Wednesday, 5 June 2013

Syria Didakwa Bunuh Ketua Perisik Lebanon



BEIRUT – Para penunjuk perasaan membakar tayar dan membuat sekatan jalan di Lebanon semalam bagi membantah pembunuhan ketua perisik pasukan keselamatan dalam negeri, Brigedier Jeneral Wissam al-Hassan kelmarin yang didakwa didalangi Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Wissam, 47, terbunuh apabila sebuah kereta yang mengandungi bom seberat 30 kilogram diletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh di daerah Ashrafieh yang didiami ramai penduduk beragama Kristian.
Selepas mengetahui kematian Wissam yang merupakan pengikut aliran sunah, para penunjuk perasaan tersebut membakar tayar dan menyekat jalan raya dari bandar Tripoli di utara Lebanon sehingga ke sempadan Syria.
Kejadian itu berlaku ketika para pengikut sunah di Syria menentang kepimpinan Bashar yang merupakan pengikut Syiah Alawi.
Bekas perdana menteri Lebanon yang kini menjadi ketua pembangkang, Saad Hariri mendakwa Bashar terlibat dalam serangan tersebut.
Seorang lagi pemimpin pembangkang, Walid Jumblatt turut menuduh rejim Bashar membunuh Wissam.
Ekoran kejadian itu, para pengikut sunah di Lebanon mendesak Perdana Menteri, Najib Makati meletakkan jawatan.
Mikati kemudian menawarkan peletakan jawatannya tetapi Presiden Michel Suleiman memintanya terus memegang jawatan itu bagi satu tempoh yang belum ditetapkan.
Sebelum letupan bom itu berlaku, Wissam telah menjangkakan beliau akan menjadi sasaran pembunuhan menyebabkannya menghantar isteri dan anak-anaknya ke Paris.
Kebanyakan pemerhati menyatakan serangan itu mempunyai kaitan dengan perang di Syria yang kini sudah berlanjutan selama 19 bulan dan menyebabkan lebih 30,000 orang mati.
Wissam mengetuai siasatan yang menyebabkan bekas menteri penerangan Syria dan penyokong Bashar, Michel Samaha ditangkap.
Samaha kini ditahan di penjara Lebanon atas dakwaan merancang kempen serangan bom dan pembunuhan dengan tujuan untuk menyebabkan perbalahan antara mazhab Islam di negara ini merebak.
Turut ditangkap ialah seorang pegawai tentera Syria, Brigedier Jeneral Ali Mamlouk.
Wissam juga memainkan peranan penting dalam siasatan pembunuhan bekas perdana menteri Lebanon, Rafik Hariri pada 2005 di sini.
Hariri mati apabila sebuah trak meletup.
Siasatan yang diketuai Wissam itu menemui bukti penglibatan kumpulan Hezbollah dan Syria.

No comments:

Post a Comment