Monday, 11 January 2016

Terpaksa makan kucing, rumput


Penduduk Madaya terdesak harga makanan melampau

Seorang penduduk Madaya menyembelih seekor kucing untuk dijadikan makanan, selepas bandar itu dilanda krisis kebuluran ekoran konflik perang saudara Syria. Agensi
DAMSYIK 10 Jan. - Harga makanan melampau dan tidak masuk akal di beberapa bandar Syria yang terkepung ekoran konflik serta kesukaran mendapatkan bekalan, memaksa penduduk yang ter­desak makan haiwan berkeliaran dan rumput bagi mengalas perut.
Laporan Mail Online memetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, harga susu kini mencecah 100 pound (RM642) bagi setiap 500 mililiter di bandar Madaya yang dihuni 42,000 penduduknya yang kebuluran akibat dikepung tentera kerajaan.
Dua lagi bandar, Fuaa dan Kfarya turut menyaksikan kejadian yang sama selepas dikepung oleh kumpulan penentang kerajaan.
Sekeping gambar disiarkan Mail Online memaparkan seekor kucing terpaksa disembelih untuk dimakan, sementara satu lagi imej menyayat hati memperlihatkan dua orang budak ‘menikmati’ daun dan rumput yang direbus.
Ada juga gambar memaparkan lelaki menggeledah sampah untuk mencari apa yang boleh dimakan selain tubuh kurus kering penduduk yang sudah lama tidak menjamah makanan.
Agensi berita CNN pula me­laporkan, Amnesty International mendedahkan keperitan pendu­duk Madaya yang terpaksa bergantung kepada air dari lopak yang dididihkan dan rumput untuk mengisi perut mereka.
Seorang penduduk Madaya yang dikenali Louay berkata, kali terakhir dia makan makanan berkhasiat adalah pada sebulan setengah lalu.
“Kini makanan utama saya hanyalah daun. Musim sejuk sudah tiba dan pokok-pokok tidak lagi mengeluarkan daun, jadi saya tidak pasti bagaimana kami hendak hidup,’’ katanya.
Menurut pasukan doktor sukarelawan, Doctors Without Borders, sekurang-kurangnya 23 orang maut akibat kebuluran di pusat sokongan perubatan di Madaya sejak 1 Disember lalu.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi PBB, Rupert Colville berkata, keadaan di sana sangat teruk, namun sukar untuk menentukan jumlah kematian dan pesakit di Madaya ekoran akses yang terhad ke bandar itu.

Sunday, 10 January 2016

Krisis kebuluran Syria berlarutan


10 Januari 2016 12:17 AM



DAMSYIK 9 Jan. – Penderitaan penduduk di tiga buah bandar yang terkepung dan dihimpit krisis ke­buluran di Syria berterusan, selepas mereka hanya dijangka menerima bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) paling awal esok, dalam satu operasi yang dianggap besar dan rumit.
Jurucakap bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Pawel Krzysiek berkata, bantuan perubatan dan makanan akan disediakan untuk bandar Madaya berhampiran Damsyik, Fuaa, dan Kafraya di barat laut Syria.
“Ini merupakan satu operasi yang besar dan rumit kerana pergerakan itu perlu diselaraskan antara Madaya, Kafraya, dan Fuaa dan kami perlu berurusan dengan banyak pihak.
“Saya tidak fikir penghantaran itu akan bermula sehingga Ahad,’’ kata Krzysiek, semalam.
Krzysiek mengulas gencatan senjata anjuran PBB melibatkan bandar Madaya, Kafraya, dan Fuaa yang akan menghentikan pertempuran di kawasan tersebut sebagai pertukaran kepada bantuan kemanusiaan.
Kelmarin me­nurut PBB, kerajaan Syria memberi kelulusan kepada agensi-agensi kemanusiaan PBB untuk membawa bantuan di tiga buah bandar itu.
Krzysiek pada masa sama menjangkakan pengagihan bantuan akan mengambil masa yang lama berikutan jumlah besar bantuan yang diperlukan.
Katanya, kali terakhir bantuan diberikan ke Madaya adalah pada Oktober lalu dengan perjalanan mengambil masa selama lapan jam.
“Secara logiknya, penghantaran itu akan disegerakan ICRC dan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Syria akan menyediakan bantuan perubatan dan makanan, Program Makanan Dunia,’’ kata Krzysiek.
Madaya yang menempatkan sebanyak 42,000 penduduk mula mendapat perhatian sejak ke­belakangan ini kerana kes kebuluran yang dilaporkan di kawasan yang dikuasai oleh tentera prokerajaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/krisis-kebuluran-syria-berlarutan-1.177984#sthash.PeByK0Nh.dpuf

Saturday, 9 January 2016

Makan rumput, kucing untuk terus hidup

Madaya (Syria): Daun dan rumput kini menjadi makanan harian penduduk Syria di bandar ini bersempadan dengan Lubnan manakala beras kini dijual dalam gram berikutan harganya hampir RM1,000 sekilogram, malah ada penduduk yang memakan haiwan peliharaan untuk meneruskan kehidupan.
Pekerja sosial dari Madaya, Louay melalui temuramah telefon dengan Guardian berkata: “Orang ramai sedang mati perlahan-lahan.”
Dalam suara lemah akibat kelaparan sejak beberapa bulan lalu, Luoay berkata: “Di rumah kami ada pokok bunga dalam pasu dan semalam, kami memetik putiknya untuk dimakan. Rasanya pahit.”
Lelaki itu mengirimkan gambar mayat beberapa lelaki tua yang mati akibat kelaparan.
Aktivis lain di bandar itu juga mengirimkan gambar kanak-kanak yang kelaparan, termasuk seorang ditolak dalam kereta sorong kerana terlalu lemah untuk berjalan.
Menurut aktivis, kanak-kanak mengutip apa saja tumbuhan di kawasan dipenuhi periuk api dan ada yang kehilangan anggota badan.
Dianggarkan sehingga 30,000 orang terperangkap di Madaya sejak Julai, akibat serangan tentera pro-kerajaan yang mengepung wilayah berkenaan dan Zabadani yang pernah menjadi kubu kuat pemberontak sejak enam bulan lalu.
Setakat ini, perjanjian damai hanya membolehkan mereka yang cedera dikeluarkan dari wilayah itu namun bekalan makanan dan perubatan gagal dibawa masuk.
“Saya bersumpah dengan nama Tuhan saya cuba membeli makanan hari ini tetapi harga sekilogram beras ialah 100,000 [Syrian] paun,” kata Louay.
Menurutnya, harga beras di pasaran gelap hampir RM1,000.

“Saya melihat sendiri penduduk menyembelih kucing untuk dimakan dan pokok tidak berdaun kerana dipetik mereka,” kata Louay. - Dawn/The Guardian
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:49 PM

Gambar kanak-kanak di Madaya, Syria, yang kelaparan dan kekurangan zat yang pernah disiarkan sebelum ini. - Foto AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105743#sthash.3R8L5sdl.dpuf

Penduduk kebulur dapat bantuan

Beirut: Kerajaan Syria bersetuju membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke tiga kampung yang dilaporkan dikepung sehingga menyebabkan penduduknya mati kelaparan.
Kumpulan bantuan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata, 23 pesakit meninggal dunia akibat kebuluran di sebuah pusat kesihatan di salah satu daripada tiga kampung berkenaan sejak 1 Disember lalu, termasuk enam bayi bawah setahun dan lima warga emas berusia lebih 60 tahun.
Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Yacoub El Hillo berkata, bantuan akan mula memasuki kampung terbabit dalam beberapa hari lagi.
Dua lokasi itu perkampung Syiah, Foua dan Kfarya di utara Syria yang dikepung militan antikerajaan selama lebih setahun. Manakala kampung ketiga, Madaya yang terletak berhampiran sempadan Lubnan, dikepung tentera kerajaan sejak awal Julai lalu.

“PBB menyambut baik kelulusan daripada kerajaan Syria untuk memasuki Madaya, Foua serta Kfarya dan sedang bersedia menghantar bantuan kemanusiaan dalam beberapa hari lagi,” kata Yacoub. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:08 AM

DUA lelaki mengumpul wang didermakan untuk membantu penduduk di Madaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105883#sthash.T25HS6Pz.dpuf

Kerajaan Syria benarkan PBB hantar bantuan

09 Januari 2016 12:40 AM

Seorang remaja lelaki  merupakan antara penduduk Madaya, Syria

Seorang remaja lelaki merupakan antara penduduk Madaya, Syria yang kini mengalami masalah kebuluran teruk selepas bandar tersebut dikepung dan bantuan makanan tidak dapat dihantar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada mereka. AGENSI
DAMSYIK 8 Jan. – Kerajaan Syria semalam membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bantuan kemanusiaan ke tiga buah bandar yang dikepung termasuk Madaya berhampiran Damsyik, yang kini penduduknya mengalami kebuluran.
PBB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran kerajaan Syria memasuki tiga buah bandar di Madaya, Fuaa dan Kafraya bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan dalam masa terdekat.
Badan dunia itu berkata, terdapat laporan menyatakan sejumlah penduduk maut akibat kebuluran termasuk seorang lelaki berusia 53 tahun, yang dilaporkan meninggal dunia empat hari lalu.
Sekurang-kurang 10 orang meninggal dunia akibat kelaparan menurut laporan Badan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, manakala 13 yang lain yang cuba melarikan diri untuk mencari makanan terkorban selepas mereka terpijak periuk api atau ditembak oleh penembak hendap.
Ketiga-tiga bandar itu adalah sebahagian daripada perjanjian menamatkan pertempuran sebagai pertukaran penyaluran bantuan kemanusiaan selama enam bulan yang dicapai pada September lalu.
Kebenaran untuk memasuki ke bandar Madaya yang berhampiran Zabadani itu dikawal ketat oleh tentera manakala bandar Fuaa dan Kafraya pula terletak di barat laut Syria itu dikepung oleh anggota penentang kerajaan.
Seorang wartawan komuniti, Maaz al-Qalamuni berkata, penduduk menyambut baik berita penghantaran makanan berkenaan namun kebanyakannya sukar mempercayainya kerana bantuan berkenaan tidak dihantar sebelum ini.
“Ketika berita itu diumumkan, beberapa penduduk melepaskan tembakan sebagai tanda meraikan berita tersebut, tetapi kebanyakan mereka masih menunggu untuk melihat ketibaan makanan bagi mempercayainya,’’ katanya ketika dihubungi AFP.
Menurut kenyataan daripada pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, bandar Madaya tidak menerima bantuan kemanusiaan sejak Oktober lalu walaupun banyak permintaan dibuat.
Kira-kira 40,000 orang, kebanyakan orang awam tinggal di Madaya, wilayah Damsyik dengan kebanyakannya kehilangan tempat tinggal selepas Zabadani menjadi kubu kuat penentang kerajaan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kerajaan-syria-benarkan-pbb-hantar-bantuan-1.177760#sthash.BlNOpCOS.dpuf

Friday, 8 January 2016

Rakyat Syria dikepung, dibiar kelaparan

Rakyat Syria dikepung, dibiar kelaparan

8 JANUARI 2016

LAPAR
 dan semakin lemah. Itulah keadaan keluarga Abdul Rahman di Madaya iaitu salah sebuah bandar di Syria yang kini menjadi penjara terbesar.
Melalui laporan Al Jazeera, Abdul Rahman dan keluarganya sudah empat hari tidak makan malah terpaksa mengehadkan pergerakan kerana bimbang ia akan menghabiskan sisa tenaga yang ada pada tubuh mereka.
"Tiada lagi kucing atau anjing yang hidup di bandar ini. Malah daun pokok yang kami makan pun dah habis," katanya kepada Al Jazeera melalui telefon.
Abdul Rahman hanya berharap dia dan keluarganya tidak mati kelaparan.
Melalui laporan beberapa media, bandar Madaya telah dikepung tentera al-Assad dan Hezbollah sejak Julai tahun lalu dan sebarang bantuan tidak dibenarkan masuk bermula Oktober lepas.
Ini membuatkan penduduk di seluruh bandar itu menderita kekurangan nutrisi dan mendapat akses yang sangat sedikit kepada minyak serta ubat-ubatan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 23 mati termasuk kanak-kanak akibat 'pemenjaraan' itu dan periuk api yang ditanam sekeliling bandar.
Aktivis tempatan menjangkakan kira-kira 40,000 penduduk di Madaya yang dikepung.
Menurut Bulan Sabit Merah, penduduk di bandar itu terpaksa membakar plastik untuk mengelakkan kesejukan.
Jurucakapnya, Pawel Krzysiek berkata, keadaan di Madaya sangat sukar.
"Rakyat kelaparan dan cuaca sangat sejuk di luar sana pada musim salji  tanpa elektrik atau minyak," katanya kepada agensi berita DPA.
Pegawai perubatan profesional di Madaya berkata rakyat terpaksa makan rumput untuk kekal hidup.
"Kami tidak dapat menyediakan susu kepada bayi. Hari ini (Rabu), seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mati akibat kekurangan nutrisi," kata Dr Khaled Mohammed, Rabu lalu
.

Rakyat Syria dikepung, dibiar kelaparan


8 JANUARI 2016

Rakyat Syria dikepung, dibiar kelaparan


Rakyat Syria dikepung, dibiar kelaparan
LAPAR dan semakin lemah. Itulah keadaan keluarga Abdul Rahman di Madaya iaitu salah sebuah bandar di Syria yang kini menjadi penjara terbesar.

Melalui laporan Al Jazeera, Abdul Rahman dan keluarganya sudah empat hari tidak makan malah terpaksa mengehadkan pergerakan kerana bimbang ia akan menghabiskan sisa tenaga yang ada pada tubuh mereka.

"Tiada lagi kucing atau anjing yang hidup di bandar ini. Malah daun pokok yang kami makan pun dah habis," katanya kepada Al Jazeera melalui telefon.

Abdul Rahman hanya berharap dia dan keluarganya tidak mati kelaparan.

Melalui laporan beberapa media, bandar Madaya telah dikepung tentera al-Assad dan Hezbollah sejak Julai tahun lalu dan sebarang bantuan tidak dibenarkan masuk bermula Oktober lepas.

Ini membuatkan penduduk di seluruh bandar itu menderita kekurangan nutrisi dan mendapat akses yang sangat sedikit kepada minyak serta ubat-ubatan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 23 mati termasuk kanak-kanak akibat 'pemenjaraan' itu dan periuk api yang ditanam sekeliling bandar.

Aktivis tempatan menjangkakan kira-kira 40,000 penduduk di Madaya yang dikepung.

Menurut Bulan Sabit Merah, penduduk di bandar itu terpaksa membakar plastik untuk mengelakkan kesejukan.

Jurucakapnya, Pawel Krzysiek berkata, keadaan di Madaya sangat sukar.

"Rakyat kelaparan dan cuaca sangat sejuk di luar sana pada musim salji  tanpa elektrik atau minyak," katanya kepada agensi berita DPA.

Pegawai perubatan profesional di Madaya berkata rakyat terpaksa makan rumput untuk kekal hidup.

"Kami tidak dapat menyediakan susu kepada bayi. Hari ini (Rabu), seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mati akibat kekurangan nutrisi," kata Dr Khaled Mohammed, Rabu lalu.

Cari jalan tengah

Teheran: Iraq semalam menawarkan diri sebagai orang tengah untuk meredakan ketegangan antara Arab Saudi dan Iran yang semakin memburuk selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah yang disusuli serangan ke atas dua pusat diplomatik Saudi di republik Islam itu.
Bagaimanapun, tawaran Menteri Luar Iraq, Ibrahim al-Jaafari yang dibuat pada sidang akhbar di ibu negara Iran itu, turut merujuk kepada pelaksanaan hukuman mati ulama Syiah Sheikh Nimr al-Nimr sebagai ‘jenayah,’ sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Arab Saudi akan mempertimbangkan tawaran Baghdad itu.
Susulan pelaksanaan hukuman mati pada Sabtu lalu itu, sesetengah negara Arab Sunni mengikuti jejak Arab Saudi untuk memutuskan hubungan dengan Iran, sementara negara lain lebih berhati-hati membuat kenyataan bertujuan untuk menenangkan keadaan.
Arab Saudi dan sekutunya berkata, Sheikh Nimr dijatuhi hukuman selepas dibicarakan dan dihukum mati secara adil mengikut undang-undang negara itu.
Bercakap bersama Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, Ibrahim berkata, kedudukan Iraq yang terletak di tengah-tengah Asia Barat membolehkan ia memainkan peranan untuk cuba ‘mengurangkan ketegangan.’
“Tanggungjawab ini diberikan kepada kami dan sejak awal lagi kami aktif berusaha mengurangkan ketegangan bagi mengelakkan bencana berlaku yang boleh memberi kesan kepada seluruh rantau ini,” katanya.
Russia turut menawarkan untuk menjadi orang tengah, walaupun masih belum jelas sama ada Arab Saudi dan Iran sudah memberi maklum balas mengenai cadangan terbabit.
Sementara itu, Mohammad Javad Zarif menyalahkan Arab Saudi kerana mengeruhkan lagi keadaan.
“Kami menerima semuanya dengan keluhuran dan bermaruah, malangnya negara jiran Arab Saudi tidak bertindak balas sewajarnya. Sikap provokasi mereka mesti dihentikan,” katanya.
Pertelingkahan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi bermula Sabtu lalu, apabila negara itu menjatuhi hukuman mati ke atas Nimr dan 46 lagi yang disabitkan kesalahan keganasan dalam pelaksanaan hukuman mati paling ramai serentak sejak 1980.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:52 AM


IBRAHIM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105420#sthash.vwnUfrGI.dpuf

1.1 juta di Jerman

Berlin: Jerman mendaftarkan 1.1 juta pemohon suaka pada 2015, kata kementerian dalam negerinya semalam, dengan pelarian dari Syria merangkumi hampir 40 peratus daripadanya.
Jumlah itu rekod baru untuk ekonomi terbesar Eropah berkenaan dan lebih lima kali ganda berbanding 2014.
Jumlah pelarian Syria mencari perlindungan di Jerman tahun lalu seramai 428,468 orang diikuti orang Afghanistan (154,046) dan Iraq (121,662).
Bagaimanapun, tidak semua memfailkan permohonan suaka secara rasmi, dan tidak semua juga dibenarkan tinggal di Jerman kerana ‘pendatang ekonomi’ dari negara yang tidak menghadapi peperangan akan dihantar pulang.
Kementerian itu mengakui jumlah 1.1 juta orang direkodkan mungkin termasuk pendaftaran berulang di negeri berbeza di negara itu, selain orang yang sudahpun bergerak ke negara Kesatuan Eropah (EU) lain.
Permohonan suaka sebenar didaftarkan pada 2015 mencapai 476,649, kata kementerian itu - lebih dua kali ganda 2014.
Hanya mereka yang lari dari perang seperti rakyat Syria, Iraq dan segelintir Afghanistan iaitu kira-kira separuh daripada pemohon akan diberi status pelarian.
Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan kebanyakan rakyat negara Balkan seperti Serbia, Albania dan Kosovo akan dihantar pulang.
Menteri Dalam Negeri Thomas de Maiziere semalam mengulangi azam kerajaannya untuk mengurangkan kemasukan pemohon suaka ke negara itu.
“Kami akan mengurangkan kemasukan pemohon suaka baru ke Jerman,” katanya.
Ketibaan pendatang berkurangan bulan lalu, tetapi de Maiziere berkata, ia dipengaruhi cuaca buruk yang menghalang pendatang memulakan perjalanan berbahaya melintasi Laut Mediterranean.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:57 AM


SEORANG pendatang mendukung anaknya memasuki sempadan Serbia dari Macedonia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105426#sthash.4yZ88aZP.dpuf

Iran dakwa Arab Saudi bom kedutaannya di Yemen



BEBERAPA jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan api di bangunan kedutaan Iran di Yemen semalam.


TEHERAN – Beberapa pesawat pejuang milik Arab Saudi sengaja mengebom Kedutaan Iran di Yemen dalam satu serangan udara yang menyebabkan sebilangan kakitangan di kedutaan itu cedera, kata Teheran semalam.
“Perbuatan ini yang disengajakan oleh Arab Saudi melanggar semua undang-undang antarabangsa yang melindungi misi diplomatik.
“Kerajaan Arab Saudi bertanggungjawab ke atas kerosakan dan kecederaan yang dialami kakitangan kedutaan kami. Iran berhak untuk melindungi kepentingannya dalam perkara ini,” kata jurucakap kementerian luar, Jaber Ansari menurut laporan stesen televisyen Iran.
Iran yang mengikuti ajaran Syiah bertelagah dengan Arab Saudi yang berfahaman Sunnah berhubung isu serantau di Asia Barat.
Namun, ketegangan antara dua negara itu memuncak pada hujung minggu lalu susulan pelaksanaan hukuman mati oleh Riyadh terhadap ulama Syiah berpengaruh, Nimr Al-Nimr dan 46 individu lain.
Kematian Nimr mencetuskan demonstrasi di banyak negara termasuk Iran. Sekumpulan penunjuk perasaan menyerbu dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran.
Tindakan itu mendorong Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dengan langkah serupa dilakukan oleh sekutunya termasuk Bahrain dan Sudan.
Emiriyiah Arab Bersatu pula mengurangkan hubungannya dengan Iran, manakala Kuwait dan Qatar memanggil pulang duta masing-masing di Teheran.
Satu pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan perang udara terhadap kumpulan pemberontak Syiah Houthi di Yemen sejak Mac lalu.
Dalam pada itu, Iran mengharamkan semua produk dari Arab Saudi semalam, manakala larangan rakyat Iran mengerjakan umrah di kota suci Mekah masih berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
“Kabinet Iran mengharamkan kemasukan semua produk milik Arab Saudi dan dari Arab Saudi,” kata kerajaan dalam satu kenyataan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3wbAmUnVS 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 7 January 2016

50,000 Gambar Mengerikan


50,000 gambar mengerikan memaparkan manusia yang sedang menderita kebuluran dan mengalami kecacatan fizikal yang dahsyat.


Bashar dan tali barutnya telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam. Walaupun terdapat beribu-ribu bukti dalam bentuk video, gambar mahu pun kejadian sebenar di hadapan mata umat Islam di Syria, sehingga kini masih tiada sebarang langkah praktikal yang telah diambil oleh mereka yang mengakui sebagai pemimpin umat Islam dan juga mana-mana pertubuhan antarabangsa.

Terbaru, seorang pegawai telah berpaling tadah daripada rejim pembunuh Bashar, menggunakan nama samaran "Caesar", dan telah mendedahkan lebih banyak bukti pembunuhan beramai-ramai ini pada skala yang amat mengerikan. Dua buah keluarga Syria menjumpai gambar orang-orang tersayang mereka yang telah hilang melalui imej-imej grafik yang diseludup. Sedihnya, gambar tersebut hanya menunjukkan tubuh-tubuh mereka yang sudah kaku.

Kita harus ingat bahawa bukti ini adalah hanya satu contoh kecil daripada skala asal kekejaman yang terpaksa dilalui oleh saudara se-Islam kita di Syria. Masyarakat antarabangsa dan para pemimpin umat Islam akan terus membutakan mata mereka terhadap pembunuhan beramai-ramai umat Islam ini sehinggalah mereka menjumpai pengganti Bashar yang 'sesuai'.

Sumber: huffingtonpost

2 bot karam di perairan Turki, 36 pendatang maut

KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 12:36 AM

PIHAK berkuasa menemui sekurang-kurangnya 36 mayat pendatang yang lemas di luar pantai Turki selepas bot mereka terbalik dalam arus kuat ketika cuba sampai ke pulau Lesbos, Greek. - Foto REUTERS

ANKARA: Pihak berkuasa menemui sekurang-kurangnya 36 mayat pendatang yang lemas di luar pantai Turki selepas bot mereka terbalik dalam arus kuat ketika cuba sampai ke pulau Lesbos, Greek. Dua belas daripada pendatang terbabit berjaya diselamatkan. Sembilan mayat termasuk kanak-kanak terdampar di sebuah pantai di bandar pelancongan Ayvalik awal pagi semalam, menyebabkan pihak berkuasa mengerahkan bot pengawal pantai dan pegawai polis Perancis mencari mangsa terselamat menerusi jalan laut dan darat. Agensi berita persendirian Dogan melaporkan, tujuh lagi mayat terdampar di pantai Dikili, pusat pelancongan terletak 50 kilometer di selatan Ayvalik, mangsa tragedi pendatang kedua. Mereka yang maut termasuk wanita dan kanak-kanak. Menurut kenyataan Pengawal Pantai, menjelang lewat tengah hari, pasukan Perancis itu menemui sejumlah 29 mayat di kawasan itu sementara tujuh lagi ditemui pihaknya. Kira-kira 850,000 pendatang dan pelarian berusaha sampai ke Greece tahun lalu, membayar samseng penyeludup membawa mereka keluar dari Turki menggunakan bot usang. Tidak mengira cuaca dingin dan laut bergelora musim sejuk, pendatang kebanyakannya dari Syria terus mengambil risiko melakukan perjalanan ke Greece dengan harapan memulakan kehidupan lebih baik di Eropah. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111804

34 mayat pelarian ditemui di Pulau Lesbos

mayat salah seorang daripada 34 pelarian yang lemas terdampar

07 Januari 2016 1:09 AM

Mayat salah seorang daripada 34 pelarian yang lemas terdampar di pantai Aegean di pekan Ayvalik, Turki, selepas bot yang mereka naiki karam di luar pantai Pulau Lesbos, Greece, kelmarin. REUTERS
ISTANBUL 6 Jan. – Sebanyak 34 mayat pelarian termasuk sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka kanak-kanak ditemui di dua lokasi sepanjang pantai Aegean, semalam ketika mereka cuba menyeberangi Laut Aegean ke Pulau Lesbos.
Kebanyakan pelarian itu dari Syria yang mencari perlindungan di Eropah, walaupun dalam musim sejuk.
Kira-kira sejuta pelarian dipercayai menyeberangi Laut Aegean pada tahun lalu, hampir lima kali lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
Sekumpulan pelarian yang ditemui, semalam meninggal dunia selepas bot yang mereka naiki karam di lautan, namun tidak dapat dipastikan bilangan sebenar bot yang digunakan dan bilangan penumpang di dalam bot-bot tersebut.
Sebanyak 24 mayat ditemukan di kawasan pantai di daerah Ayvalik, manakala 10 lagi mayat ditemui berhampiran daerah Dikili, lapor seorang pegawai Gendermerie.
Pengawal pantai dan Gendermeria berjaya menyelamatkan 12 orang pelarian di laut dan kawasan pantai di Ayvalik.
Pengawal pantai memaklumkan bahawa tiga buah bot dan helikopter turut digunakan dalam operasi mencari mangsa yang lemas di lautan.
“Ini satu jenayah kemanusiaan kerana ‘pembunuh’ telah menghantar pelarian ke laut,” kata Gabenor Ayvalik, Namik Nazli merujuk kepada penyeludupan manusia yang mengeksploitasi orang pelarian yang menuju ke Eropah.
Namik berkata, sebanyak 50 hingga 60 pelarian dari Iraq, Syria dan Algeria menyeberangi lautan dari Dikili menggunakan dua buah bot. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/34-mayat-pelarian-ditemui-di-pulau-lesbos-1.177146#sthash.tZXoLs2G.dpuf

Wednesday, 6 January 2016

Mayat budak, wanita hamil ditemui terdampar

Istanbul: Pihak berkuasa Turki menemui 21 mayat pelarian, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil terdampar di pantai dan terapung dalam laut barat negara itu selepas bot membawa pelarian terbabit, karam ketika cuba menyeberang Laut Aegean menuju Greece, hari ini.
Menurut agensi berita Dogan, sekumpulan pelarian menyeberang laut untuk ke Pulau Lesbos di Greece sebelum subuh menggunakan bot getah tetapi bot berkenaan terbalik akibat cuaca buruk dan ombak besar.
Sebanyak 14 mayat ditemui terdampar di pantai dekat pantai peranginan Ayvalik dan kawasan sekitarnya manakala lapan pelarian berjaya diselamatkan. Antara yang ditemui mati ialah seorang wanita yang hamil enam bulan.
Imej yang disiarkan Dogan menunjukkan mayat kanak-kanak yang lengkap berpakaian terdampar di pantai dengan memakai jaket keselamatan.
Menurut Dogan, tujuh lagi mayat pelarian ditemui di pantai peranginan Dikili, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Turki menjadi penempatan sementara 2.2 juta pelarian akibat perang saudara di Syria sebelum mereka menyeberang laut ke Eropah, kebiasaannya menggunakan khidmat penyeludup dengan bayaran tertentu.

Pertubuhan Pelarian Antrabangsa (IOM) menyatakan 1.4 juta pendatang dan pelarian tiba di Eropah tahun lalu dan 3,771 mati ketika menyeberang Laut Mediterranean untuk ke Eropah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 9:45 PM

Orang ramai merakam gambar mayat pelarian yang ditemui terdampar di pantai peranginan Ayvalik, Turki, dan gambar kanan, antara mayat lain yang ditemui. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105077#sthash.TIR27mBd.dpuf

PBB masuk campur


PENUNJUK perasaan Iran membawa gambar ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr dalam satu protes di Teheran kelmarin. - REUTERS


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – PBB bertindak pantas kelmarin untuk melindungi usaha damai di Syria dan Yemen daripada tergugat susulan perang diplomatik antara Arab Saudi dan Iran.
Utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura mengadakan beberapa perbincangan di Riyadh dan dijadualkan melawat Teheran lewat minggu ini bagi mendapatkan jaminan bahawa proses damai di Syria tidak akan tergugat oleh perbalahan tersebut.
De Mistura cuba untuk mengadakan rundingan damai antara rejim Presiden Bashar Al-Assad dan pihak penentang Syria di Geneva pada 25 Januari ini.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Ahad lepas selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerang dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran. Mereka membantah pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr Al-Nimr oleh Riyadh.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menghubungi menteri luar kedua-dua negara untuk mendesak mereka supaya mengelak sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.
“Perbalahan ini boleh mendatangkan kesan buruk di rantau Asia Barat,” katanya.
Sebelum ini, Iran dan Arab Saudi memainkan peranan utama ke arah penyelesaian politik berhubung perang saudara di Syria dan Yemen.
Duta Arab Saudi di PBB, Abdallah al-Mouallimi berkata, perbalahan dengan Iran tidak memberikan sebarang kesan kerana “kami akan terus bekerja keras untuk menyokong usaha damai antarabangsa di Syria dan Yemen”.
Dalam pada itu, Kuwait semalam menjadi negara Teluk Arab terbaru memanggil pulang dutanya dari Iran kerana membantah serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi selepas Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3wPhIt3w3 
Hakcipta terpelihara 

Britain digesa bela pelarian kanak-kanak

seorang kanak-kanak pelarian menolak adiknya di dalam kereta tolak

06 Januari 2016 1:02 AM
Seorang kanak-kanak pelarian menolak adiknya di dalam kereta tolak ditemani seorang lagi adiknya di kem pelarian Grande-Synthe di utara Perancis pada 29 Disember lalu. AFP
LONDON 5 Jan. - Kerajaan Britain digesa membela nasib kira-kira 3,000 pelarian kanak-kanak yang mencari perlindungan di benua Eropah sebatang kara, kerana bimbang golongan itu menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
Badan khas yang ditubuhkan Parlimen Britain, Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan untuk mengambil golongan kanak-kanak terbabit dalam usaha memberi perlindungan kepada kira-kira 20,000 pelarian Syria.
Pengerusi jawatankuasa terbabit, Stephen Twigg berkata, golo­ngan kanak-kanak merupakan mangsa paling mudah terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman disebabkan krisis pelarian.
“Kanak-kanak pelarian yang ti­dak berteman berisiko menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia dan mereka akan dijadikan sebagai pelacur, buruh kanak-kanak dan terlibat dalam penjualan dadah.
“Isu ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Britain,” kata Twigg yang mengetuai jawatankuasa tersebut bagi memantau perkembangan Kementerian Pembangunan Bantuan (DFID) Britain.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migran (IOM), lebih sejuta pelarian, separuh daripada mereka merupakan rakyat Syria yang melarikan diri daripada peperangan, mencari perlindungan di Eropah pada tahun lalu.
September lalu, Perdana Menteri Britain, David Cameron berjanji untuk mengambil kira-kira 20,00 pelarian Syria dalam tempoh lima tahun sebagai memenuhi permintaan rakyat yang mahu nasib pelarian perang dibela.
Dalam perkembangan sama, jurucakap kerajaan dalam kenyataannya berkata, London akan meneliti semula isu membawa kanak-kanak pelarian Syria ke negara ini, sama ada dari rantau Asia Barat atau negara Kesatuan Eropah.
“Kerajaan akan memastikan usul program perlindungan kepada pela­rian akan memenuhi kepentingan kanak-kanak yang terjejas dan tidak mengabaikan nasib golongan itu,” jelas kenyataan tersebut. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/britain-digesa-bela-pelarian-kanak-kanak-1.176808#sthash.WkmgZyQA.dpuf

Penduduk Syria terdedah bahaya gas sarin


Gambar fail merakamkan sebahagian daripada 200 mayat penduduk awam Syria termasuk kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan gas sarin di kawasan kediaman Duma dekat Damsyik pada 21 Ogos lalu yang didakwa dilakukan tentera Syria. REUTERS
NEW YORK 5 Jan. – Tentera Syria dipercayai masih menggunakan senjata kimia bagi memerangi kumpulan pemberontak, ekoran pendedahan laporan yang menunjukkan penduduk negara itu terdedah kepada serangan gas sarin atau bahan seumpamanya, yang boleh membawa maut.
Mengikut laporan bulanan Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), siasatan berhubung penggunaan senjata terlarang di Syria dilaksanakan susulan dakwaan yang menyatakan kerajaan Syria menggunakan bahan berbahaya itu sebanyak 11 kali.
Portal Channel News Asia yang memetik kenyataan ketua OPCW, Ahmet Uzumcu berkata, dalam satu kejadian, ujian analisis ke atas beberapa penduduk, mendapati mereka terdedah kepada bahaya gas sarin atau bahan yang hampir sama.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan bagi memastikan bagaimana dan bila bahan yang boleh membawa maut tersebut wujud,” katanya tanpa menjelaskan bila kejadian sera­ngan gas sarin tersebut berlaku.
Pada 2013, kerajaan Syria bersetuju memusnahkan kesemua program senjata kimianya menerusi satu perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, selepas beratus-ratus orang maut dalam serangan gas sarin di pinggir Damsyik.
Susulan itu, rejim Bashar al-Assad menuduh kumpulan penentang menggunakan senjata kimia, walaupun dakwaan tersebut dinafikan oleh kumpulan yang disokong oleh Barat itu.
Sehingga Jun 2014, kerajaan ­Sy­ria telah menyerahkan senjata ki­mia seberat 1,300 tan kepada OPCW, tetapi beberapa kerajaan Barat meragui Damsyik telah menyerahkan keseluruhan senjata berkenaan.
OPCW dalam siasatannya juga mendakwa gas kimia jenis klorin juga digunakan secara sistematik oleh kerajaan Syria ke atas penduduk awam di negara itu.
Penggunaan senjata kimia jenis gas mustard turut digunakan dalam serangan di sebuah pekan yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-syria-terdedah-bahaya-gas-sarin-1.176816#sthash.3hUV1PVg.dpuf

Monday, 4 January 2016

Arab Saudi anjur perbincangan tamatkan konflik Syria

ISNIN, 7 DISEMBER 2015 @ 9:48 AM

RIYADH: Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kepada satu perbincangan dengan kumpulan pembangkang di Syria mulai esok sehingga 10 Disember ini di Riyadh. Perbincangan itu bermatlamat untuk memilih wakil bagi rundingan antarabangsa mengenai masa depan Syria, demikian lapor agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA), hari ini. Mesyuarat di Riyadh itu menandakan satu usaha untuk menyatukan kumpulan berbeza bagi mencapai satu rundingan damai ke arah menamatkan konflik di Syria yang berlarutan hampir lima tahun. "Raja Arab Saudi sudah menghantar jemputan kepada semua kumpulan sederhana di Syria membabitkan kumpulan berbeza dari segi pandangan politik, etnik, kepercayaan di luar atau di dalam Syria," kata SPA memetik sumber pegawai kanan Kementerian Luar. Arab Saudi adalah negara yang kuat menyokong kumpulan pembangkang yang mahu menumbangkan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Mesyuarat itu bagaimanapun tidak termasuk Kumpulan Negara Islam (IS) yang kini menguasai beberapa kawasan di sebelah timur Syria, barat daya Iraq dan mengisytiharkan sebagai kalifah di rantau itu. Barisan Nusra yang menjadi rangkaian A-Qaeda yang turut disenaraikan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kumpulan pengganas, juga tidak dijemput menyertai mesyuarat itu. Kumpulan pemberontak, Tentera Islam dan dua kumpulan lain mengesahkan sudah menerima jemputan menghadiri mesyuarat di Riyadh. - AFP


 PENDUDUK tempatan membantu mangsa selepas serangan udara di Jisreen.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102853

AS tidak akan diheret dalam perang di Iraq, Syria - Obama

ISNIN, 7 DISEMBER 2015 @ 10:11 AM

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama. - Foto AF


WASHINGTON: Presiden Barack Obama sekali lagi menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan diheret ke dalam peperangan di darat di Syria atau Iraq, biarpun ia meningkatkan penentangan terhadap kumpulan IS. "Kami tidak patut diheret sekali lagi ke dalam peperangan di darat yang panjang di Iraq dan Syria. Itulah apa yang diinginkan ISIL (IS)," kata Obama dalam perutusan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari Oval Office susulan insiden tembakan di California. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102860