Thursday 11 February 2016

Penduduk Aleppo bimbang bantuan makanan terputus


SEORANG lelaki menjual roti berjalan melintasi runtuhan sebuah bangunan di kejiranan al-Shaar yang dikuasai pemberontak di Aleppo, Syria semalam. REUTERS


ONCUPINAR, Turki – Beratus-ratus ribu rakyat akan terputus bekalan makanan jika tentera Syria terus mengepung kawasan-kawasan yang dikuasai pemberontak di bandar raya Aleppo, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu amarannya kelmarin.
Pihak tentera menyasarkan untuk menguasai semula sempadan Syria dengan Turki dan merampas Aleppo, kata penasihat kanan kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad kepada agensi berita Reuters.
Tambahnya, beliau tidak menjangkakan usaha diplomasi akan berjaya untuk menamatkan perang saudara di Syria ketika negara-negara asing mengekalkan sokongan kepada pemberontak.
Pasukan keselamatan Syria yang disokong serangan udara Rusia serta pejuang Hezbollah dari Iran dan Lebanon telah melancarkan serangan besar-besaran di kawasan luar bandar sekitar Aleppo yang kini sebahagiannya dikuasai kerajaan.
Perkembangan itu dianggap sebagai perubahan paling pen­ting dalam momentum perang saudara selama lima tahun di Syria yang telah mengorbankan lebih 250,000 orang dan menyebabkan 11 juta penduduk menjadi pelarian.
Sejak minggu lalu, pertempuran antara tentera Bashar dan pihak pemberontak sudah pun memusnahkan percubaan pertama rundingan damai yang diusahakan sejak dua tahun lalu.
PBB bimbang tindakan mengepung Aleppo akan memutuskan laluan terakhir yang digunakan oleh penduduk di bandar itu dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan makanan dan bantuan lain dari Turki.
“Seramai 300,000 orang masih berada di dalam bandar ini, mereka terputus bekalan bantuan kemanusiaan melainkan akses laluan sempadan boleh dirundingkan,” kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.
Jika kerajaan terus mengepung Aleppo, majlis tempatan di bandar itu menganggarkan bahawa kira-kira 100,000 hingga 150,000 penduduk akan me­larikan diri.
Aleppo dahulu merupakan bandar terbesar di Syria dan dihuni oleh dua juta penduduk. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3zoS1ok1d 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment