Menurut pihak berkuasa, dianggarkan antara 100,000 dan 150,000 orang awam di bandar kedua terbesar di Syria itu yang menempatkan kira-kira dua juta penduduk itu, akan melarikan diri sekiranya keadaan berterusan.
Menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia, yang memantau keganasan dan aktivis berkata, serangan udara juga berterusan di Tal Rifaat, Anadan dan beberapa bandar lain di Aleppo.
Pasukan tentera dibantu sera­ngan udara Rusia dan kumpulan bersenjata dari Iran dan Lebanon telah melancarkan serangan besar-besaran di sekitar Aleppo, yang terbahagi antara tentera kerajaan dan pemberontak sejak konflik Syria meletus.
Persatuan Doktor Antarabangsa, Mahmoud Mustafa berkata, sekurang-kurangnya dua terkorban, manakala 30 yang lain ce­dera dalam serangan udara berhampiran Tal Rifaat dan perkampu­ngan berhampiran Azaz.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, di kawasan kediaman di tengah Damsyik, seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan yang dipandunya di kelab pegawai polis, semalam dan sebanyak lapan pegawai polis terkorban, manakala 20 yang lain cedera dalam serangan dipercayai dilancarkan kumpulan militan Negara Islam (IS). – REUTERS