Sunday 25 September 2016

Aleppo terus digempur, 55 orang awam terbunuh






AFP - PENDUDUK Syria membawa mayat seorang kanak-kanak yang dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan selepas pengeboman di kejiranan al-Marja di Aleppo kelmarin.

ALEPPO, Syria – Peluru berpandu yang menghujani Aleppo iaitu kawasan yang dikuasai pemberontak menyebabkan kemusnahan besar selain kematian hampir 55 orang awam.

Tentera rejim pimpinan Presi­den Bashar Al-Assad dikatakan menggempur kawasan berkenaan sebagai persediaan untuk melakukan serangan darat bagi merampas kembali bandar tersebut daripada pemberontak.

Hampir 30 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dan berpuluh-puluh yang cedera dalam serangan oleh pesawat perang Rusia dan pesawat rejim kelmarin, kata Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Bri­tain.

Dalam serangan terbaharu, sebanyak 25 lagi orang awam terbunuh termasuk tujuh orang yang sedang beratur di sebuah pasar di kawasan kejiranan Bustan al-Qasr untuk membeli yogurt.

Bedilan meriam secara berterusan selain serangan bom barel oleh helikopter memberi ke­sengsaraan baharu kepada kira-kira 250,000 orang awam yang dikepung tentera.

Peningkatan serangan itu berlaku selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry gagal mencapai persetujuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergei Lavrov berhubung terma untuk menyambung gencatan senjata yang telah gagal.

Ketika ditanya oleh pemberita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sama ada gencatan senjata itu boleh dikembalikan semula, Lavrov hanya berkata, kamu patut bertanya kepada AS.

Seorang pegawai AS memberi­tahu AFP bahawa tiada pertemuan yang dijadualkan antara Kerry dan Lavrov kelmarin, namun keadaan boleh berubah.

Sementara itu, seorang pemberi­ta AFP di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Aleppo melaporkan serangan udara dan bedilan meriam tidak henti-henti semalaman dan pada pagi kelmarin. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LEqAcULR
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment