IOM melaporkan bilangan ketibaan pelarian kini bertambah sebanyak 76,000 dan jumlah korban meningkat kepada 409 dalam tempoh enam minggu pertama 2016 di Laut Mediterranean berbanding 69 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Secara purata 2,000 pelarian tiba setiap hari iaitu hampir 10 kali ganda daripada purata ketibaan harian pada tahun lalu.
“Greece dijangka menerima satu juta pelarian sejak awal 2015 hingga bulan depan,” kata IOM dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Al-Jazeera Online.
Lebih 1.1 juta orang pelarian dari Asia Barat, Asia dan Afrika tiba di pantai Eropah akhir tahun lepas dan kebanyakan mereka menuju ke Jerman.
Agensi Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pela­rian (UNHCR) berkata, sebahagian pelarian merupakan penduduk Syria yang melarikan diri daripada perang saudara di negara itu.
IOM melaporkan seramai 70,365 pelarian dan pendatang asing tiba melalui laut di Greece dan sebanyak 5,898 orang menuju ke Itali.
Seorang jurucakap IOM, Joel Millman berkata, pertubuhan itu menjangkakan bilangan penda­tang asing dan pelarian yang tiba di Eropah akan terus meningkat pada masa depan.