Tuesday 12 January 2016

400,000 dijangka kebuluran


Pendedahan PBB gambarkan situasi membimbangkan di Syria
12 Januari 2016 12:46 AM



DAMSYIK 11 Jan. - Bilangan penduduk Syria yang berpotensi mengalami kebuluran mencecah hampir 400,000 orang apabila 15 kawasan di pinggir Damsyik dan Deir Ezzor turut terkepung akibat konflik perang saudara di negara ini.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 181,000 dikepung oleh tentera kerajaan dan kumpulan bersenjata di pinggir Damsyik termasuk Daraya dan Ghouta serta Zabadani yang bersempadan dengan Lebanon.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45,000 penduduk awam terkepung di bandar Moadamiyah, pinggir Damsyik, selepas tentera kerajaan mewujudkan pusat pemeriksaan bagi menuntut kumpulan penentang meletak senjata.
Pejabat Media Moadamiyah memberitahu, penduduk awam telah terkepung selama dua minggu, mengakibatkan sebanyak 16 meninggal dunia termasuk bayi berusia lapan bulan kerana kekurangan makanan dan bekalan perubatan.
Keadaan serupa turut berlaku di Deir Ezzor, timur negara ini apabila lebih 200,000 yang lain dikepung kumpulan militan Negara Islam (IS).
Sebelum ini, masalah kebuluran dilaporkan berlaku di bandar Madaya, Kefraya, dan Fuua.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan tercetusnya krisis kemanusiaan dalam skala besar memandangkan bekalan bantuan ke tiga bandar terjejas masih belum dapat diagihkan berikutan pelbagai masalah.
Di Madaya, angka kematian akibat kebuluran sejak bulan lalu meningkat kepada 28 orang apabila lima kematian terbaharu dicatatkan hari ini termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menyelar kedua-dua pihak yang terlibat dalam pepe­rangan di Syria kerana menggunakan taktik menyekat bekalan makanan dan air sebagai senjata sehingga mengakibatkan beratus-ratus ribu penduduk kebuluran.
Pengarah Amnesty Internati­onal bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, pendedahan tentang penderitaan yang dialami oleh penduduk di Madaya, barat laut Damsyik yang terpaksa makan rumput dan haiwan peliharaan untuk meneruskan hidup, hanya sebahagian kecil krisis yang berlaku di negara ini.
Jelasnya, krisis itu berlaku akibat taktik perang yang digunakan oleh tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang untuk melemahkan kedudukan masing-masing, sekali gus memberi amaran bahawa strategi tersebut merupakan satu jenayah perang yang serius.
Madaya yang dikuasai oleh pihak penentang, dikepung oleh tentera kerajaan, manakala situasi sebaliknya berlaku di Fuaa dan Kafraya yang terletak di barat laut Syria.
“Kedua-dua pihak wajar dipersalahkan terhadap krisis tersebut dan mereka sanggup mempe­ralatkan nyawa beratus-ratus ri­bu penduduk demi kepentingan masing-masing,” katanya seperti dilaporkan portal The National.
Dalam pada itu, konvoi PBB ke Madaya yang dijadualkan tiba semalam mengalami kelewatan dan dijangka tiba hari ini.
Bagaimanapun, punca kelewat­an tidak dapat dipastikan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/400-000-dijangka-kebuluran-1.178697#sthash.ElRAqm5m.dpuf

No comments:

Post a Comment