Tuesday, 23 June 2015

80,000 militan asing banjiri Syria

80,000 militan asing banjiri Syria
Puluhan ribu militan asing tersebut dipercayai mendapat latihan di Israel, Jordan dan AS.

DAMSYIK -  SYRIA. Duta Syria ke PBB, Bashar Ja'afari memaklumkan kira-kira 80,000 militan asing telah memasuki Syria melalui Turki dan Jordan.
Bashar turut mendedahkan anggota kumpulan Jaish al-Fath dan Jaish al-Yarmouk yang beroperasi di bawah arahan Barisan al-Nusra telah dilatih di Israel, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).
Jumaat lalu, Jabatan Negara AS mengeluarkan laporan yang mendakwa Ankara telah menjadi laluan transit kepada militan asing yang mahu menyertai perjuangan di Syria pada tahun lalu lapor Press TV.
AS dan beberapa sekutunya seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki didakwa menyokong kumpulan militan di Syria sejak negara itu mula bergolak pada 2011.
Menurut laporan PBB, lebih 220,000 telah terkorban manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal akibat krisis berlarutan di negara itu sejak empat tahun lalu. 

Monday, 22 June 2015

Angelina Jolie lawat pelarian Syria



REUTERS - JOLIE (tengah) dikelilingi pelarian Yazidi, pihak berkuasa dan pihak media ketika tiba di kem pelarian Syria dan Iraq di bandar Midyat di wilayah Mardin, selatan Turki kelmarin.


INSTANBUL – Aktres dan pemenang anugerah Oscar, Angelina Jolie sekali lagi tampil membantu masyarakat pelarian apabila melawat satu kem di selatan Turki yang menempatkan beribu-ribu penduduk Syria yang melarikan diri akibat pepe­rangan.
Bintang Hollywood dan Duta Khas kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah melawat kem di Mardin sempena Hari Pelarian Sedunia bersama Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Orang Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres.
Sebelum itu mereka menemui Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang turut berada di bandar tersebut.
“Kami di sini atas satu sebab yang mudah iaitu kawasan ini adalah pusat krisis global,” beri­tahu Jolie kepada pemberita.
“Ini bukan sahaja krisis pelari­an tetapi krisis keselamatan global yang membawa kepada krisis pelarian yang paling teruk pernah direkodkan apabila berlaku perpindahan besar-besaran dalam satu masa,” katanya.
Lawatan Jolie dan Guterres dibuat selepas PBB pada Khamis lalu menyatakan jumlah penduduk yang terpaksa melarikan diri akibat perang, keganasan dan penganiayaan mencatat jumlah 59.5 juta dengan sebahagian daripadanya adalah kanak-kanak. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3djzPei1d 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 18 June 2015

'Roket gajah' ragut puluhan nyawa di Syria

'Roket gajah' ragut puluhan nyawa di Syria
Penduduk berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

DAMSYIK - SYRIA. Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan udara 'roket gajah' yang dilancarkan rejim Syria di pinggir bandar Douma, kelmarin, menurut aktivis.

"Lebih 60 yang lain termasuk kanak-kanak turut cedera dalam serangan itu," katanya.

Menurut laporan al- Jazeera, dalam rakaman sebuah video yang disiarkan dalam talian semalam, penduduk dilihat berusaha menyelamatkan saudara mereka yang terperangkap selepas sebuah bangunan musnah dibedil.

Difahamkan, nama roket yang diambil kerana memiliki bunyi tersendiri apabila dilancarkan itu merupakan senjata diubahsuai yang diperbuat dengan cara memasang roket motor bersama bom lebih besar.

Hasil gabungan dua bahan letupan 

Monday, 15 June 2015

Pejuang Kurdish hampiri bandar Raqqa

Pejuang Kurdish hampiri bandar Raqqa
Pejuang asing yang menyertai YPG mengambil tempat ketika sesi latihan di utara Syria. - Foto AFP

DAMSYIK - SYRIA . Pejuang Kurdish Syria kini dilaporkan telah mara ke arah utara sempadan negara di bandar Tal Abyad dekat wilayah Raqqa, yang ditawan kumpulan militan IS.
 
Menurut Pusat Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) kini berada beberapa kilometer (km) di timur Tal Abyad, iaitu pusat pentadbiran daerah di Raqqa.
 
Dalam satu kenyataan kelmarin, YPG berkata, kumpulan militan Takfiri telah hilang kawalan di bandar Suluk, kira-kira 20 km di tenggara bandar terbabit.
 
Laporan juga menyebut, YPG telah menawan semula beberapa kampung.
 
Selain itu, anggota militan Takfiri turut diusir dari laluan bekalan strategik yang menghubungkan Tal Abyad dengan Raqqa.
 
Difahamkan, penaklukan semula Tal Abyad bakal menjadi tamparan hebat kepada IS, yang menggunakan sempadan bandar berhampiran Turki untuk penjualan minyak secara haram dan menyeludup militan asing ke Syria. - Press TV

Thursday, 11 June 2015

Salah kerajaan


Paris: Seorang wanita Perancis menyaman kerajaan semalam kerana gagal menghalang anak lelakinya meninggalkan negara itu untuk menyertai Negara Islam (IS) di Syria.

Remaja yang dikenali sebagai ‘B’ itu berusia 16 tahun ketika melarikan diri bersama tiga rakannya dari bandar Nice di selatan Perancis pada 27 Disember 2013 tanpa memaklumkan keluarganya.

Remaja yang baru memeluk Islam itu menaiki pesawat ke Turki sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan darat memasuki Syria.

Ibunya yang berhubung dengan remaja terbabit melalui telefon baru-baru ini berkata, anaknya masih di sana.

Katanya, dia hanya mengesyaki perancangan anaknya beberapa hari sebelum kehilangan remaja itu selepas dimaklumkan remaja lain di kejiranan mereka.

Dia cuma memaklumkan polis mengenai kehilangan anaknya selepas hilang 24 jam.

Peguam keluarga berkenaan, Samia Maktouf berkata, Turki terkenal sebagai laluan ke Syria.

“Polis melakukan kesilapan besar apabila membenarkan remaja bawah umur yang tidak ditemani orang dewasa pergi ke Turki sedangkan hanya mempunyai tiket penerbangan sehala dan tidak membawa bagasi,” katanya.

Sehubungan itu, wanita terbabit yang turut mempunyai tiga anak lain menuntut ganti rugi 110,000 euro (RM460,000) daripada kerajaan untuknya sekeluarga.

“Keluarga ini bukan semata-mata berminat dengan wang, namun mahu kerajaan mengakui kesilapan membiarkan remaja bawah umur terlepas seperti itu,” kata Samia.

Kementerian dalam negeri dalam satu surat kepada keluarga terbabit berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab kerana budak itu bukan suspek yang dalam siasatan selain tiada asas dari segi perundangan untuk menghalangnya menaiki penerbangan itu.

Perancis mempunyai jumlah penduduk Muslim tertinggi di Eropah malah paling ramai dari situ yang menyertai perang di Asia Barat.

Kerajaannya menganggarkan 500 rakyat atau penduduk Perancis menyertai konflik di Syria.

Beberapa remaja bawah umur dihalang menyertai perang itu tahun lalu, kebanyakannya hasil maklumat disalurkan keluarga.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan undang-undang membolehkannya merampas kad pengenalan dan pasport daripada pihak yang disyaki mahu ke Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56790#sthash.HKU2qXsu.dpuf

RM12 juta untuk pelarian buka puasa


Jeddah: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Putera Mahkota Mohammed bin Naif menyediakan peruntukan sebanyak SR12 juta (RM12 juta) untuk menyediakan juadah berbuka bagi pelarian Syria dan Somalia sepanjang Ramadan akan datang.

Penasihat putera itu Saed Al-Arabi Al-Harthi berkata, peruntukan itu disediakan atas arahan Raja Salman.

Katanya, jumlah peruntukan yang diluluskan putera mahkota itu mencecah SR12.3 juta (RM12.3 juta).

Ia akan diagihkan kepada pelarian Syria di Jordan, Lubnan dan Turki serta pelarian Somalia.

“Persiapan sudahpun dibuat untuk mengagihkan peruntukan itu ke seluruh negara berkenaan melalui pejabat Kempen Bantuan Saudi,” kata Saed.

Menurutnya, 30,000 kotak makanan diedarkan di Lubnan, 300,000 di Turki, 6,000 di Jordan dan 30,000 di Somalia.

Program ini dirangka bagi memenuhi keperluan keluarga pelarian pada bulan Ramadan, kata Saed.

“Kami akan mengagihkan makanan itu dengan bantuan pertubuhan bantuan tempatan dan juga antarabangsa,” katanya.

Menjurut Saed, Arab Saudi setakat ini sudah membelanjakan lebih SR1.41 bilion (RM1.41 bilion) untuk aktiviti kemanusian bagi pelarian Syria dan Somalia dengan melaksanakan 176 program bantuan termasuk menghantar bekalan makanan, ubat-ubatan, perkhidmatan sosial, kesihatan dan khidmat pendidikan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:21 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57007#sthash.4cS7QdH1.dpuf

Penentang tawan pangkalan tentera


Beirut: Gabungan penentang Syria memberi satu lagi tamparan kepada rejim negara itu apabila menawan sebuah pangkalan tentera utama di selatan negara itu lewat kelmarin.

Kumpulan itu kini menguasai sepenuhnya pangkalan Briged Ke-52 di wilayah Daraa selepas pertempuran sengit selama 24 jam, kata jurucakapnya Mejar Essam al-Rayes.

“Briged Ke-52 dibebaskan sepenuhnya daripada kawalan tentera rejim. Sekurang-kurangnya 2,000 pejuang penentang terbabit dalam serangan itu.

“Pangkalan itu antara barisan pertahanan utama tentera rejim yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap semua lokasi di timur wilayah ini,” katanya.

Pangkalan itu terletak berhampiran lebuh raya utama dari Damsyik ke sempadan Jordan di selatan Syria selain berhampiran dengan wilayah Sweida yang rata-rata dikuasai tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.

Jurucakap satu lagi kumpulan dalam barisan berkenaan, Diaa al-Hariri berkata, pangkalan itu sebelum ini menjadi tapak melancarkan serangan tentera darah Bashar.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengesahkan kumpulan penentang menawan pangkalan itu selepas pertempuran mengakibatkan kematian 15 pejuang dan 20 tentera kerajaan.

Pengarahnya Rami Abdel Rahman berkata, penentang turut menawan dua perkampungan, termasuk Al-Rakham, pekan yang majoriti penduduknya penganut Kristian selepas tentera Syria berundur ke pekan berhampiran, Al-Dara.

Agensi rasmi SANA tidak melaporkan berita tawanan pangkalan berkenaan.

Ia bagaimanapun, berkata, sebelum ini, 40 orang terbunuh dalam pertempuran di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:21 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57008#sthash.ccD1EMp2.dpuf

Penentang Syria tawan pangkalan tentera

beberapa anggota kumpulan penentang berkumpul di pintu gerbang

Beberapa anggota kumpulan penentang berkumpul di pintu gerbang di pintu masuk ke pangkalan tentera Briged 52 yang terpampang poster Presiden Syria, Bashar Al-Assad (kanan) dan allahyarham bapanya, Hafez Al-Assad (kiri) selepas mereka menawan pangkalan itu di wilayah Daraa, kelmarin. REUTERS

BEIRUT 10 Jun - kUMPULAN penentang kerajaan menawan sebuah pangkalan utama tentera Syria di wilayah Daraa, selatan negara itu, semalam, kekalahan terbaharu yang dialami pihak tentera kerajaan.
Jurucakap kumpulan penentang berkata, perikatan Barisan Selatan menawan pangkalan Briged 52 di wilayah Daraa, selepas berlaku pertempuran sengit hampir 24 jam dengan tentera kerajaan.
“Pangkalan Briged 52 kini ditawan sepenuhnya daripada tentera kerajaan,” ujar Mejar Essam al-Rayes, sambil menambah kata, kira-kira 2,000 anggota bersenjata kumpulan penentang menyertai serangan ‘singkat dan cepat’ itu.
Pangkalan itu terletak berhampiran lebuh raya utama menghubungi Damsyik ke sempadan selatan Syria dengan Jordan dan juga berhampiran sempadan hadapan dengan wilayah Sweida, yang sebahagian besar dikuasai tentera Syria.
“Pangkalan ini merupakan satu daripada barisan pertahanan utama tentera Syria. Mereka menggunakan pangkalan ini untuk melindungi kesemua kawasan di timur wilayah Daraa,” ujar Essam.
Katanya, kumpulan penentang akan melancarkan serangan lanjut dari pangkalan itu tidak lama lagi.
Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan kumpulan penentang kerajaan itu telah menawan pangkalan utama tentera itu yang mengakibatkan 15 anggota penentang kerajaan dan 20 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, Barisan Selatan turut menawan dua buah kampung termasuk Al-Rakham ketika askar kerajaan berundur ke kampung Al-Dara yang terletak berhampiran. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penentang-syria-tawan-pangkalan-tentera-1.101336#sthash.6h6Dp4hF.dpuf

Wednesday, 10 June 2015

Enam kanak-kanak mangsa serangan udara Syria

Enam kanak-kanak mangsa serangan udara Syria
Keadaan selepas serangan bom tong yang digunakan tentera rejim pada 3 Jun lepas. - Foto AFP

BEIRUT - LEBANON. Seramai 49 orang awam terbunuh termasuk enam kanak-kanak dalam serangan udara tentera kerajaan Syria di sebuah bandar di Idlib, Syria semalam.

Menurut laporan AFP, serangan tersebut tepat mengenai bandar Al-Janudiyah yang berada di bawah kawalan tentera pemberontak.

"Kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan awam, ramai (orang awam) berada disana kerana adanya kedai-kedai," kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdel Rahman.

Katanya, pelarian dari beberapa kawasan juga menjadikan Al-Janudiyah sebagai tempat perlindungan.

"Tentera rejim melancarkan roket dari pesawat," jelasnya lagi.

Sebuah video yang dirakam aktivis dimuatnaik ke laman video Youtube,  menunjukkan kemusnahan dan huru-hara akibat serangan berkenaan, selain kerosakan dan mayat mangsa yang berselerakan.

Pihak berkuasa tempatan juga dilihat membantu dalam operasi menyelamat dan menggunakan jentera untuk mencari mangsa terperangkap disebalik runtuhan bangunan.

Al-Janudiyah yang berada di bawah pengaruh pemberontak sejak 2013 baru-baru ini jatuh ke tangan jaringan Al-Qaeda, Al-Nusra Front.

Walaupun kekurangan posisi di bandar berkenaan, tentera rejim berterusan melancarkan serangan udara, termasuk penggunaan bom tong yang dikecam kumpulan hak asasi manusia.

‘Askar digital' godam sesawang tentera AS

‘Askar digital' godam sesawang tentera AS
Salinan paparan akaun Twitter Syrian Electronic Army

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku laman sesawang mereka digodam oleh Syrian Electronic Army (SEA), semalam.

"Hari ini (semalam) kandungan pembekal rangkaian telah digodam. Selepas kami mengetahui (digodam), pihak tentera mengambil langkah pencegahan untuk memastikan tiada pencerobohan ke atas maklumat tentera dengan menutup laman tersebut untuk sementara," kata jurucakap tentera, Malcom B. Frost kepada CNN.

Pihak SEA kemudian mendakwa bertanggungjawab melakukan pencerobohan berkenaan di laman mikro Twitter dengan berkongsi salinan paparan laman sesawang tentera AS tersebut.

Antara mesej yang terkandung dalam pencerobohan tersebut adalah: "Anda telah digodam. Komander anda melatih anda untuk mati berperang),"

Difahamkan, laman sesawang berkenaan berfungsi sebagai penyaluran maklumat untuk orang awam dan tidak mengandungi sebarang maklumat sulit.

SEA merupakan kumpulan pengodam pro-Assad dan mempunyai beberapa sejarah jenayah siber, termasuk menggodam Chicago Tribune dan Associated Press.

Pada 2013, SEA membuat pengumuman palsu menggunakan akaun Twitter Associated Press mengenai pusat pentadbiran, White House di AS telah diserang

Militan IS jual remaja perempuan di pasaran hamba

Zainab Bengura

Zainab Bengura

NEW YORK 9 Jun – Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mendedahkan, remaja-remaja perempuan yang diculik anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria dipercayai dijual di pasaran hamba ‘pada harga serendah sekotak rokok’.
Pendedahan itu dibuat wakil PBB, Zainab Bangura yang melawat Iraq dan Syria pada April lalu, dan sejak itu mengusahakan satu pelan tindakan bagi menangani jenayah seksual yang dilakukan kumpulan militan IS.
“Ini merupakan satu perang ke atas tubuh wanita,’’ katanya.
Wakil PBB itu telah bercakap dengan wanita dan kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada cengkaman IS di kawasan yang dikuasai kumpulan militan itu termasuk pemimpin agama tempatan, pemimpin politik serta melawat kem pelarian di Turki, Lebanon, dan Jordan.
Anggota kumpulan militan IS berterusan membuka pasaran hamba menjual kanak-kanak perempuan yang diculik semasa melancarkan serangan, namun jumlah mangsa yang dijadikan hamba tidak diketahui.
“Mereka menculik dan melarikan wanita di kawasan yang ditawan, malah mereka juga mempunyai stok gadis baharu.
“Kanak-kanak dijual pada harga serendah sekotak rokok sehingga ratusan atau ribuan dolar,’’ katanya.
Bangura turut mendedahkan pengalaman pahit yang dialami beberapa remaja perempuan kebanyakannya etnik Yazidi yang menjadi mangsa kumpulan militan IS.
“Beberapa orang remaja perempuan Yazidi dikurung di dalam bilik di sebuah rumah kecil dengan lebih 100 perempuan sebelum dibogelkan dan dijual sebagai hamba,’’ katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/militan-is-jual-remaja-perempuan-di-pasaran-hamba-1.100945#sthash.7PA7IXfJ.dpuf

Tuesday, 9 June 2015

20 maut serangan tentera regim Syria di Wilayah Idlib

SEKURANG-KURANGNYA 20 orang awam maut, termasuk tiga kanak-kanak apabila tentera kerajaan Syria melancarkan serangan udara di sebuah pekan di Wilayah Idlib di barat daya Syria. REUTERS
BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya 20 orang awam maut, termasuk tiga kanak-kanak apabila tentera kerajaan Syria melancarkan serangan udara di sebuah pekan di Wilayah Idlib di barat daya Syria, hari ini.
Badan Pemantauan Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan disasarkan di sebuah dataran di pekan Al-Janudiyah, di barat wilayah itu yang kini keseluruhannya dikuasai tentera pemberontak. - AFP

Friday, 5 June 2015

Kerajaan Syria Bom Penempatan Awam, 37 Terbunuh


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 11:21 AM

BEIRUT: Seramai 10 kanak-kanak merupakan antara 37 orang awam yang terkorban dalam serangan bom oleh pihak kerajaan di utara Syria pada Rabu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia terhadap Syria memberitahu, kematian tersebut berlaku dalam tiga kejadian di wilayah Aleppo serta di wilayah Idlib di bahagian barat laut negara berkenaan.
Pemerhati yang berpangkalan di Britain itu menjelaskan, seramai 18 orang awam yang terbunuh termasuk lapan kanak-kanak apabila helikopter kerajaan menjatuhkan sekurang-kurangnya empat bom tong di kawasan Tal Rifaat di Aleppo.
Di bandar Aleppo pula, 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia apabila bom diletupkan di bahagian timur kawasan kejiranan pemberontak di Jubb al-Qubbeh.
Manakala di wilayah Idlib, lapan ahli keluarga meninggal dunia apabila serangan bom dilakukan di bandar Kafr Sijna.
Pemerhati yang bergantung kepada rangkaian sumber di darat berkata, jumlah kematian dijangka meningkat berikutan ramai mangsa yang mengalami kecederaan serius.
Bom serta senjata buatan sendiri yang dicipta menggunakan bekas yang diisi bahan letupan sering digunakan untuk menyerang sekolah, hospital serta pasar-pasar di Syria.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan pihak tentera dan menyatakan kerajaan membunuh lebih banyak orang awam berbanding pemberontak.

Monday, 1 June 2015

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean

Ribuan migran diselamatkan di Mediterranean
Kebanyakan pendatang melarikan diri dari negara asal untuk mencari kehidupan lebih baik.

ROM - ITALI. Lebih 4,200 pendatang dibawa ke selatan Itali selepas diselamatkan di Mediterranean dalam tempoh 24 jam, menurut pengawal pantai negara itu.

Difahamkan, kesemua migran diselamatkan dari bot nelayan kayu pada Jumaat dan kelmarin dalam operasi melibatkan kapal dari beberapa negara termasuk Itali, Ireland, Belgium dan Britain.

Panggilan kecemasan dibuat daripada 22 bot berbeza, di mana kebanyakannya berada di luar Libya dan luar pantai selatan Itali.

Jumlah migran yang diselamatkan dalam tempoh 24 jam lalu juga merupakan antara tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hari paling banyak mangsa diselamatkan tahun ini adalah pada 12 April iaitu seramai 3,791 orang.

Lebih 40,400 pendatang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di negara asal mereka seperti Syria serta Eritrea telah tiba di Itali sejak awal tahun ini. - Al Jazeera

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria

Pemberontak tawan bandar terakhir di Syria
Pemberontak Nusra Front berjalan di sekitar bandar selepas mereka menakluki bandar Jisr al-Shughour, bulan lalu.

AMMAN - SYRIA. Tentera Syria dilaporkan berundur dari bandar Ariha selepas gabungan pemberontak merampas bandar terakhir di wilayah Idlib di barat laut negara berhampiran Turki.

Gabungan dikenali sebagai Jaish al-Fateh atau Penaklukan Tentera Darat itu turut terdiri daripada sekutu al-Qaeda, Nusra Front yang dipercayai adalah sebahagian besar daripada kumpulan terbabit.

Jurucakap tentera dalam satu kenyataan berkata, gabungan berkenaan telah mengambil alih bandar dan menakluki beberapa pusat pemeriksaan negara itu.

"Terdapat pertempuran sengit antara tentera dan pengganas Jabahat al Nusra selepas mereka menyusup masuk ke dalam bandar. Susulan daripada itu, unit angkatan tentera dipindahkan dari kedudukan mereka di Ariha ke kawasan lebih selamat di sekitar bandar," katanya. - Reuters

Saturday, 30 May 2015

Diplomat PBB bidas Majlis Keselamatan


Penduduk Syria melarikan diri selepas pakatan penentang kerajaan

Penduduk Syria melarikan diri selepas pakatan penentang kerajaan berjaya menawan bandar Ariha, kubu terakhir tentera kerajaan di wilayah Idlib, semalam. REUTERS
NEW YORK/BEIRUT 29 Mei – Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan bersara, Valerie Amos membidas Majlis Keselamatan PBB, ekoran kegagalan majlis itu menghentikan konflik di Syria.
Dalam taklimat terakhirnya kepada Majlis Keselamatan PBB, Amos turut memberi amaran tentang keadaan menyedihkan yang dihadapi penduduk Syria ketika ini yang dijanga akan terus bertambah teruk.
Amos berkata, meskipun satu resolusi diluluskan pada Februari 2014 bagi menghentikan keganasan ke atas orang awam, menarik balik kepungan dan membenarkan akses kemanusiaan, namun situasi di Syria berterusan bertambah buruk.
Hari ini, sebanyak 12.2 juta penduduk Syria hidup dalam keadaan terdesak, memerlukan bantuan kemanusiaan yang merupakan peningkatan hampir satu pertiga daripada jumlah awal, sejak resolusi itu diluluskan bagi memastikan kemasukan akses kemanusiaan ke negara itu.
Amos menjelaskan bahawa jumlah penduduk Syria yang tinggal di bawah kepungan juga meningkat sekali ganda sejak Februari 2014 dan kini mencecah 442,000 orang,
``Sekiranya saya melaporkan perkara ini semasa permulaan konflik, saya pasti anggota majlis ini tidak akan mempercayainya dan hari ini kita mengambil mudah mengenainya,’’ katanya.
Dalam perkembangan berasingan, sebuah pakatan penentang kerajaan diketuai rangkaian al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra menawan kubu terakhir tentera Syria di wilayah Idlib, semalam.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, Barisan al-Nusra dan sekutunya yang membentuk `Tentera Penakluk’ atau `Jaish al-Fatah’ dalam bahasa Arab berjaya menawan bandar Ariha selepas bertempur dengan tentera kerajaan yang dibantu sekutu mereka, pergerakan Hezbollah.
Ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman berkata, tentera kerajaan kemudiannya dilihat berundur, tindakan yang disusuli dengan kemasukan anggota penentang di daerah Ariha.
“Jaish al-Fatah telah menguasai sepenuhnya bandar Ariha selepas satu serangan sengit yang berakhir dengan pengunduran tentera kerajaan dan sekutu mereka, Hezbollah dari sebelah barat bandar itu,’’ katanya. – DPA/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/diplomat-pbb-bidas-majlis-keselamatan-1.97261#sthash.QLUZxMBl.dpuf

Friday, 29 May 2015

20 lelaki mati di tangan IS

20 lelaki mati di tangan IS
Keadaan istana purba Syria di Palmyra, sehari selepas IS membedil bandar yang meragut lima nyawa.

SANAA - YAMAN . Sekurang-kurangnya 20 lelaki menjadi korban kekejaman terbaharu kumpulan militan IS selepas mereka menguasai bandar purba Palmyra pada minggu lalu.
 
Ketua Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, kesemua mangsa yang dituduh sebagai penyokong rejim Presiden Bashar al-Assad ditembak mati di hadapan khalayak ramai.
 
"Mereka menggunakan ruang teater yang menjadi mercu tanda di Palmyra untuk melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
 
Sekurang-kurangnya 217 termasuk 67 orang awam telah dibunuh sejak bandar purba tersebut berada di bawah cengkaman IS.
 
Minggu lalu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini memberi amaran bahawa ribuan orang terdedah kepada risiko keganasan dan lebih banyak tapak bersejarah bakal dimusnahkan.
 
"Pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan warisan arkeologi secara sengaja di Syria serta Iraq adalah satu jenayah perang mengikut Mahkamah Jenayah Antarabangsa Statut Rom," menurutnya. - AFP

Thursday, 28 May 2015

Tentera udara Syria bunuh 140 anggota IS

SELASA, 26 MEI 2015 @ 11:01 PM

 TENTERA udara Syria membunuh sekurang-kurangnya 140 anggota kumpulan Negara Islam (IS) dalam serangan udara ke atas pangkalan ketenteraan dikuasai mereka di utara negara berkenaan. - Foto AFP

BEIRUT: Tentera udara Syria membunuh sekurang-kurangnya 140 anggota kumpulan Negara Islam (IS) dalam serangan udara ke atas pangkalan ketenteraan dikuasai mereka di utara negara berkenaan, menurut agensi berita SANA, hari ini. Sumber pihak tentera berkata, serangan itu di pangkalan udara Tabqa di wilayah Raqqa turut mencederakan beberapa dozen pejuang IS. IS merampas pangkalan berkenaan, Ogos tahun lalu selepas pertempuran besar dan membunuh ramai anggota tentera. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57361

Wednesday, 27 May 2015

Australia lucutkan kewarganegaraan militan

Australia lucutkan kewarganegaraan militan
Kekejaman IS telah meragut ribuan nyawa dan puluhan ribu keluarga lagi hilang tempat tinggal. - Foto: AFP

SYDNEY - AUSTRALIA . Australia akan melucutkan taraf kewarganegaraan militan dwinegara jika mereka menyertai peperangan di luar atau menjalankan serangan di dalam negara.
 
Menurut Perdana Menteri Tony Abbott, kira-kira 100 rakyat tempatan negara itu kini sedang berjuang di Syria dan Iraq, disokong 150 pelatih yang berpangkalan di Australia.
 
"Hari ini (semalam) saya mengumumkan Australia akan menggubal undang-undang untuk melucutkan warganegara rakyat negara ini jika mereka terlibat dalam sebarang keganasan di dalam mahu pun luar negara," katanya.
 
Undang-undang baharu dijangka diumumkan beberapa minggu lagi itu, akan mengemas kini Akta Kewarganegaraan menyasarkan pejuang asing dan pengganas di Australia yang berpotensi melancarkan serangan dalam negara.
 
"Kuasa baharu ini akan dikenakan terhadap rakyat dengan dua kerakyatan yang berjuang dengan kumpulan sokongan seperti militan IS, Daesh atau pejuang tunggal di dalam atau luar negara," katanya lagi. - Reuters

Iraq, Syria nekad singkir IS

Iraq, Syria nekad singkir IS
Lebih 4,000 anggota angkatan bersenjata di Iraq menyertai operasi ketenteraan di kedua-dua wilayah tersebut.

BAGHDAD - IRAQ . Kerajaan Iraq, semalam melancarkan kempen besar-besaran untuk menyingkirkan kumpulan militan IS dari wilayah Salahuddin dan Anbar.
 
Kementerian Pertahanan memaklumkan pasukan tentera bersama angkatan kumpulan bersenjata telah memulakan operasi tersebut di wilayah Anbar termasuk menyekat laluan yang menghantar bantuan bekalan kepada IS.
 
"Sekurang-kurangnya 15 anggota IS terbunuh dalam pertempuran di kawasan al-Harariat. Pasukan keselamatan turut berjaya memusnahkan kira-kira 30 bahan letupan dan 10 jerangkap samar," kata jurucakapnya.
 
Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri Heidar al-Abadi mengesahkan bahawa kedua-dua wilayah tersebut telah dikepung sehari selepas mereka mara untuk merampas semula Ramadi.
"Matlamat utama tentera adalah untuk menguasai semula pusat bandar dalam masa beberapa hari lagi," katanya.
 
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Syria juga dilaporkan melancarkan kempen ketenteraan untuk memerangi IS yang menawan bandar purba Palmyra di tengah wilayah Homs pada minggu lalu.
 
"Lebih 160 serangan udara dilancarkan dan telah memusnahkan senjata serta kenderaan milik IS. Sasaran bedilan tersebut turut diperluaskan di sekitar kawasan al-Suknah, dan al-Hail. Lebih 50 anggota IS maut dalam operasi itu," menurut jurucakap tentera. - Press TV

Monday, 25 May 2015

IS Bunuh 400 Penduduk, Tentera Syria Di Palmyra


Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 10:29 AM
IS menyiarkan gambar anggota tentera Syria yang ditawan kumpulan militan itu baru-baru ini.

DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 400 penduduk dan tentera Syria menjadi mangsa terbaharu kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menawan bandar bersejarah Palmyra.
Lebih menyedihkan, mayat dibiarkan bergelimpangan di jalan raya di bandar di mana terbinanya bangunan tinggalan empayar Rom, manakala berita kejayaan IS menawan tentera Syria disebarkan menerusi beberapa gambar yang diedarkan.
Sebelum ini, IS mendakwa membunuh hampir 300 tentera  kerajaan, dua hari selepas menawan bandar purba berkenaan.
Gambar yang disiarkan kumpulan itu menunjukkan seramai 20 askar Syria kelihatan ketakutan dan berlutut di hadapan kamera.
Beberapa aktivis melaporkan di media sosial, mereka melihat beratus-ratus mayat bergelimpangan di jalan raya selepas bandar itu ditawan, Rabu lalu.
Bendera IS dikibarkan di atas bangunan di Palmyra melambangkan kejayaan kumpulan militan itu menawan bandar purba itu.
Selain melakukan pembunuhan kejam, militan IS juga menggeledah rumah dan premis perniagaan ketika memburu tentera Syria yang bersembunyi serta menggunakan pembesar suara bagi memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menyembunyikan pasukan keselamatan itu.
Ramai penduduk memberi maklumat kepada militan IS mengenai askar Syria yang menyamar sebagai orang awam.
Malahan, IS turut bertindak tanpa belas kasihan apabila memuat naik video di laman Facebook pro-IS menunjukkan penduduk dan militan mengerumuni mayat dua lelaki berlumuran darah yang memakai seragam tentera di jalan raya.
“Biarkan semua penduduk melihat mereka ini,” kata seorang militan.

Tentera Iraq mara ke Ramadi

Baghdad: Tentera Iraq berjaya menawan semula kawasan di barat Iraq semalam dan dilaporkan mara menuju ke Ramadi, seminggu selepas bandar itu jatuh ke tangan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Seorang pegawai polis dan seorang pemimpin pejuang Sunni di kawasan itu memberitahu, mereka berjaya menawan semula bandar Husaiba al-Sharqiya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Ramadi dengan bantuan militan Syiah.
Tentera Iraq dan pejuang Sunni serta Syiah melancarkan serangan balas terhadap IS yang kini cuba mara ke bahagian timur menuju ke sebuah pangkalan tentera kerajaan selepas menawan Ramadi.
“Kami berjaya menguasai semula Husaiba dan merancang untuk mara lebih jauh,” kata seorang pemimpin Sunni, Amir al-Fahdawi.
“Moral pejuang kini tinggi selepas kehadiran pasukan bantuan dan bekalan senjata,” tambahnya.
Ujarnya, jet pejuang tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mengebom kedudukan IS di tebing Sungai Furat.
Militan IS melancarkan serangan mortar dan penembak tepat dari seberang sungai itu bagi menghalang kemaraan tentera kerajaan.
Kejatuhan Ramadi seminggu yang lalu dianggap kekalahan terbesar tentera Iraq dalam tempoh setahun dan meragui keberkesanan serangan udara tentera bersekutu.
AS dan beberapa negara sekutu melancarkan serangan udara terhadap kedudukan IS selepas kumpulan itu menawan sebahagian besar Iraq dan Syria serta menubuhkan pemerintahan khalifah.
Tentera Iraq yang dibantu pejuang Syiah mara ke utara Baghdad pada awal tahun ini dan berjaya menawan semula bandar Tikrit dari IS. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:40 AM


DUA militan IS melepaskan tembakan menyasarkan tentera kerajaan ketika pertempuran di pinggir bandar Ramadi, semalam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53134#sthash.tepziBbA.dpuf

400 dibunuh di Palmyra

>Damsyik: Kumpulan militan Negara Islam (IS) meneruskan kekejaman mereka apabila membunuh seramai 400 penduduk dan askar Syria selepas menawan bandar Palmyra.
Saksi memberitahu, sejumlah mayat dibiarkan bergelimpangan di jalan raya di bandar itu tidak lama selepas IS menyiarkan beberapa gambar askar Syria yang ditawan.
IS sebelum ini didakwa membunuh hampir 300 askar kerajaan, dua hari selepas menawan bandar purba berkenaan.
Gambar yang disiarkan kumpulan itu menunjukkan seramai 20 askar Syria kelihatan ketakutan dan berlutut di hadapan kamera.
Beberapa aktivis melaporkan di media sosial, mereka melihat beratus-ratus mayat bergelimpangan di jalan raya selepas bandar itu ditawan, Rabu lalu.
Semua mangsa yang dibunuh itu dipercayai penyokong kerajaan.
Militan IS juga menggeledah rumah dan premis perniagaan ketika memburu askar Syria yang bersembunyi serta menggunakan pembesar suara bagi memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menyembunyikan askar.
Ramai penduduk memberi maklumat kepada militan IS mengenai askar Syria yang menyamar sebagai orang awam.
Satu video yang dimuat naik di laman Facebook pro-IS menunjukkan penduduk dan militan mengerumuni mayat dua lelaki berlumuran darah yang masih memakai seragam tentera di jalan raya.
“Biarkan semua penduduk melihat mereka ini,” kata seorang militan.
Palmyra menempatkan beberapa bangunan tinggalan empayar Rome termasuk kuil dan sebuah arena.
Sebelum kejatuhan Palmyra, beratus-ratus patung dan artifak dari sebuah muzium dibawa keluar dari bandar itu.
Bagaimanapun, banyak lagi bahan sejarah termasuk makam besar tidak dapat dipindahkan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:41 AM


BENDERA IS berkibar di sebuah bangunan di Palmyra, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53136#sthash.y6dE7Gey.dpuf

IS perkukuh kedudukan di sempadan Iraq-Syria



PENDUDUK Ramadi mula menerima bantuan kelengkapan selepas melarikan diri di sebuah kem pelarian di Amiriyat al-Fallujah, barat Baghdad kelmarin. - AP


DAMSYIK – Kumpulan Islamic State (IS) menguasai sempadan Iraq-Syria kelmarin selepas berjaya menawan ibu negeri di wilayah Anbar dan tapak bersejarah Palmyra.
Malah, pengebom berani mati IS yang menyerang sebuah masjid Syiah di Arab Saudi sehingga menyebabkan 21 orang mati dan 81 orang cedera turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemaraan militan berkenaan.
Kumpulan militan IS yang mengisytiharkan pemerintahan ‘khalifah’ itu kini menguasai hampir separuh daripada Syria selepas menawan lintasan Al-Tanaf iaitu lebuh raya yang meng­hubungkan Damsyik-Baghdad lewat Khamis lalu.
Sebelum itu, IS berjaya menawan Ramadi yang merupakan pusat pentadbiran wilayah Anbar dan bandar Palmyra yang me­nyimpan khazanah bersejarah.
“IS sekarang menguasai lebih 95,000 kilometer persegi kawasan di Syria iaitu merangkumi kira-kira 50 peratus wilayah di negara itu,” kata jurucakap Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Keadaan itu bermakna, kerajaan Syria di bawah Presiden Bashar al-Assad cuma menguasai sekitar 22 peratus kawasan di Syria kerana beberapa kawasan lain dikuasai oleh pemberontak seperti Al-Nusra Front.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 55,000 penduduk meninggalkan bandar Ramadi selepas ditawan oleh militan IS. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3b6IlwbNy 
Hakcipta terpelihara