Sunday 25 September 2016

'Kiamat' di Aleppo




PENDUDUK yang cedera dirawat di hospital sementara. - AFP



Aleppo: Penduduk bandar raya ini berlindung dalam ketakutan ketika serangan udara besar-besaran dilancarkan tentera Syria dengan bantuan Russia merobohkan bangunan dan menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang awam terbunuh.

Hampir dua juta penduduk di bandar di utara Syria itu hidup tanpa bekalan air selepas serangan memusnahkan stesen pengepam dan kumpulan penentang bertindak menutup sebuah lagi sebagai tindak balas.

Daerah yang dikuasai penentang di timur Aleppo menjadi sasaran serangan udara dan bedilan meriam untuk malam kelima berturut-turut semalam ketika tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad bersiap sedia melancarkan serangan darat bagi menawan seluruh bandar raya itu.

Jumlah kematian dijangka meningkat kerana kebanyakan mangsa terperangkap di bawah runtuhan, menurut kumpulan Pemerhati Bagi Hak Asasi Syria (SOHR).

Tujuh orang mati dalam satu serangan ketika mereka berbaris untuk membeli dadih di sebuah pasar di kejiranan Bustan al-Qasr.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 47 orang mati dalam serangan bertali-arus, termasuk tujuh kanak-kanak, menurut SOHR.

Kemusnahan besar dilihat di beberapa daerah kediaman, termasuk Al-Kalasseh dan Bustan al-Qasr, tempat sebahagian jalan musnah sama sekali akibat dibom.

Di tempat lain, penduduk dan aktivis menyifatkan penggunaan peluru berpandu menyebabkan gegaran seperti gempa bumi dan memusnahkan bangunan hingga ke besmen, tempat kebanyakan penduduk berlindung sepanjang serangan.

Pertubuhan pertahanan awam yang dikenali sebagai White Helmets tidak dapat menangani kemusnahan berskala besar itu, diburukkan pula dengan kemusnahan beberapa markasnya.

Menurutnya, ia kini hanya mempunyai dua kereta bomba untuk digunakan di seluruh timur Aleppo.

Pagi semalam, jalan raya hampir lengang dengan hanya beberapa penduduk keluar mencari makanan.

Dalam perkembangan berkaitan, SOHR melaporkan, tentera Syria menawan Kem Handara di utara Aleppo selepas pertempuran sengit dan serangan udara oleh pesawat Russia.

Kejatuhan kem berkenaan memberi tamparan hebat kepada kumpulan penentang.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:17 AM

No comments:

Post a Comment