Tuesday 12 January 2016

OIC RAYU BANTUAN SEGERA UNTUK SYRIA, YAMAN

Kuala Lumpur - Sekretariat Umum Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan dan sokongan segera kepada bandar raya Madaya dan Zabadani di Syria dan Taaeza di Yaman, yang kini terkepung akibat pertempuran.

Dalam kenyataannya, OIC yang berpejabat di Jeddah berkata semua pihak termasuk negara anggota pertubuhan itu dan pertubuhan kemanusiaan perlu mengambil tindakan segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk di semua kawasan terbabit.

Madaya dan Zabadani, dua bandar Syria yang terletak berhampiran sempadan Lubnan, menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan Bashar al-Assad dan pasukan yang menentangnya.

Sementara itu, pertempuran terus berlaku di Taaez atau Taiz, yang melibatkan kumpulan pemberontak Houthi dan tentera kerajaan Yaman sejak April 2015.

Sekretariat Umum OIC itu berkata pihaknya mengikuti dengan penuh bimbang tentang keadaaan buruk itu termasuk kematian beratus-ratus penduduk akibat kebuluran dan penyakit yang berpunca daripada persengketaan itu.

"Sekatan dan kebuluran yang dikenakan terhadap rakyat yang cintakan keamanan di Syria dan Yaman merupakan suatu jenayah perang. Penduduk perlu dilindungi daripada kesengsaraan akibat konflik bersenjata," katanya.

Sekretariat Umum OIC itu juga berkata ia mengambil maklum tentang pengumuman mengenai persefahaman yang dicapai bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di kawasan yang terkepung di Syria dan Yaman.

Menurut laman sesawang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), satu konvoi kemanusiaan telah tiba di bandar Madaya, Syria pada Isnin yang membawa bekalan makanan dan barang keperluan kesihatan untuk diagihkan kepada 42,000 penduduk yang amat memerlukannya setelah terdapat laporan bahawa banyak penduduk kebuluran apabila kawasan mereka dikepung pasukan prokerajaan.

Pada 31 Dis lepas, Program Makanan Dunia (WFP) PBB juga merayu kepada semua pihak yang terlibat dengan sengketa di Yaman supaya membenarkan makanan dihantar kepada beratus ribu orang yang menderita kelaparan akibat terkepung dan tidak mendapat bekalan makanan selama beberapa minggu di tengah bandar raya Taiz.

WFP menganggarkan 400,000 penduduk Taiz tersingkir di kawasan sendiri serta amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

No comments:

Post a Comment