Thursday 11 February 2016

Polis Turki rampas bom 27kg



GAMBAR fail bertarikh 5 Februari menunjukkan pelarian Syria berjalan menuju ke arah sempadan Turki di pintu sempadan Bab al-Salam. - AGENSI


ANKARA – Pasukan keselamatan Turki merampas empat jaket yang digunakan pengebom bunuh diri dan sejumlah bahan letupan di dalam bagasi sekumpulan suspek dekat sempadan Syria, kata tentera Turki semalam.
“Antara barang yang ditemui di dalam dua buah beg termasuk bahan letupan seberat 12 dan 15 kilogram (kg) serta empat tali pinggang yang digunakan dalam serangan bunuh diri,” kata tentera Turki dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, satu kumpulan imigran terdiri daripada 34 orang termasuk empat lelaki, 10 wanita dan 20 kanak-kanak itu singgah di bandar Karkamis yang terletak di tenggara Turki dan bersempadan dengan Syria.
Tentera Turki tidak merujuk kepada sebarang kumpulan pengganas di dalam kenyataannya, namun Karkamis terletak dekat bandar Jerabalus di Syria yang kini dikuasai kumpulan militan Islamic State (IS).
Rampasan itu dibuat ketika kira-kira 30,000 rakyat Syria berkumpul di Oncupinar yang bersempadan dengan Turki iaitu sekitar 100 kilometer ke barat Karkamis selepas melarikan diri daripada serangan tentera Syria yang disokong Rusia di Aleppo.
Turki yang kini menjadi rumah buat 2.7 juta pelarian Syria, enggan membenarkan gelombang pelarian baharu memasuki negara itu, sebaliknya menyediakan bantuan kemanusiaan merentasi sempadan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa Turki membuka sempadannya kepada pelarian Syria yang membanjiri kem-kem kecemasan dengan sebahagian mereka termasuk wanita dan kanak-kanak terpaksa tidur di dalam khemah atau di kawasan terbuka.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata bahawa ‘kes senario terburuk’ yang boleh dilihat ialah ketibaan 600,000 pelarian di sempadannya.
Polis Turki sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran militan di negara itu selepas beberapa siri serangan yang dilakukan IS.
Pada Januari lalu, 11 pelancong Jerman terbunuh dalam satu letupan di lokasi bersejarah Istanbul, manakala pada Oktober tahun lalu, serangan pengebom bunuh diri mengorbankan 103 nyawa di Ankara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3zoSTZI81 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment