Sunday 25 September 2016

Aleppo dihujani serangan


Kanak-kanak, bayi maut tertimbus runtuhan bangunan
25 September 2016 12:12 AM

Intense Syrian, Russian strikes kill 25 in Aleppo
SEORANG budak lelaki menahan kesakitan ketika menerima rawatan akibat serangan udara di Aleppo, semalam. – AFP - 



ALEPPO 24 Sept. - Penduduk yang ketakutan di Aleppo hari ini terus berlindung di dalam rumah masing-masing ketika serangan udara terbaharu bertubi-tubi membunuh sekurang-kurang­nya 25 orang awam.
Perkembangan baharu itu berlaku dalam tempoh 24 jam jet pejuang tentera Syria dan Rusia melancarkan lebih 150 serangan udara di timur Aleppo, mengakibatkan jumlah kematian keseluruhan mencecah lebih 115 orang.
Dalam serangan hari ini, mangsa terbunuh di kawasan dikuasai kumpulan penentang, namun jumlah kematian dijangka meningkat berikutan ramai mangsa masih tertimbus dalam runtuhan bangunan.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, tujuh orang terbunuh ketika sedang beratur untuk membeli yogurt di sebuah pasar di bandar Bustan al-Qasr ketika tentera Syria membedil kawasan itu.
Serangan itu menyebabkan cebisan mayat mangsa ber­taburan dan kawasan terbabit dipenuhi dengan darah.
Kawasan al-Kalasseh dan Bustan musnah teruk dengan jalan raya turut ‘lenyap’ akibat serangan itu.
Beberapa roket yang tidak meletup masih tertimbus di jalan raya di beberapa kawasan selain kawah berukuran lima meter le­bar dan lima meter dalam turut terbentuk akibat pengeboman itu.
Dalam serangan semalam, beberapa bangunan perkhidmatan kecemasan dan pusat perlindungan bawah tanah yang digunakan oleh orang awam untuk berlindung turut musnah.
Menurut wartawan Al Jazeera, Amr al-Halabi, sekurang-kurangnya 30 kawasan kediaman menjadi sasaran serangan sekali gus menyukarkan petugas menyelamat untuk membantu orang awam yang terpe­rangkap dalam pertempuran itu.
Tiga pusat pasukan penyelamat sukarelawan yang dikenali sebagai Topi Putih turut dibedil.
“Kami mempunyai empat pusat di Aleppo. Pesawat ber­kenaan menyasarkan tiga pusat. Kini dua daripadanya tidak boleh beroperasi,’’ kata Abdul Rahman al-Hassani kepada Al Jazeera.
Beliau berkata, lima ken­deraan milik pasukan itu turut musnah termasuk sebuah ambulans.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan tersebut turut menyebabkan bekalan air terputus di kawasan yang mempunyai dua juta penduduk itu.
“Ini merupakan hari paling teruk sepanjang kami bertugas. Kami menggelarnya sebagai Dresden-esque (kawasan di Jerman yang musnah akibat sera­ngan bom semasa Perang Dunia Kedua),’’ kata ketua Penyelamat Mayday, James Le Mesurier yang melatih pekerja penyelamat Syria.
Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan, Ra­wan Alowsh yang berusia lima tahun berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan bangunan kediamannya di Bab al Nairab selepas dibedil oleh tentera Rusia dan Syria.
Menurut laporan Sky News, ibu bapa, tiga kakak dan abang Rawan merupakan antara 30 orang awam yang terbunuh dalam serangan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-dihujani-serangan-1.386828#sthash.mrSoO4ss.dpuf

No comments:

Post a Comment