan mengadakan mesyuarat dengan beberapa pejuang jihad pergerakan militan itu di Kafar Jales. Suri yang berbangsa Syria atau nama sebenarnya, Radwan Nammous, pernah berjuang menentang tentera Soviet di Afghanistan di mana dia bertemu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan Abdullah Azzam, iaitu mentor kepada Osama sebelum kembali ke Syria pada 2011. - AFP

 ABU Firas al-Suri.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/140260

Greece hantar pulang pelarian hari ini


Seorang kanak-kanak menunjukkan lukisan bendera Jerman pada badannya

Seorang kanak-kanak menunjukkan lukisan bendera Jerman pada badannya di khemah pendatang dan pelarian di sempadan Greece-Macedonia dekat perkampungan Idomeni, Greece. Reuters
LESBOS, GREECE 3 April – Kurang daripada 24 jam lagi Greece akan mula menghantar pulang kumpulan pendatang ke Turki, namun hanya sedikit persediaan yang kelihatan di Lesbos, pulau yang me­nempatkan beribu-ribu pendatang berkenaan sejak tahun lalu.
Sejak perjanjian antara Kesatuan Eropah (EU) dan Turki berhubung penghantaran pulang pendatang dimeterai pada 20 Mac lalu, lebih 5,600 pendatang telah didaftarkan di kepulauan Greece itu.
Penghantaran pulang dijangka bermula esok, namun masih belum dipastikan jumlah yang akan dihantar pulang.
“Perancangan penghantaran masih dalam proses,’’ kata jurucakap kerajaan Greece bagi krisis pendatang, George Kyritsis.
Athens News Agency melaporkan, dua kapal penumpang Turki yang disewa oleh agensi sempadan EU, Frontex, akan menghantar pulang pendatang berkenaan esok dari Lesbos melalui bandar Dikili, Turki.
Kira-kira 250 orang akan dihantar pulang setiap hari sehingga Rabu.
Namun begitu, para pegawai Greece tidak memberi sebarang maklum balas terhadap laporan itu, manakala seorang jurucakap polis di Lesbos berkata, pihaknya masih menunggu arahan.
EU merancang untuk menghantar beratus-ratus polis dan pegawai migrasi ke Greece minggu ini bagi membantu penghantaran pulang yang pertama itu.
Penghantaran pulang merupakan perkara utama dalam perjanjian antara EU dan Turki dalam usa­ha untuk menamatkan kebanjiran pendatang dan pelarian ke Eropah dalam usaha mereka untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan perang di Asia Barat, Asia, dan Afrika.
Di bawah perjanjian itu, pendatang yang memasuki Greece secara haram dari Turki bermula pada 20 Mac lalu akan dihantar pulang ke Turki sebaik sahaja permohonan perlindungan selesai. – Reuters
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/greece-hantar-pulang-pelarian-hari-ini-1.208259#sthash.wCKqVM4Q.dpuf

Sunday, 3 April 2016

Turki nafi hantar secara paksa pelarian pulang

AHAD, 3 APRIL 2016 @ 7:41 AM



ANKARA: Turki menolak sekeras-kerasnya tuduhan Amnesty International bahawa ia menghantar pelarian Syria kembali ke negara yang dilanda konflik secara paksa, ketika Ankara bersedia menerima kembali warga Syria masuk secara haram ke Greece mengikut perjanjian Kesatuan Eropah (EU). "Dakwaan ini tidak menunjukkan realiti yang sebenar. Agak menyedihkan apabila berita begini dikongsi dengan orang ramai (media) secara meluas," kata Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan.. Jumaat lalu, Amnesty International menuduh Turki memaksa kira-kira 100 warga Syria sehari untuk pulang ke tanah air, sambil menyifatkan pengusiran itu menunjukkan kelemahan sebenar perjanjian pendatang asing yang dipersetujui dengan EU. Greece dijangka mula menghantar kembali semua pendatang ke Turki, termasuk warga Syria pada Isnin yang menyeberangi Laut Aegean secara haram. "Turki komited untuk terus memberi perlindungan kepada rakyat Syria yang melarikan diri daripada keganasan dan ketidakstabilan sebagai tanggungjawab antarabangsanya," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139975

Program risikan migran didedah


3 APRIL 2016

Program risikan migran didedah

 Program risikan migran didedah Ribuan pelarian kini terkandas di sempadan Greece-Macedonia. -Foto: AFP
BERLIN - JERMAN . Satu laporan mendedahkan agensi risikan Jerman, BND dan polis persekutuan telah menjalankan program perisikan pemohon suaka.

Rangkaian televisyen RT melaporkan hampir 1,000 migran diberi suaka sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurut dokumen tersebut agensi risikan tersebut telah mengendalikan Pusat Penyoalan Utama (HBW) berfungsi untuk mengumpulkan maklumat daripada migran yang tiba di negara itu.

"Kebanyakan daripada mereka yang disoal siasat adalah dari Timur Tengah. Sesi itu turut disertai pegawai dari Pentagon dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA)," jelas laporan tersebut lagi.

Berlin menjangkakan ketibaan 2.5 juta pelarian di negara itu untuk tempoh lima tahun lagi. - Press TV

IS buat 45 kubur besar di Palmyra

SABTU, 2 APRIL 2016 @ 10:54 PM




TENTERA Syria berjaya menawan semula lokasi bersejarah di Palmyra, Ahad minggu lalu. - Foto Reuters

BEIRUT: Tentera Syria mengenal pasti 45 mayat setakat ini dalam kubur besar di Palmyra yang ditawan semula daripada militan IS, Ahad minggu lalu, menurut sumber tentera. Kubur itu terletak di hujung timur laut Palmyra dan satu-satunya kubur besar yang ditemui tentera Syria di bandar itu, lapor sumber terbabit. Ia mempunyai mayat penduduk awam dan tentera Syria yang ditahan IS. Agensi berita kerajaan Syria, SANA semalam berkata, kubur itu mengandungi ramai mayat wanita dan kanak-kanak, dan ada yang ditemui sudah dipenggal. Pada Mei tahun lalu, IS menawan Palmyra di mana kumpulan militan itu dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 400 orang dalam tempoh empat hari pertama. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139885

33 maut serangan udara di Syria


seorang pemuda menerima rawatan susulan kecederaan dalam serangan

Seorang pemuda menerima rawatan susulan kecederaan dalam serangan udara tentera Syria di Deir al-Asafir, kelmarin. AFP
BEIRUT 1 April – Angka korban serang­an udara tentera kerajaan Sy­ria di daerah Dier al-Asafir di tenggara Damsyik, semalam me­ningkat kepada 33 orang, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, seramai 12 kanak-kanak dan sembilan wa­nita disahkan maut dalam serangan itu yang berlaku sebulan selepas gencatan senjata antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang dikuatkuasakan sebulan lalu.
Tambah laporan itu, seorang guru dan seorang pekerja kecemasan juga terbunuh, apabila sebuah ambulans terkena bom yang digugurkan oleh pesawat tentera kerajaan.
“Tentera kerajaan cuba menawan beberapa kawasan di wilayah Gouta Timur yang terletak di timur Damsyik yang dikuasai kumpulan penentang sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.
“Kawasan ini dikuasai beberapa kumpulan penentang termasuk militan Barisan Nusra yang dilabel sebagai pengganas dan tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata,” jelas pertubuhan itu.
Tentera kerajaan mendakwa serangan itu menyasarkan kedudukan kumpulan Jabhat al-Nusra yang bersekutu dengan mi­litan al-Qaeda.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby mengutuk serangan terbabit yang menyebabkan kematian orang awam.
Kumpulan pembangkang Syria juga mengutuk serangan terbabit sebagai menggugat gencatan senjata dan boleh menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua pihak yang dijadualkan bersambung dalam tempoh dua minggu. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/33-maut-serangan-udara-di-syria-1.207495#sthash.ppgHaKS3.dpuf

Saturday, 2 April 2016

Turki usir pelarian Syria

Turki usir pelarian Syria
2 APRIL 2016

Turki usir pelarian Syria

 Turki usir pelarian Syria Kira-kira 2.2 juta pelarian Syria mendapatkan perlindungan di Turki. - Foto AFP


LONDON - BRITAIN. Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International mendakwa Turki telah mengusir ribuan pelarian Syria ke tanah air mereka sejak pertengahan Januari lalu.

Kumpulan berpusat di London itu mendedahkan kira-kira 100 pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak diusir oleh pihak berkuasa di  Ankara pada setiap hari.

"Tindakan terdesak itu dibuat sebagai usaha untuk menutup sempadan negara itu. Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) sengaja mengabaikan fakta yang menunjukkan Turki bukan sebuah negara selamat untuk pelarian Syria," kata Pengarah Amnesty di Eropah dan Asia Tengah, John Dalhuisen.

Menurut laporan itu lagi, tindakan itu adalah melanggar undang-undang Turki, EU dan antarabangsa.

"Pengusiran secara paksa itu jelas menggambarkan kelemahan dalam perjanjian Turki-EU," jelasnya.

Pada 18 Mac lalu, Ankara dan EU menandatangani perjanjian bertujuan untuk mengekang aliran pencari suaka kebanyakannya dari Syria dan ia didakwa berjaya mengurangkan jumlah kemasukan pelarian ke Greece sejak dua minggu lalu. - al-Arabiya

27 Pelarian Diselamat Daripada Bot Hanyut Di Pantai Cyprus


Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2016 8:07 PM
Gambar hiasan.

NICOSIA: Dua puluh tujuh pelarian, termasuk enam wanita dan tiga kanak-kanak, diselamatkan daripada sebuah bot nelayan berdaftar di Turki yang hanyut semalaman di barat laut pantai Cyprus, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Menurut Kementerian Pertahanan Cyprus, pelarian terbabit dilihat berada 14 batu nautika (26 kilometer) dari pantai itu selepas bot tersebut menghantar satu isyarat kecemasan, lapor agensi berita China, Xinhua.
Mereka dibawa menaiki bot polis menuju sebuah pusat pelancongan tempatan di mana mereka menerima pemeriksaan kesihatan sebelum dipindah ke pusat pelarian berhampiran Nicosia. Dua wanita yang mengalami hipotermia dibawa ke hospital tempatan.
Semua pelarian merupakan rakyat Syria kecuali satu keluarga Kurdish.
Cyprus merupakan rantau paling timur di Kesatuan Eropah dan terletak berhampiran negara asal pelarian, namun ia jarang dipilih sebagai batu loncatan untuk ke Eropah kerana satu-satunya jalan keluar ialah dengan kapal terbang.

Pelarian terbabit mendakwa mereka membayar US$2,000 setiap seorang kepada seorang penyeludup rakyat Turki untuk perjalanan sejauh 100 batu nautika (185 kilometer) ke Cyprus.

Selepas sehari berada di laut, penyeludup terbabit meninggalkan bot nelayan itu dengan menaiki sebuah bot lain yang menghampiri, dan memaklumkan dia akan kembali bersama minyak, kata pelarian terbabit.

Polis berkata seorang lelaki dari Syria, yang berusia 39 tahun, ditahan kerana disyaki menjadi sekutu penyeludup Turki itu. 

Wendi Deng dikhabar jalin hubungan dengan Putin

 JUMAAT, 1 APRIL 2016 @ 2:29 PM


MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, sekali lagi menjadi tumpuan berita tetapi kali ini dengan nada agak berbeza - dakwaan beliau menjalinkan hubungan dengan Wendi Deng, bekas isteri jutawan media Rupert Murdoch. Majalah US Weekly menyiarkan dakwaan itu sehari selepas Deng dirakamkan bercuti bersama keluarganya di atas kapal persiaran hartawan Russia, Roman Abramovich, di St Barth. Sumber memberitahu, Putin dan Deng serius menjalinkan hubungan. Mereka mendakwa khabar angin percintaan kedua-duanya semakin panas di seluruh dunia selepas bercerai dengan pasangan masing-masing. Putin berpisah dengan isterinya, Lyudmila, pada 2013 selepas 30 tahun berkahwin manakala Deng bercerai dengan Murdoch pada 2014. Pasangan itu, bagaimanapun belum lagi dikesan keluar berdua-duaan dan tidak memberikan sebarang komen mengenai laporan berkenaan. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139499

Polis Lubnan selamatkan hamba seks Syria

JUMAAT, 1 APRIL 2016 @ 11:39 PM

BEIRUT: Polis Lubnan berjaya membongkar rangkaian pemerdagangan seks terbesar di negara itu dan membebaskan 75 wanita, kebanyakan dari Syria, menurut sumber keselamatan, hari ini. Kenyataan daripada pasukan Keselamatan Dalam Negara (ISF) berkata, mangsa berkenaan dirogol dan dipukul, sementara beberapa daripada mereka menunjukkan tanda-tanda penderaan. "Ini adalah rangkaian pemerdagangan seks terbesar yang terbongkar sejak perang meletus di Syria," kata sumber keselamatan Lubnan memberitahu AFP. Pegawai polis di Gunung Lubnan wilayah utara Beirut mengenalpasti dan menahan kumpulan rangkaian pemerdagangan manusia yang paling merbahaya di Lubnan, menurut kenyataan ISF. - AFP. GAMBAR hiasan.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139624

Tolak kerajaan campuran di Syria


REUTERS - BASHAR sewaktu ditemu ramah oleh agensi berita Rusia, RIA Novosti di Damsyik, Syria kelmarin.


BEIRUT – Parti pembangkang utama Syria, Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) kelmarin menolak sepenuhnya cadangan Presiden Bashar Al-Assad untuk mewujudkan kerajaan campuran di negara berkenaan.
“Resolusi antarabangsa menyebut, pembentukan sebuah badan peralihan dengan kuasa penuh termasuk kuasa-kuasa Presiden. Bashar tidak sepatutnya kekal walaupun hanya untuk satu jam selepas pembentukan badan itu.
“Bashar dan kumpulannya perlu tinggal di luar dunia nyata, di sebuah planet lain. Semua pengumuman baharunya adalah cubaan untuk mengelak persoalan peralihan itu,” kata anggota kanan HNC, Asaad Al-Zoabi kepada agensi berita AFP.
Bashar membuat cadangan berkenaan dalam satu temu ramah dengan agensi berita Rusia, RIA Novosti yang diterbitkan kelmarin.
Pemimpin Syria itu menyatakan bahawa adalah logik adanya kehadiran pasukan tentera bebas, pasukan pembangkang dan pasukan yang setia kepada kerajaan untuk berada dalam badan peralihan tersebut.
Dia tidak menyatakan kumpulan pembangkang mana yang patut terlibat dalam kerajaan peralihan itu tetapi kenyataannya menyusul ketika Damsyik berdepan tekanan antarabangsa untuk berkompromi dengan rundingan tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi menamatkan perang saudara sejak lima tahun lalu.
Rundingan damai diketuai wakil PBB, Staffan de Mistura itu dihentikan sementara minggu lalu selepas semua pihak terlibat mene­mui jalan buntu melibatkan nasib Bashar yang dituntut pembangkang supaya melepaskan kuasa sebelum satu kerajaan peralihan dipersetujui.
Badan eksekutif yang dibentuk untuk memerintah Syria selama 18 bulan sehingga pilihan raya baharu diadakan itu menjadi rebutan kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam rundingan tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz44cZ47JGF 
Hakcipta terpelihara 

33 maut serangan udara di Syria


seorang pemuda menerima rawatan susulan kecederaan dalam serangan

Seorang pemuda menerima rawatan susulan kecederaan dalam serangan udara tentera Syria di Deir al-Asafir, kelmarin. AFP
BEIRUT 1 April – Angka korban serang­an udara tentera kerajaan Sy­ria di daerah Dier al-Asafir di tenggara Damsyik, semalam me­ningkat kepada 33 orang, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, seramai 12 kanak-kanak dan sembilan wa­nita disahkan maut dalam serangan itu yang berlaku sebulan selepas gencatan senjata antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang dikuatkuasakan sebulan lalu.
Tambah laporan itu, seorang guru dan seorang pekerja kecemasan juga terbunuh, apabila sebuah ambulans terkena bom yang digugurkan oleh pesawat tentera kerajaan.
“Tentera kerajaan cuba menawan beberapa kawasan di wilayah Gouta Timur yang terletak di timur Damsyik yang dikuasai kumpulan penentang sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.
“Kawasan ini dikuasai beberapa kumpulan penentang termasuk militan Barisan Nusra yang dilabel sebagai pengganas dan tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata,” jelas pertubuhan itu.
Tentera kerajaan mendakwa serangan itu menyasarkan kedudukan kumpulan Jabhat al-Nusra yang bersekutu dengan mi­litan al-Qaeda.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby mengutuk serangan terbabit yang menyebabkan kematian orang awam.
Kumpulan pembangkang Syria juga mengutuk serangan terbabit sebagai menggugat gencatan senjata dan boleh menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua pihak yang dijadualkan bersambung dalam tempoh dua minggu. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/33-maut-serangan-udara-di-syria-1.207495#sthash.zUqkqo25.dpuf

Friday, 1 April 2016

Presiden Bashar al-Assad ulangi kesediaan 
bentuk kerajaan perpaduan

01 April 2016 1:08 AM

Bashar al-Assad
Bashar al-Assad 


MOSCOW 31 Mac – Presiden Syria, Bashar al-Assad, semalam mengulangi cadangannya bagi membentuk kerajaan perpaduan, ketika White House menyifatkan pengli­batan pemimpin itu tidak membawa penyelesaian kepada usaha untuk menamatkan perang saudara di negara berkenaan.
Ketika kedua-dua pihak dilihat buntu berhubung cadangan peralihan kuasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menekankan tentang kesan konflik selama lima tahun di Syria, dengan menggesa supaya usaha diperhebat bagi menangani krisis pelarian Syria pada satu persidangan anjuran PBB di Geneva.
Dalam satu wawancara dengan agensi berita Rusia, RIA Novosti, Assad berkata, “Adalah logik untuk mewujudkan tentera bebas, tentera pembangkang dan tentera yang setia kepada kerajaan dalam pembentukan pihak berkuasa yang baharu.
Assad pada masa sama menolak cadangan kumpulan penentang yang mahukan pembentukan kerajaan baharu agar tidak melibatkan Presiden Syria itu, de­ngan menegaskan bahawa badan peralihan kuasa yang dicadang­kan kumpulan berkenaan adalah ‘tidak logik dan tidak mengikut Perlembagaan’.
“Tidak kira, sama ada Perlembagaan Syria, mahupun Perlembaga­an mana-mana negara di dunia, tidak wujud satu badan yang digelar sebagai kerajaan peralihan kuasa.
“Hanya sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan yang menyediakan sebuah Perlembagaan baharu,” tegas Assad.
Rundingan yang diketuai utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura ditangguhkan pada minggu lalu de­ngan pihak terlibat masih me­nemui jalan buntu berhubung nasib Assad dengan pihak pembangkang Syria tetap bertegas bahawa Pre­siden tersebut perlu meletakkan jawatan sekiranya cadangan kerajaan peralihan dipersetujui.
Pembangkang utama Syria, Jawatankuasa Perundingan Tinggi dengan tegas menolak tuntutan daripada Assad supaya sebarang kerajaan peralihan akan melibatkan pentadbiran beliau.
“Resolusi Antarabangsa telah menyuarakan tentang pembentukan badan peralihan dengan kuasa penuh, termasuk kuasa Pre­siden,” kata anggota kanan HNC, Asaad al-Zoabi, sambil menambah kata, Assad, tidak seharusnya kekal walaupun untuk tempoh sejam selepas pemben­tukan badan itu.
Ketika mengulas temubual Assad itu, jurucakap White House, Josh Earnest berkata, penglibatan pemimpin Syria dalam badan peralihan berkenaan tidak membawa penyelesaian kepada konflik tersebut.
“Saya tidak tahu, apakah beliau membayangkan dirinya sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan itu, namun jelas, pengli­batannya bukanlah permulaan bagi kami,” kata Earnest.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/presiden-bashar-al-assad-ulangi-kesediaan-8232-bentuk-kerajaan-perpaduan-1.207214#sthash.obgWtLQf.dpuf

Tuesday, 29 March 2016

Tentera Syria kuasai semula Palmyra

Kejayaan terbesar dalam kempen perangi militan IS

Sekumpulan tentera Syria merakamkan gambar di kota purba Palmyra

Sekumpulan tentera Syria merakamkan gambar di kota purba Palmyra selepas berjaya menawan semula bandar tersebut, semalam. AFP
PALMYRA 27 Mac - Tentera Syria yang dibantu tentera Rusia hari ini me­rampas semula kota purba bersejarah Palmyra daripada penguasaan kumpulan militan IS, antara kejayaan besar menentang pergerakan pengganas itu di Syria.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, jet tempur Rusia melancarkan lebih 40 serangan udara menyasarkan 158 kawasan pengganas di wilayah itu dalam masa 24 jam bermula malam kelmarin.
“Selepas pertempuran sengit dilancarkan pada waktu malam, pasukan tentera berjaya menguasai semula kedua-dua tapak wa­risan purba dan kawasan-kawasan kediaman di Palmyra.
“Pasukan tentera semakin yakin dan kini bersiap sedia untuk melancarkan serangan sete­rusnya di wilayah Raqqa,” jelas kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Badan Pemantau Hak Kemanusiaan Syria, Rami Abdel Rahman berkata, sekurang-kurangnya 400 anggota kumpulan militan IS terbunuh dalam serangan tersebut yang juga kekalahan terbesar kumpulan itu sejak ditubuhkan pada tahun 2013.
“Insiden itu turut menjadi kekalahan simbolik IS seperti yang berlaku di Kobane, sebuah bandar di sempadan Turki apabila pemberontak Kurdis berjaya menawan semula bandar yang dikepung oleh kumpulan militan tersebut selama beberapa bulan,” katanya.
Kumpulan militan IS yang menakluk Palmyra sejak Mei tahun lalu dilaporkan berundur ke bandar Sukhnah dan Deir Ezzor di timur negara ini.
Palmyra merupakan tapak warisan sejarah yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menghubungkan Empayar Rom dengan Parsi dan pernah menjadi tarikan 150,000 pelancong setiap tahun.
Selepas menawan bandar tersebut, kumpulan militan IS memusnahkan beberapa monumen serta tugu-tugu terkenal yang disifatkan UNESCO sebagai jenayah perang dan boleh dihukum oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Rampasan semula bandar itu menjadi kejayaan besar kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad, yang kini menguasai kawasan padang pasir sehingga ke sempadan Iraq. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tentera-syria-kuasai-semula-palmyra-1.205531#sthash.jf5iTlGr.dpuf

Saturday, 26 March 2016

Tentera Bashar mara di Palmyra

Beirut: Tentera Syria dilapor mara dalam pertempuran sengit dengan kumpulan pengganas Daish di bandar purba Palmyra, semalam, dalam serangan yang akan memberi peluang kepada askar yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu menguasai kawasan lebih besar di timur Syria.
Penguasaan terhadap Palmyra yang ditawan Daish pada Mei tahun lalu akan menandakan kejayaan paling besar Presiden Bashar al Assad sejak Russia campur tangan dalam perang saudara di negara itu September lalu.
Jet Russia masih meneruskan serangan untuk membantu tentera Bashar dan sekutunya ketika mara dalam serangan terhadap bandar padang pasir itu walapun Moscow baru-baru ini mengumumkan ia mengundurkan sejumlah besar tenteranya dari negara itu.
Seorang anggota komando Russia mati dalam pertempuran berhampiran Palmyra minggu lalu, menunjukkan pembabitan Kremlin di Syria adalah lebih serius daripada yang dinyatakannya.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, tentera negara itu dan sekutunya menawan lebih banyak kawasan tinggi di sekitar bandar berkenaan.
Kumpulan pemerhati hak asasi Syria pula berkata, pertempuran sengit terus berlaku di pinggir Palmyra.
Pengarahnya Rami Abdulrahman berkata, pertempuran juga berlaku di tapak runtuhan era Roman yang terletak di barat daya Palmyra, tempat tentera Syria tidak boleh bergantung pada bantuan udara kerana bimbang kerosakan lebih teruk akan berlaku di tapak purba itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:24 AM


KERETA kebal tentera Syria dirakam ketika mara menghampiri Palmyra.

Rusia hantar tentera khas

25 MAC 2016
Komander Kontinjen Rusia di Damsyik, Kolonel Jeneral Alexander Dvornikov

 Dvornikov 


DAMSYIK - SYRIA. Rusia telah menggerakkan kumpulan unit khas di Syria untuk melakukan peninjauan dan tugas lain di negara bergolak itu, menurut komander kanan tentera, kelmarin.
Komander Kontinjen Rusia di Damsyik, Kolonel Jeneral Alexander Dvornikov turut mengesahkan penghantaran pasukan tempur untuk operasi darat di negara tersebut.
"Saya tidak akan berdolak dalik mengenai perkara itu. Mereka sememangnya ditugaskan untuk meninjau situasi, memberikan maklumat sasaran sebelum serangan udara dilancarkan," katanya.
Menurutnya lagi, pasukan yang berperanan sebagai penasihat itu juga akan membantu rakan mereka untuk merancang dan melancarkan misi serta belajar mengendalikan kelengkapan ketenteraan.
Difahamkan, pasukan berkemahiran tinggi diperlukan untuk melakukan misi peninjauan itu bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat mengenai sasaran tersembunyi menerusi pengawasan udara dan satelit. - Press TV

Friday, 25 March 2016

Tentera Bashar gempur Palmyra

Add caption
GAMBAR fail bertarikh 14 Mac 2014 ini menunjukkan beberapa rakyat Suria berjalan merentasi bandar purba Palmyra, 215 kilometer ke timur laut Damsyik

. DAMSYIK – Tentera rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad dan militia prokerajaan bersedia melancarkan serangan besar-besaran untuk merampas kembali bandar purba, Palmyra daripada kumpulan militan Islamic State (IS) ketika Washington berusaha menyuntik harapan baru dalam rundingan damai Syria yang malap.
IS menawan kota itu pada Mei tahun lalu sebelum mele­tupkan beberapa buah kuil yang disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Penawanan semula Palmyra akan menjadi kejayaan simbolik dan strategik buat Bashar kerana pihak yang menguasai Palmyra turut mengawal kawasan padang pasir luas yang bermula dari tengah Syria hingga ke sempadan Iraq.
Tentera rejim yang disokong serangan udara Rusia kini berada hanya 800 meter dari Palmyra.
“Pasukan tentera berada di pintu masuk selatan dan barat daya kota tersebut dan bersedia untuk melancarkan serangan bagi merampas semula kota bersejarah ini,” kata sumber tentera Syria.
Terdahulu, pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, tentera Bashar berada 2 kilometer (km) di selatan Palmyra dan 5km ke barat daya bandar purba itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz43rtAcUaG 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 24 March 2016

Greece mula berkas pelarian

23 MAC 2016

Greece mula berkas pelarian

 Kumpulan pelarian dari Pakistan menunggu giliran masuk ke kem Moria di Pulau Lesbos. - Foto AFP 

ATHENS - GREECE. Pihak berkuasa Greece telah menahan ratusan migran yang tiba di negara itu di bawah sebahagian daripada kandungan perjanjian pelarian antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU) yang mula berkuat kuasa, Ahad lalu.
Kelmarin, jurucakap kerajaan memaklumkan lebih 1,600 pelarian dihantar ke pusat tahanan di Pulau Aegean, di mana permohonan mereka akan disemak semula.
Difahamkan, perjanjian kontroversi itu telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa di Pulau Lesbos kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu sementara menunggu bantuan dari negara EU.
Pesuruhjaya Imigresen EU, Dimitris Avramopoulos berkata, pelaksanaannya meletakkan tekanan besar kepada Athens, namun kerajaan tersebut bersetuju untuk mengendalikan proses berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, Ankara dipertanggungjawabkan untuk mengambil semula pelarian tanpa dokumen sah dari Athens dan EU akan menerima ribuan pemohon suaka warga Syria secara terus dari Turki. - Press TV

Wednesday, 23 March 2016

Greece mula tahan pelarian

23 Mac 2016 12:48 AM
Sebahagian pendatang dari Pakistan menunggu giliran untuk memasuki

Sebahagian pendatang dari Pakistan menunggu giliran untuk memasuki Kem Moria yang menempatkan pelarian dan pendatang di Pulau Lesbos, Greece, baru-baru ini. AFP
ATHENS 22 Mac – Greece bertindak menahan beratus-ratus pelarian yang tiba di beberapa pulau di negara ini sejak Ankara dan Kesatuan Eropah (EU) menandatangani perjanjian untuk membendung kebanjiran pelarian dengan menghantar pulang sebahagian besar pencari suaka yang memasuki Eropah ke Turki.
Menurut Press TV, lebih 1,600 pelarian yang tiba di Greece dibawa pusat tahanan di lima pulau di Laut Aegean ketika menunggu permohonan suaka mereka dinilai.
Di bawah perjanjian tersebut, Ankara perlu menerima semua pelarian yang dihantar oleh Greece manakala EU akan menerima beribu-ribu pelarian Syria dari Turki.
Perjanjian itu memerlukan Turki menerima pelarian yang menyeberang ke Greece kelmarin dan penempatan semula pelarian dari Turki ke EU akan bermula pada 4 April ini.
Bagaimanapun, perjanjian itu berdepan rintangan di Pulau Lesbos, lokasi utama ketibaan pelarian dalam jumlah yang ramai ekoran pegawai-pegawai tempatan terpaksa menyesuaikan diri dengan sistem baharu ketika menunggu kedatangan pegawai tambahan dari EU.
Pihak berkuasa Greece menegaskan pihaknya memerlukan masa bagi menghantar pelarian pulang kerana memerlukan ribuan kakitangan untuk menguruskan proses tersebut.
“Proses ini tidak akan menjadi mudah,” ujar Perdana Menteri, Alexis Tsipras.
Sementara itu, Pesuruhjaya Migrasi EU, Dimitris Avramopoulos berkata, perjanjian itu ‘memberi tekanan kepada negara’, tetapi Athens bersedia melaksanakannya.
Turki telah menjadi tuan rumah kepada tiga juta pelarian dari Syria.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian kontroversi itu, EU menawarkan beberapa insentif kepada Ankara termasuk mempercepatkan penyertaan Turki dalam blok itu, menyalurkan bantuan dua kali ganda sehingga 6 juta pound (RM27.5 bilion) dan menyediakan visa perjalanan bebas dalam Zon Schengen menjelang Jun ini.
Dalam pada itu, Canselor Jerman, Angela Merkel pula melahirkan keraguan berhubung kelancaran pelaksanaan perjanjian itu dan menyatakan proses penghantaran itu mungkin hanya bermula pada 4 April ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa kumpulan hak asasi telah membantah perjanjian tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/greece-mula-tahan-pelarian-1.203579#sthash.h4idI8Wy.dpuf